mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Cinta Negara Asas Perpaduan”.

Petikan Khutbah Jumaat 15 September 2017M / 24 Zulhijjah 1438H: JAIS

“Cinta Negara Asas Perpaduan”.

Islam sangat menggalakkan umatnya saling bersatu padu, bekerjasama, saling memahami dan hormat-menghormati bukan sahaja dalam kalangan saudara se-Islam sendiri, malah juga sesama masyarakat bukan Islam terutamanya untuk memajukan negara dalam jais.jpgsemua bidang demi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara Malaysia.

Tanpa kerjasama, toleransi dan saling bersatu padu antara kaum, negara kita akan berada dalam kemunduran dan berlaku pergolakan yang berterusan sehingga boleh mengganggu gugat kesejahteraan Negara.

Ini menunjukkan betapa pentingnya rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, kaum dan agama saling memahami dan hormat menghormati serta bersatu padu demi membentuk negara bangsa yang maju dan aman damai.

Ini bertepatan dengan firman Allah taala dalam surah al-Maidah ayat 2: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertakwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Perpaduan yang kita nikmati hari ini adalah hasil dari pengorbanan, kesabaran dan usaha gengerasi kita yang terdahulu.

 Rakyat Malaysia sewajarnya menghargai dan menikmati erti perpaduan yang sebenar dan jangan berpecah belah dan berselisih faham yang membawa kepada kehancuran dan kelemahan kepada kita

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 46: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”

Islam juga sangat menggalakkan umatnya mencintai negara. Sabda Nabi SAW ketika pertama kali sampai di Madinah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ya Allah, jadikan kami mencintai Madinah seperti cinta kami kepada Makkah atau melebihi cinta kami pada Makkah”. (Riwayat al-Bukhari).

Semangat cintakan negara mesti dididik sejak dibangku sekolah lagi dan disuburkan secara berperingkat dan berterusan dalam jiwa rakyat pada setip lapisan masyarakat dari semasa ke semasa.

Perasaan cintakan negara akan melahirkan sifat kebertanggungjawaban dalam memajukan negara dipelbagai bidang samada sosial, ekonomi, politik, agama, budaya atau pendidikan.

Memahami kepelbagaian budaya dan adat resam semua kaum dalam Negara kita akan dapat mengukuh ikatan tali perpaduan kaum ke arah kemajuan negara pada masa depan.

Seterusnya, ikatan perpaduan ini akan menjadi penggerak kepada integrasi nasional dalam membina sebuah negara yang aman makmur.

Sejarah Islam di bawah pimpinan junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW di Madinah telah membuktikan bahawa negara yang mempunyai penduduk pelbagai agama dan kaum boleh hidup aman damai di bawah satu pemerintahan.

Rasulullah SAW telah berjaya menyatupadukan semua penduduk Madinah dan mereka saling bersatu padu, bertoleransi dan saling tolong-menolong dengan membentuk satu perlembagaan negara yang dikenali sebagai “Piagam Madinah”.

Antara isi perlembagaan tersebut ialah semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam meningkatkan kemajuan ekonomi Madinah, bersatu padu dan patuh kepada Rasulullah SAW sehingga Madinah menjadi sebuah negara Islam terulung pada waktu itu.

Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk sepatutnya mendukung, memahami dan menghayati Perlembagaan Negara yang digubal demi menjamin keamanan negara kita

Mengakhiri khutbah pada hari ini,

1. Umat Islam wajib mencintai Negara dengan memelihara keamanan dan perpaduan.

2. Sebagai rakyat yang cintakan Negara, wajiblah bersikap saling hormat-menghormati tanpa mengira agama dan bangsa yang merupakan asas perpaduan dan keamanan Negara.

3. Umat Islam mestilah mensyukuri nikmat keamanan dan perpaduan yang dikecapi pada hari ini dan menolak sebarang bentuk pertelingkahan dan perselisihan yang membawa kepada kehancuran.

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat pula kepadamu dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku”. (al-Baqarah : 152).
Tags: khutbah, perpaduan
Subscribe

Posts from This Journal “perpaduan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments