mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Hijrah Tuntutan Hidup Muslim”

Petikan Khutbah Jumaat 22 September 2017M / 01 Muharram 1439H: JAIS

“Hijrah Tuntutan Hidup Muslim”.

Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah al Mukarramah ke Madinah al Munawwarah merupakan suatu peristiwa agung dan bersejarah. Ia menjadi perintis perkembangan dakwah Islamiah yang berjaya melahirkan ummah jais.jpgyang cemerlang di bawah naungan Daulah Islamiah (Negara Islam) Madinah. Diatas keagungan dan kebesaran peristiwa ini, maka para Sahabat Ridwanullah Alaihim sepakat menerima cadangan Saidina Umar Al-Khatab Radiallahu Anhu agar peristiwa hijrah ini dijadikan permulaan kalendar Islam.

Pengertian Hijrah sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abdullah Bin Amru Radiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Sebenarnya orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan segala larangan Allah”. (Riwayat al-Bukhari)

Hijrah ialah meninggalkan segala bentuk perbuatan maksiat dan mungkar yang dilarang oleh Allah SWT. Berubah dari tabiat atau cara hidup yang buruk kepada yang baik dan dari yang baik kepada yang lebih baik adalah hijrah. Berubah daripada kehidupan yang lalai kepada mendekatkan diri kepada Allah adalah hijrah. Perubahan seperti ini hanya mampu dilakukan dengan semangat jihad dan niat yang suci serta ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Islam menggalakkan ummatnya supaya berusaha untuk mencapai kehidupan yang lebih baik dan maju serta berada dalam lingkungan rahmat dan keredhaan dan tidak menyuruh ummatnya berdiam diri dan berserah kepada takdir Allah SWT semata-mata tanpa berusaha bersungguh-sungguh.

Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 11; “...Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri...”

Iman merupakan penggerak utama dan pembimbing diri manusia untuk melakukan kebaikan dan mengawal diri daripada melakukan keburukan. Iman adalah keyakinan di hati, ikrar dengan lidah dan dijelmakan dengan amalan. Ini bertepatan dengan ayat yang dibacakan pada ayat pembukaan tadi iaitu ayat 20 surah al-Taubah yang bermaksud; “(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan Masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”

Sebuah hadis daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Ada tiga perkara yang akan turut menghantar mayat ke perkuburan. Dua daripadanya akan kembali dan satu lagi tetap tinggal bersamanya. Keluarganya, hartanya dan amalannya akan menghantar ke perkuburan. Keluarga dan harta akan kembali, sedangkan amalannya akan tetap setia bersamanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Seseorang yang telah meninggal dunia akan terputuslah peluang untuk menambah pahala amalannya, kecuali mereka yang telah melakukan tiga amalan baik semasa hidupnya seperti berikut:

Pertama: Sedekah jariah, iaitu harta yang disumbangkan untuk kepentingan agama, seperti membina masjid, surau, sekolah dan sebagainya, selama mana harta itu dimanfaatkan maka selama itulah pahalanya akan bertambah.

Kedua: Ilmu yang dimanfaatkan oleh orang lain dan menambahkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Selama mana ilmu itu dikembangkan dan diajarkan, selama itulah orang yang mengajarkannya akan mendapat pahala yang berterusan.

Ketiga: Anak yang soleh yang mendoakan keampunan bagi kedua ibubapanya. Setiap kali anaknya mendoakannya, maka ibubapanya akan memperoleh rahmat dari Allah SWT.

Mengakhiri khutbah kali ini, marilah kita jadikan tahun baru hijrah 1439 ini menghayati perkara-perkara berikut;

1. Setiap individu muslim perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kehidupan yang lebih baik dengan berlandaskan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

2. Sambutan Maal Hijrah adalah masa yang terbaik untuk kita muhasabah diri dengan mengukur dan menilai sajauh mana kesungguhan kita melakukan perubahan dan penambahbaikan dalam hidup.

3. Umat Islam hendaklah berhijrah dengan berpaksikan jihad dan iman, kerana ia adalah merupakan kunci bagi manusia untuk meraih darjat yang tinggi di Sisi Allah SWT.

4. Umat Islam hendaklah bersungguh-sungguh untuk berubah dalam mentaati perintah Allah dan Rasul serta meninggalkan larangannya kerana itu merupakan hijrah yang dituntut oleh Islam sebelum kita berhijrah ke alam barzakh.


“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan); bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan. (al-Hasyr; 18).
Tags: hijrah, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “hijrah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments