mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Mendakap Bahagia Hakiki”

Petikan Khutbah Jumaat 07 Julai 2017M / 13 Syawal 1438H: JAIS

“Mendakap Bahagia Hakiki”

Setiap insan di dunia ini ingin hidup bahagia Tidak ada seorang pun manusia di dunia ini yang ingin hidup sengsara dan derita baik di jais.jpgdunia mahupun di akhirat kelak. Nilai bahagia tidak sama bagi setiap manusia di dunia. Ada yang bahagia apabila dikelilingi harta yang melimpah ruah. Ada yang berbahagia apabila segala hajat yang diingini tercapai.

Hadis daripada Suhaib R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku sangat kagum akan keadaan orang yang beriman itu. Semua urusan (yang berlaku dalam hidupnya) baik belaka baginya yang mana keadaan itu hanya ada pada orang yang beriman. Jika dia mendapat nikmat dan kebaikan, maka dia akan bersyukur, dan ia adalah sesuatu yang baik baginya. Jika dia ditimpa musibah dan bencana, maka dia akan bersabar, dan itu adalah suatu yang baik baginya”. (Hadis riwayat Imam Muslim).

Sesungguhnya orang yang beriman kepada Allah SWT akan merasakan bahawa hidup ini suatu medan penyempurnaan hakikat kehambaan dirinya kepada Allah SWT. Ini kerana mereka tahu tujuan mereka dihidupkan di dunia ini hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah ad-Dzariyaat ayat 56: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku”

Orang yang merasakan bahawa dirinya hanyalah seorang hamba kepada satu zat Yang Maha Agung yang menguasai sekalian alam ini, akan patuh dan taat hanya kepada Allah SWT. Seluruh hidupnya diserahkan hanya untuk Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 162: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”

Ramai manusia gagal menikmati hidup sebagai suatu anugerah kerana tidak memiliki rasa kehambaan kepada Allah SWT. Akibatnya, mereka menderhaka kepada Allah SWT dengan melanggar perintah dan larangan-Nya. Mereka juga akan merasa kecewa, gundah gulana, keluh kesah, dilanda kesedihan dan kesengsaraan dalam meneruskan kehidupan. Terutama ketika dirundung malang. Ada kalanya mereka hilang rasa kelazatan hidup di dunia ini. Walaupun pada zahirnya mereka tersenyum, namun nun jauh di sudut lubuk hatinya yang paling dalam ada sesuatu kekosongan yang tidak terisi oleh segala kesenangan dan kemewahan yang ada di dunia ini. Justeru, marilah kita kembali merasai diri sebagai hamba Allah demi untuk mendakap kebahagiaan yang hakiki.

Firman Allah SWT dalam surah Ar-Rum ayat 47:“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan sebelum kamu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata, kemudian Kami menyiksakan orang-orang yang berlaku salah (angkara keterangan-keterangan itu), dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman”.

Orang yang tidak tahu tujuan hidup sebenar di dunia ini merupakan orang yang paling malang sekali. Ini kerana dalam alam kehidupan ini, matlamat hidup merupakan suatu intipati yang sangat penting, Orang yang hidup tanpa tujuan, akan merasa kekosongan dan kesamaran dalam kehidupan seharian serta terus merasa rugi dengan usia dirinya sendiri.

Alangkah malangnya orang yang hidup bertuhankan kebendaan di mana mereka mengabdikan seluruh hidupnya untuk mencari dan mengumpul harta benda semata-mata. Mereka memuaskan nafsu dengan harta benda yang mereka kumpul. Mereka sibuk membina rumah besar yang mewah lagi tersergam megah sehingga mereka lupa akan adanya hari kebangkitan semula.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Jathiyah ayat 24:“Dan mereka berkata: “Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja (iaitu) kita mati dan kita hidup, dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa”. Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah berprasangka saja”.

Abu Hurairah R.Anhu berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud yang bermaksud: “Sesiapa yang mempelajari ilmu agama dengan bertujuan untuk habuan dunia maka dia tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari kiamat kelak”. (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Sebelum mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin menyeru kepada diri saya dan semua anggota masyarakat supaya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa kebahagiaan yang hakiki adalah beriman kepada Allah SWT, sebaliknya orang yang mengejar keduniaan semata-mata tidak akan memperoleh kebahagiaan yang sebenar.
2. Umat Islam hendaklah menghayati dan mempraktikkan semua ajaran Islam bertepatan dengan syariat sebagaimana diajar oleh Rasulullah SAW untuk memperolehi kebahagiaan yang hakiki.
3. Umat Islam hendaklah meningkatkan jihad untuk melawan hawa nafsu dalam menjauhi dan meninggalkan segala tegahan Allah

“Sesiapa yang beramal soleh, dari kalangan lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan”. (an-Nahl: 97).
Tags: bahagia, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “bahagia” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments