mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Membina Kekayaan Jiwa

Petikan Khutbah Jumaat 08 September 2017M / 17 Zulhijjah 1438H: JAIS


Membina Kekayaan Jiwa


jais.jpgHarta benda yang bertimbun dan wang ringgit yang banyak tersimpan di dalam peti besi atau bank, bukanlah ukuran bagi meletakkan seseorang itu diiktiraf sebagai orang kaya, meskipun masyarakat menggelarkannya sebagai jutawan.



Pada sisi yang lain pula, ada insan yang hatinya resah memikirkan bagaimana untuk mencari sesuap nasi menyara keluarga, makan pakai anak-anak yang sedang membesar. Si miskin terus dilanda resah kerana kesempitan hidup yang semakin menghimpit. Ramai orang kaya yang hatinya tidak tenteram, si miskin apatah lagi, lalu apakah yang membezakan antara yang kaya dan miskin jika keduanya dilanda gundah gulana dan resah gelisah?


Seperti dalam hadith yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta tetapi kekayaan itu adalah kekayaan jiwa” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim.)



Gambaran peri pentingnya soal membina jiwa dalam setiap diri insan dirakamkan oleh baginda nabi dalam hadith daripada al-Nu’man bin Basyir R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah, Sesungguhnya dalam jasad seseorang itu ada segumpal darah, jika ia baik maka baiklah jasad keseluruhannya. Namun jika rosak ia, maka rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah ia adalah hati”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).



Jelaslah bahawa dalam mencari penyelesaian terhadap segala masalah insan sama ada soal jasmani atau rohani bermula daripada pembentukan jiwa yang sejahtera.


Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam usaha membentuk kekayaan jiwa ini, antaranya ;


Pertama : Menjadikan Keimanan Kepada Allah Asas Kehidupan


Setiap manusia di dunia ini mempunyai sudut pandang yang berbeza dalam menilai asas kehidupan yang memandu perjalanan kehidupan mereka. Sejarah memaparkan watak insan yang menjadikan harta,pangkat dan nama sebagai matlamat kehidupan mereka seperti Qarun, Firaun dan Haman tersungkur kelembah kehinaan. Namun sejarah juga memaparkan citra gemilang hartawan berjiwa hamba seperti Saidina Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf Radiallahu Anhuma. Mereka ini juga dikurnia nikmat yang sama, namun yang membezakan mereka dengan Qarun, Firaun dan Haman ialah asas kehidupan mereka, yang meletakkan iman kepada Allah.


Dalam amalan bersedekah misalnya, jangan kita menyangka sumbangan atau infaq mudah diperolehi daripada poket-poket hartawan.



Si miskin akan menjadi pemurah apabila jiwanya kaya, seringgit yang diinfaqkan tidak sama nilainya dengan seringgit yang didermakan oleh orang yang berharta.



Sewajarnya, seorang hartawan itu perlu menjadi lebih dermawan kerana dia memiliki harta.


Firman Allah SWT dalam surah Ali- Imran ayat 14: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anakpinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak; kuda yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)”.



Kedua : Sifat Qana’ah Menjadi Amalan



Sifat qana’ah atau merasa kecukupan merupakan suatu sifat yang mesti disematkan di dalam jiwa setiap manusia. Sifat mulia ini akan mengikis sifat tercela (mazmumah) dan menyemai sifat tekun (Itqan) dalam mencari rezeki. Natijahnya, pembaziran, bermewah-mewah dalam berbelanja dapat dikikis dalam jiwa hartawan.



Ketiga : Mensyukuri Nikmat Kurniaan Allah



Islam melihat nikmat itu bukan hanya semata-mata kemewahan dan kedudukan yang terikat dengan pemikiran kebendaan tetapi segala kurniaan Allah kepada hambanya meliputi segala kemudahan dalam melakukan ketaatan, kesihatan, keluarga yang bahagia, anak-anak yang soleh, teman dan sahabat yang jujur, jiran tetangga yang harmoni dan sebagainya.



Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7: ِ“Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepadamu dan demi sesungguhnya, Jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”



Insan yang dikurniakan kepadanya harta, pangkat dan kedudukan yang hatinya tertanam benih keimanan dan disiram dengan ketaqwaan kepada Allah, pastinya akan lahir rasa bersyukur atas nikmat yang dimiliki.



Mengakhiri khutbah jumaat pada hari ini, mimbar menyeru kepada seluruh umat islam supaya :


1. Umat Islam wajib berusaha membina kekayaan jiwa dengan memperbanyakkan memperingati Allah Taala untuk mencapai keredhaanNya didunia dan diakhirat.



2. Umat Islam mestilah mengikis sifat bakhil dan tamak haloba.



3. Umat Islam hendaklah mensyukuri kurniaan Allah SWT dengan memperbanyakkan amal soleh seperti bersedekah, berzakat, berwakaf dan memperteguh sifat Qanaah.



“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan. Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang Selamat sejahtera dari syirik dan penyakit munafik”. (al-Syuara’ : 88-89).
Tags: jiwa, kebahagiaan, khutbah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments