mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Mempertahankan Kemerdekaan Tanggungjawab Bersama"

Petikan Khutbah Jumaat 25 Ogos 2017M / 03 Zulhijjah 1438H JAIS

“Mempertahankan Kemerdekaan Tanggungjawab Bersama"

Kemerdekaan adalah suatu kebebasan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan secara zahir ataupun batin. Umat jais.jpgyang merdeka, ialah mereka yang dapat berfikir dan bertindak dengan waras setiap apa yang dilakukan untuk diri, bangsa atau agama demi kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada sesiapapun yang menghalanginya, tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT.

Kemerdekaan adalah merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat manusia di atas muka bumi-Nya ini. Namun begitu, nikmat kemerdekaan ini bukanlah dapat dirasai sepenuhnya oleh semua golongan manusia. Kita bersyukur, negara kita dapat merayakan kemerdekaan yang ke- 60 tahun pada kali ini.

Antara resipi untuk kita mampu bertahan dan dapat meneruskan agenda mempertahankan kemerdekaan bagi negara kita adalah:

1. Pengukuhan akidah, syariah dan akhlak Islam mestilah disematkan dalam diri para pemimpin dan rakyat bagi memastikan budaya riddah, maksiat dan penderhakaan kepada Allah SWT tidak wujud lagi. Seharusnya semua lapisan masyarakat hendaklah sentiasa menimba ilmu agama, memahami tauhid, memahami hukum hakam dan sentiasa berakhlak dengan akhlak yang mulia.

Firman Allah SWT dalam surah alHaj ayat 41:“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.

2. Keutamaan dalam memajukan negara meliputi segala aspek. Kepimpinan negara dan rakyat hendaklah menjauhkan diri daripada jenayah rasuah, pecah amanah dan apa jua penyelewengan. Hendaklah istiqamah dalam membudaya dan mengutamakan tadbir urus yang baik dengan bersikap adil, jujur, berintegriti dan bertanggungjawab dalam setiap pengurusan.

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah anNisa’ ayat 58 yang bermaksud:“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”.

3. Sentiasa mengamalkan konsep negara berkebajikan. Kekayaan sesuatu negara hendaklah dikongsikan bersama rakyat. Kerajaan memberi, rakyat mensyukuri. Pemimpin dan rakyat bekerjasama memikul amanah dan tanggungjawab membangun negara bersama-sama. Rakyatnya bersatu, ekonominya maju, menikmati kehidupan bermutu dan kebajikannya tidak terbelenggu.

Semua ini akan mengundang rahmat dan berkat daripada Allah SWT seperti firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 96:“Dan sekiranya penduduk sesebuah negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka Dengan azab seksa disebabkan apa Yang mereka telah usahakan”.

Sebagai rakyat yang cintakan negara, kita hendaklah sentiasa mempunyai semangat patriotik yang tinggi. Kita hendaklah sanggup berkorban apa sahaja demi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Kita juga hendaklah memiliki tekad mempertahankan negara daripada dicerboh oleh musuh dari dalam mahupun luar negara.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 60:“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib mengajak kita semua untuk menghayati tausiah berikut:

1. Umat Islam hendaklah mempertahankan kemerdekaan berlandaskan akidah dan syariat Allah SWT, seterusnya mensyukuri nikmat kemerdekaan agar ia terus berkekalan.

2. Umat Islam hendaklah mengisi kemerdekaan dengan meningkatkan ilmu dan kemahiran serta memajukan ekonomi untuk meningkatkan kualiti hidup.

3. Umat Islam wajib membebaskan diri dari cengkaman hawa nafsu dan sebarang fahaman serta budaya songsang yang boleh merosakkan kehidupan di dunia dan di akhirat.

“Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”. (Surah Al-Baqarah : 257).
Tags: khutbah, merdeka
Subscribe

Posts from This Journal “merdeka” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments