mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

4 sifat mulia bantu pelajar cemerlang

AKHLAK dan sifat mulia dimiliki rasul seperti siddiq, amanah, tabligh dan fathonah perlu menjadi nilai murni yang diterapkan dalam setiap aspek kehidupan, lebih-lebih lagi golongan pelajar supaya lebih fokus serta menjadi pemangkin terhadap pengajian mereka.

Justeru, kefahaman terhadap sifat mulia itu juga penting bagi memastikan kita istiqamah menjalani kehidupan sebagai pelajar yang sedang berjihad pada jalan Allah SWT seterusnya mencapai kejayaan menimba ilmu pengetahuan.

ILMU yang dipelajari tidak memberi manfaat andai tidak disebar luas atau dikongsi dengan orang lain. - Foto hiasan


Perkara pertama yang perlu difokuskan sebagai seorang penuntut ilmu ialah bersifat benar kerana sifat ilmu itu suci.

Sesungguhnya, Allah SWT memuliakan dan meninggikan kedudukan orang yang berilmu. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Nescaya Allah akan meninggikan orang yang beriman di antara kalian dan orang yang diberi ilmu (agama) beberapa darjat." (Surah al-Mujadilah, ayat 11)

Janganlah kita mencampur adukkan ilmu dengan amalan nista yang merosakkan kesucian ilmu itu. Apa juga ilmu yang kita pelajari membawa manfaat dan keberkatan Allah SWT selagi mana kita memeliharanya daripada unsur tidak baik.

Betulkan niat

Jauhilah daripada sifat khianat dalam pembelajaran seperti meniru atau manipulasi. Hal itu yang menjadikan pelajar sukar untuk memahami ilmu dipelajari kerana hilangnya keberkatan daripada Allah SWT, apalagi mereka tidak berusaha dengan cara sendiri.

Semuanya kembali kepada niat asal kita menuntut ilmu. Tajdid niat dan ikhlaskan hati dalam menuntut ilmu kerana secara tidak langsung ia akan menjauhkan daripada melakukan perkara mazmumah.

Sesungguhnya sangat beruntung orang yang menuntut ilmu kerana kita membawa amanah Allah SWT. Bertambah beruntung andai kita menjalankan amanah itu dengan penuh ikhlas dan tawakal kepada Allah SWT.

Pelajar atau mahasiswa hendaklah amanah menunaikan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, sebagai pelajar, mereka perlu jujur menimba ilmu pengetahuan serta melaksanakan tugasan diberi.

Mereka turut menggalas amanah ibu bapa yang sentiasa mengharapkan kejayaan anak mencapai cita-cita seterusnya berbakti kepada keluarga, agama dan negara.

Menjadi tanggungjawab anak membalas pengorbanan ibu bapa memberi pendidikan terbaik untuk mereka. Ilmu yang dipelajari tidak memberi manfaat andai tidak disebar luas atau dikongsi dengan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain."

Jangan kedekut ilmu

Berbekalkan ilmu diperoleh, menjadi tugas kita untuk menyampaikan kepada mereka yang memerlukan bimbingan dan dari situ jugalah lahirnya kumpulan pelapis yang melengkapkan proses pembelajaran dan pengajaran.

Pepatah Arab ada mengatakan, ilmu tanpa amal ibarat pokok yang tidak berbuah. Satu daripada cara untuk kita mengamalkannya adalah dengan menyampaikan ilmu kepada orang lain setelah kita sendiri mempraktikkan dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, sifat tabligh juga boleh dipraktikkan dengan membantu rakan yang kurang memahami pelajaran. Membantu rakan sedikit sebanyak menambahkan lagi kefahaman mengenai ilmu dipelajari.

Tidak dapat dinafikan, setiap amalan kebaikan yang dilakukan kembali kepada kita. Manfaat yang kita berikan kepada orang lain akan kembali sebagai kebaikan untuk diri sendiri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Jika kamu berbuat baik, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga." (Surah al-Isra', ayat 7)

Mudah faham

Nilai fathonah menjadikan pelajar hari ini lebih berdaya saing apabila berjaya mencipta kaedah tersendiri untuk cemerlang dalam pengajian.

Pelajar cemerlang mampu mencipta kaedah pembelajaran yang pelbagai untuk kefahaman lebih efektif. Teknik pembelajaran yang lebih sistematik akan memudahkan pelajar untuk lebih memahami sesuatu ilmu yang dipelajari.

Pelajar haruslah bijak dalam menyusun strategi pembelajaran agar tekanan dalam pelajaran dapat dikurangkan.

Namun, ada juga pelajar gagal menguruskan jadual belajar dengan baik yang akhirnya men-datangkan tekanan kepada diri sendiri.

Jadi, hendaklah bijak membahagikan masa belajar dengan aktiviti lain supaya tidak mengganggu waktu pembelajaran. Ibnu Qayyim berkata, "Sesungguhnya tidak ada jalan kebahagiaan dan kemenangan di dunia dan di akhirat melainkan apa yang ada pada rasul-Nya.

Tidak ada jalan bagi mengetahui perbezaan antara baik dan jahat secara terperinci melainkan daripada mereka. Kita tidak akan mencapai keredaan Allah melainkan melalui ajaran mereka.

Mereka adalah neraca penentu yang sebenarnya bagi menimbang ucapan kata-kata, amalan dan akhlak."

Marilah kita mengamalkan nilai mulia dalam kehidupan sebagai pelajar sebagai bukti cinta dan kasih sayang kepada rasul Allah SWT serta termasuk golongan yang mendapat kebaikan di dunia seterusnya di akhirat.


Oleh Nurul Shafika Ismail  Berita Harian Rencana Ahad 2 Julai 2017
Tags: cemerlang, ilmu, kedekut, niat
Subscribe

Posts from This Journal “cemerlang” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments