mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Berhari Raya Dengan Penuh Beradab”

Petikan Khutbah 23 Jun 2017M / 28 Ramadhan 1438H JAIS

“Berhari Raya Dengan Penuh Beradab”

Madrasah Ramadhan yang datangnya hanya sekali dalam setahun seharusnya dapat menjana peningkatan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT sebagaimana matlamat ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah alBaqarah ayat 183:“Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu jais.jpgbertaqwa”.

Nabi Muhammad SAW menyambut Idulfitri dengan penuh kesyukuran lantaran nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Kehadiran Idulfitri sewajarnya dihiasi dengan perkara-perkara sunat yang dapat meneruskan lagi kemuliaan Ramadhan.

Antara perkara-perkara sunat yang sepatutnya kita lakukan sebelum solat sunat Idulfitri ialah:

Pertama: Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat Idulfitri.

Kedua: Menjamah makanan sebelum keluar ke masjid.

Hadis daripada Anas Bin Malik R.Anhu yang memberitahu bahawa:“Rasulullah SAW tidak keluar rumah pada pagi hari raya Idulfitri melainkan selepas baginda SAW memakan beberapa biji tamar” (Riwayat al-Bukhari).

Ketiga: Tidak melalui jalan yang sama ketika pergi dan balik ke tempat solat. Ia berdasarkan hadis daripada Jabir R.Anhu yang menceritakan bahawa: “Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang daripada masjid pada hari raya". (Riwayat Al-Bukhari).

Keempat: Memakai pakaian yang paling baik dan berwangian. Diriwayatkan daripada cucu baginda Saidina Hasan R.Anhu bahawa: “Nabi SAW memerintahkan kami supaya memakai pakaian dan wangian yang paling baik yang kami miliki pada pagi hari raya”. (Riwayat al-Hakim).

Namun begitu, Islam melarang umatnya membazir dan melampaui batas dalam menyambut Idulfitri khususnya dari segi makanan, pakaian, perhiasan, termasuklah hiburan yang berlebihan dan lain-lain lagi.

Kelima: Memperbanyakkan bacaan al-Quran, berzikir, bertahmid dan bertahlil untuk memuji kebesaran Allah SWT. Sunat melaungkan Takbir Hari Raya bermula Maghrib selepas terbenam matahari akhir Ramadhan dan tamat apabila hendak menunaikan solat sunat Idulfitri.

Bulan Syawal juga boleh diibaratkan sebagai bulan silaturrahim. Betapa Syawal menjadi bulan yang penuh keberkatan kerana menerusi amalan ziarahmenaziarhi, umat Islam dapat mengeratkan hubungan silaturrahim. Ia mampu menautkan kembali ikatan persaudaraan yang telah lama terputus.

Banyak hikmah dan kelebihan yang diperolehi daripada amalan di bulan yang mulia ini. Hadis daripada Anas bin Malik R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: ِِ“Sesiapa yang inginkan rezekinya diluaskan dan dipanjangkan usianya, maka jalinkanlah hubungan silaturrahim. (Riwayat al-Bukhari).


Oleh itu, berkunjunglah ke rumah-rumah saudara mara termasuklah jiran tetangga dan yang paling afdalnya rumah yang paling dekat dengan rumah kita. Tinggalkan televisyen dan segala gajet serta media sosial agar kita boleh menghidupkan amalan berziarah dan menyambung silaturrahim sebagaimana yang dianjurkan oleh nabi SAW.

Sedekah dan infaq juga perlu menghiasi agenda Syawal kita dengan tradisi memberi duit raya kepada kanak-kanak termasuk sanak saudara yang menambahkan lagi keceriaan dalam berhari raya.

Hadis daripada Salman B. Amir R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sedekah kepada golongan miskin, ganjarannya hanyalah sekadar pahala sedekah; sedangkan sedekah kepada mereka yang mempunyai hubungan silaturrahim terdapat dua ganjaran iaitu pahala sedekah dan pahala menjalin hubungan silaturrahim”

Kelebihan dan keberkatan bulan Ramadhan ini perlu terus diraih dalam bulan Syawwal, di mana umat Islam dituntut untuk melaksanakan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawwal dengan ganjaran menyamai berpuasa sepanjang tahun.

Hadis daripada Abu Ayub al-Ansari R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadhan, lalu diiringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawwal, dia seperti telah berpuasa sepanjang tahun. (Riwayat Muslim).

Pada bulan Syawal nanti, umat Islam akan meraih ganjaran hebat menerusi ibadat puasa enam hari yang tidak ada pada mana-mana bulan yang lain.

Umat Islam juga diingatkan agar bersegera melaksanakan kewajipan membayar zakat fitrah sebelum luput masanya. Ia merupakan perintah Allah yang mesti ditunaikan bagi kepentingan dan maslahat golongan faqir miskin agar bergembira pada hari raya Idulfitri.

Sebagai peringatan daripada khutbah hari ini, mimbar sekali lagi mengajak para Jemaah untuk:

1. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa Idulfitri adalah ibadah dan bukannya mengikut dan memenuhi adat semata-mata.

2. Umat Islam hendaklah menyambut Idulfitri dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan mengikuti syariat yang digariskan Islam, serta tidak keterlaluan dan membazir.

3. Umat Islam dianjurkan melaksanakan puasa sunat enam dalam bulan Syawal.

4. Umat Islam hendaklah menghulurkan tangan bermaaf-maafan terutamanya kepada ibu bapa, suami isteri, anak-anak dan sahabat handai serta ziarah-menziarahi mengikut batas-batas syarak.

5. Umat Islam hendaklah mengekalkan dan meneruskan segala amal soleh yang dilakukan dalam bulan Ramadhan seperti membaca al-Quran, solat sunat, dan bersedekah.

“Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku”). (al-Baqarah : 152).
Tags: adab, khutbah, raya
Subscribe

Posts from This Journal “raya” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments