mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Buli Perbuatan Zalim"

Petikan Khutbah Jumaat: 14 Julai 2017M / 20 Syawal 1438H JAIS

“Buli Perbuatan Zalim "

Sesungguhnya Islam melarang sebarang bentuk buli kerana mendatangkan kezaliman dan penindasan. Islam bererti sejahtera dan salah satu sifat orang Islam ialah dia tidak memberi masalah kepada saudara Islamnya yang lain.

jais.jpgHadis daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: ْ“Orang Islam ialah orang yang saudara Islamnya terselamat daripada kejahatan lidah dan tangannya”. (Riwayat al-Tirmidzi).

Seseorang muslim yang sejati itu bukanlah seorang pencaci, pencela, pengejek, pencemuh dan sebagainya. Ini dinyatakan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam satu hadis daripada Abdullah Bin Mas’ud R.Anhu bahawa Nabi SAW bersabda: “Bukanlah seorang mukmin itu orang yang suka mencaci, orang yang gemar melaknat, orang yang suka berkata-kata lucah dan orang yang berkata-kata kotor”. (Riwayat al-Tirmidzi).

Allah SWT juga telah mengharamkan manusia daripada melakukan kezaliman sepertimana Allah turut mengharamkan diri-Nya daripada sifat zalim.

Diriwayatkan daripada Abu Dzar Al-Ghiffari R.Anhu bahawa Nabi SAW bersabda melalui firman Allah SWT: َ"Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan Aku juga mengharamkannya dalam kalangan kamu, maka janganlah kamu zalim-menzalimi". (Riwayat Muslim).

Tindakan membuli menyebabkan rosaknya maruah diri seseorang, merosakkan hubungan silaturrahim dan kedamaian sesebuah masyarakat. Perbuatan membuli merupakan salah satu dosa kerana ia menceroboh kehormatan diri orang lain bahkan ia boleh mencederakan anggota seseorang

Gejala buli boleh berlaku dimana-mana sahaja samada di institusi pendidikan, tempat kerja atau di jalan raya. Antara faktor utama berlakunya gejala buli ialah:

Pertama: Kurang penghayatan dan kesedaran agama.

Pembelajaran Pendidikan Islam dan Moral di sekolah masih tidak mencukupi dari segi penghayatannya jika tidak dipraktikkan apabila berada diluar bilik darjah. Apabila kurangnya penghayatan agama, pelajar akan merasa lebih bebas membuli dan melakukan perbuatan yang negatif. Ia juga menyebabkan kurangnya penghayatan terhadap konsep dosa dan pahala dalam setiap tindakan.

Kedua: Pengaruh sosial.

Gejala buli juga lahir daripada pengaruh media massa, filem-filem dan rakan sebaya. Kebanyakan rancangan di Televisyen kini sering memaparkan aksi ganas seperti bergaduh, mencuri, ponteng sekolah dan berlagak samseng yang menjadi ikutan kepada generasi masa kini. kesannya, aksi-aksi ini akan dicontohi oleh mereka yang menontonnya terutama para pelajar yang gemar meniru perbuatan orang lain.

Untuk mengatasi gejala buli yang penuh kezaliman ini, maka Islam menggariskan beberapa cara penyelesaian. Antaranya adalah:

Pertama: Menyuburkan Kasih Sayang.

Sepatutnya setiap orang saling menyayangi dan hormat menghormati antara satu sama lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri. Mengasihi orang lain menjadi tanda kesempurnaan iman seseorang Muslim. Hadis daripada Anas Bin Malik R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beriman seseorang di antara kamu sehingglah ia mencintai saudaranya (sesama muslim) seperti ia mencintai miliknya sendiri”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kedua: Penghayatan Agama.

Ibu bapa hendaklah memastikan penghayatan agama anak-anak supaya menjaga amal ibadah dan memantau aktiviti-aktiviti hiburan lebihlebih lagi hiburan yang melalaikan dan melampau. Didiklah anak-anak supaya menghayati agama khususnya anak remaja mengikut zamannya agar tidak terikut budaya yang tidak elok dan bercanggah dengan agama Islam.

Sebagai kesimpulan dari khutbah hari ini, khatib ingin menyeru hadirin sekalian supaya dapat mengambil tindakan dari tausiah berikut:

1. Umat Islam hendaklah berpegang teguh kepada agama dan saling hormat menghormati serta berkasih sayang antara satu sama lain.

2. Umat Islam hendaklah yakin bahawa semua perbuatan sama ada baik ataupun buruk pasti akan dibalas oleh Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah menjauhkan perbuatan zalim terhadap manusia

4. Umat Islam hendaklah mengambil tindakan bersama-sama membanteras semua perbuatan zalim termasuklah buli.

"Pada hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya; tidak ada hukuman yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisab-Nya”. (Ghafir: 17).
Tags: khutbah, zalim
Subscribe

Posts from This Journal “zalim” Tag

  • Musibah jerebu

    SETIAP hari kita bangun pagi, kita yakin matahari tetap akan terbit seperti sedia kala. Ia memberi kita satu kekuatan, selepas malam pekat yang…

  • Orang zalim dan mangsa

    CUBA baca situasi di bawah: Mencuri duit dan terlepas daripada hukuman. Menipu dan tidak membayar hutang walau mampu. Menipu dan tidak…

  • Mengasihi haiwan dan binatang

    Mengasihi binatang Pendera haiwan berpotensi jadi ahli neraka Memelihara haiwan dianjurkan dalam Islam namun pemiliknya hendaklah…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments