mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Urus Kewangan Dengan Berhemah”.

Petikan Khutbah Jumaat 04 Ogos 2017M / 11 Zulkaedah 1438H:JAIS

“Urus Kewangan Dengan Berhemah”.

Harta dan kewangan merupakan alat untuk menjamin keselesaan dan kelangsungan hidup di dunia. Kehidupan dunia perlu dijalani dengan penuh beradab dan tanggungjawab untuk mencapai matlamat akhirat.

jais.jpgOleh itu, pengurusan kewangan dan harta yang baik, dapat menjamin kelangsungan hidup manusia dalam berkeluarga, bermasyarakat dan seterusnya memperolehi keberkatan dan rahmat dalam kehidupan.

Justeru pengurusan kewangan secara berhemah dan sederhana dapatlah digariskan seperti berikut:

Pertama: Menetapkan matlamat di dalam kewangan. Penetapan matlamat kewangan akan mewujudkan aliran kewangan yang teratur dan tersusun tanpa sebarang gangguan terhadap sumber kewangan sedia ada. Hal ini akan mengelakkan daripada berlakunya pembaziran seterusnya mengawal selia perbelanjaan agar tidak berlebihan dan berbelanja untuk perkara yang tidak perlu.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 27:“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.

Kedua: Meningkatkan ilmu pengurusan kewangan. Elakkan perasaan malu atau segan untuk mempelajari ilmu kewangan yang boleh memberi manfaat kepada diri dan ahli keluarga kita. Oleh itu, masyarakat perlu bertindak awal serta pro-aktif untuk menimba ilmu pengurusan kewangan ini.

Ketiga: Mengurus hutang dengan bijaksana. Setiap individu tidak akan terlepas daripada hutang-piutang seperti pembiayaan perumahan, kenderaan dan sebagainya. Oleh itu, berazamlah untuk melunaskan segala hutang-piutang kerana ianya bukan sahaja menjadi beban di dunia malah juga di akhirat.

Hadis daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Orang kaya yang melambatkan pembayaran hutang adalah satu kezaliman”. (Riwayat al-Bukhari).

Keempat: melibatkan ahli keluarga dalam pengurusan kewangan. Didiklah anak-anak untuk menyimpan lebihan wang saku sejak dibangku sekolah lagi dan asuhlah anak-anak agar berbelanja untuk perkara yang perlu sahaja. Pada masa yang sama, berkongsilah dengan pasangan dan keluarga tentang hutang piutang yang ada.

Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 47:“Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan”.

Islam mendorong dan menggalakkan umatnya supaya hidup bersederhana dalam berbelanja. Ini supaya umat islam tidak terlibat di dalam kancah hutang yang melampau, penggunaan kad kredit secara tidak terkawal, serta sikap suka memboros dan membazir.

Islam menganjurkan sikap bersederhana dan berhemah dalam mengurus sumber kewangan. Diriwayatkan daripada Abi Darda R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda bahawa: “Dari kebijaksanaan seorang lelaki ialah sikap berhemah di dalam urusan hidupnya”. (Riwayat Ahmad).

Dalam hadis lain daripada Huzaifah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Alangkah baiknya kalau bersederhana ketika kaya, bersederhana ketika fakir dan bersederhana dalam beribadah”. (Riwayat al-Bazzar).

Mengakhiri khutbah Jumaat pada hari ini, mimbar menyeru kepada seluruh umat Islam supaya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa segala harta dan rezeki itu adalah hak milik Allah SWT dan Allah SWT maha berkuasa dalam memberi rezeki atau menarik balik rezeki tersebut.

2. Umat Islam hendaklah menghargai dan mensyukuri kurniaan harta pemberian Allah dengan mengurus dan merancang perbelanjaan dan penggunaannya dengan berhemah.

3. Umat Islam hendaklah meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan serta mendidik diri, keluarga dan masyarakat akan kepentingan pendidikan pengurusan kewangan.

4. Umat Islam hendaklah bersederhana dalam berbelanja dan mengurus kehidupan berdasarkan keutamaan dan keperluan serta tidak melupakan untuk bersedekah dan menginfakkan harta ke jalan Allah.

“Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), dan ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya ia Maha mendalam pengetahuannya, lagi Maha Melihat akan hambahambanya”. (al-Isra’ : 30)
Tags: berhemah, kewangan, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “khutbah” Tag

  • Khutbah Jumaat Bahtera Kasih Menuju Bahagia

    Petikan Khutbah Jumaat 22 Oktober 2021M/ 15 Rabiulawal 1443H JAWI Bahtera Kasih Menuju Bahagia Islam melihat institusi kekeluargaan adalah sangat…

  • Khutbah Jumaat: Maulidur Rasul SAW

    Petikan Khutbah Jumaat 22 Okt 2021M / 15 Rabi’ul Awwal 1443H: JAIS Maulidur Rasul SAW Alhamdulillah, kita rafakkan pujian dan kesyukuran ke…

  • Khutbah Jumaat Semarak Cinta Rasul

    Petikan Khutbah Jumaat 15 Oktober 2021M/ 8 Rabiulawal 1443H JAWI Semarak Cinta Rasul Bulan Rabiulawal kembali mengingatkan kita akan kelahiran…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments