mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Memelihara Nasab

Petikan Khutbah Jumaat 11 Ogos 2017M / 18 Zulkaedah 1438H: JAIS

“Memelihara Nasab”

Islam menganjurkan umatnya supaya berkahwin serta membina keluarga bahagia berlandaskan syariat dan bukan sekadar memenuhi nafsu semata-mata kerana, perkahwinan yang sah berperanan mengelak perbuatan maksiat zina yang boleh melahirkan anak yang jais.jpgtidak sah taraf.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 32:“Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan)”.

Ayat ini menegaskan bahawa zina adalah perbuatan keji, dan semua jalan yang boleh membawa kepada zina adalah diharamkan sama sekali.

Memelihara keturunan adalah menjadi satu daripada matlamat Islam atau Maqasid Syariah. Dan perkahwinan menjadi laluan utama kearah memelihara keturunan. Dalam erti kata yang lain, perkahwinan bukan sekadar memberikan kenikmatan atau keseronokan lahir dan batin, tetapi sebagai saluran untuk mendapatkan zuriat dan menyambung keturunan yang sah.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 1:“Wahai sekalian manusia! bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu Adam, dan yang menjadikan daripada Adam itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai…”

Iman Ibn Rusyd menyebut dalam kitab Bidayah al-Mujtahid dan Imam Ibnu Qudamah dalam kitab al-Mughniy menyatakan jumhur ulama bersepakat bahawa anak-anak zina tidak dinasabkan kepada bapa biologinya

Bagi mengelakkan kecelaruan dalam keturunan umat Islam, Jawatankuasa Fatwa Selangor telah memfatwakan keadaan-keadaan yang boleh mengesahkan status anak itu sebagai anak tidak sah taraf iaitu:-

i. anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara saintifik yang bertentangan dengan Hukum Syarak;

ii. Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “imkan al-dukhul” dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah; dan

iii. anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari segi waktu "imkan al-dukhul" selepas akad yang sah, dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui ikrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.

Sekiranya anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapa biologinya, maka ia boleh mengundang masalah yang lebih besar lagi antaranya ialah:-

i. Perkahwinan anak tidak sah taraf yang berwalikan bapa biologinya adalah tidak sah. Kesannya berlaku kerosakan dalam sistem keluarga kerana melakukan perzinaan berterusan akibat akad nikah yang tidak sah.

ii. Kelahiran anak tidak sah taraf akan berleluasa dalam masyarakat.

iii. Akan melahirkan umat yang celaru keturunannya;

iv. Anak tidak sah taraf akan menuntut hak sama seperti mana anak sah taraf dalam perwalian, harta pusaka dan sebagainya yang boleh menimbulkan kerosakan yang lebih besar.

v. Dari segi pewarisan harta pusaka bahawa anak tidak sah taraf tidak berhak mewarisi harta pusaka bapanya yang tidak sah taraf dan hanya boleh mewarisi harta pusaka ibunya sahaja. Begitu juga sebaliknya, bapanya tidak berhak mewarisi pusaka anaknya yang tidak sah taraf.

Kesemua mudharat dan implikasi ini adalah berpunca daripada dosa ibu dan pasangannya. Adapun anak yang dilahirkan tidak menanggung dosa kedua ibu bapanya. Oleh itu mimbar ingin menasihatkan umat Islam agar tidak memandang serong terhadap anak-anak tidak sah taraf yang sama sekali tidak mewarisi dosa ibu atau bapanya.

Perlu ditegaskan bahawa menurut seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang berada di Negeri Selangor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu

Mengakhiri khutbah minggu ini, mimbar Jumaat ingin menegaskan;

1. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa implikasi anak tidak sah taraf apabila berleluasa akan menimbulkan kesan yang amat buruk kepada keturunan dan kesejahteraan masyarakat.

2. Umat Islam wajib kembali kepada petunjuk al-Quran dan sunnah dengan menghayati isi kandungannya dan diaplikasikan dalam melayari kehidupan.

3. Umat Islam hendaklah memelihara nasab atau keturunan dengan mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang membawa kepada kecelaruan nasab dan keturunan.

4. Umat Islam hendaklah menjauhi perzinaan bagi memastikan keturunan yang sah taraf.

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? padahal tidak ada siapa pun yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. (al-Maidah : 50)
Tags: khutbah, nasab
Subscribe

Posts from This Journal “khutbah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments