mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat “Akhlak Mulia, Ibadah Sempurna”

Petikan Khutbah Jumaat 20 Okt 2017M / 29 Muharram 1439H: JAIS

“Akhlak Mulia, Ibadah Sempurna”.

Agama Islam amat menitik beratkan soal akhlak dalam kehidupan seharian. Antara misi dakwah utama yang dibawa dan disampaikan oleh Rasulullah SAW adalah untuk membina akhlak manusia. Akhlak merupakan roh jais.jpgIslam, agama tanpa akhlak diibaratkan seperti jasad yang tidak bernyawa.

Akhlak adalah bermaksud budi pekerti, kelakuan, tingkah laku yang baik. Allah SWT melalui firman-Nya yang menyebutkan ketinggian akhlak nabi dalam surah al-Qalam ayat 4: “Sesungguhnya padamu (Muhammad) akhlak yang tinggi”

Akhlak yang mulia merupakan tingkah laku yang terhasil daripada diri seseorang itu melalui sikap dan keperibadian yang ditonjolkannya.

Rasulullah pernah memohon perlindungan Allah supaya terhindar daripada akhlak yang buruk sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Qutbah bin Malik R.Anhu bahawa Nabi SAW berdoa: َ “Ya Allah, aku momohon perlindungan-Mu daripada kemungkaran akhlak, amalan yang buruk dan hawa nafsu yang jahat”.

Sumber akhlak Islam adalah al-Quran dan as-Sunnah yang diwariskan oleh Rasulullah SAW.

Tanggungjawab membentuk akhlak merupakan satu agenda besar bertepatan dengan hadis daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik”. (al-Baihaqi).

Antara ciri-ciri akhlak mulia dan terpuji Rasulullah SAW dan boleh diamalkan oleh umat Islam adalah :

1. Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat
2. Memelihara penglihatan dari perkara-perkara yang dilarang Allah
3. Memelihara lidah daripda kata-kata keji
4. Bersifat lembut dan sabar dalam menghadapi ujian
5. Bersifat benar dan jujur dalam hidup bermasyarakat
6. Bersifat rendah diri dalam pergaulan

Secara tidak langsung akhlak mempunyai hubungan dengan aqidah dan syariat. Di dalam al-Quran Allah SWT menyeru orang-orang yang beriman supaya mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh. Firman Allah didalam surah al-Baqarah ayat 208 : “Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya”

Setiap amalan dan perbuatan manusia hendaklah berlandaskan kepada ajaran Islam yang lengkap meliputi aspek ibadah, akhlak, muamalah dan sebagainya. Akhlak yang mulia adalah merupakan tanda dan kesan dari iman dan aqidah yang luhur. Akhlak adalah buah daripada ibadah. Ibadah yang sempurna membuahkan akhlak yang baik dan ada nilainya di sisi Allah SWT.

Abu Hurairah R.Anhu meriwayatkan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW dengan katanya:  “Wahai Rasulullah, ada seorang wanita yang terkenal dengan banyak shalat, puasa dan sedekah, hanya saja ia menyakiti tetangganya dengan lisannya”

Jawab Nabi SAW: َ“Dia di neraka”. Tanya lelaki itu lagi kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, ada seorang wanita yang terkenal dengan sedikit puasa, sedekah dan shalatnya, ia hanya bersedekah dengan sepotong keju, tetapi ia tidak menyakiti tetangganya dengan lisannya”. Maka jawab Nabi SAW: ِ “Dia di syurga”. (Riwayat Ahmad).

Dewasa ini, terdapat segelintir individu yang mengamalkan cara hidup beragama tetapi tidak menitik beratkan aspek akhlak dan nilai mulia pada peribadinya. Di akhir-akhir ini terdapat beberapa gejala sosial yang merosakkan masyarakat seperti anak membunuh ibu, suami mendera isteri, ada juga beberapa kumpulan remaja yang sanggup membakar pusat pengajian tahfiz lantaran dipengaruhi najis dadah.

Kesimpulan khutbah yang dapat diambil pengajaran pada hari ini adalah :

1. Umat Islam mestilah berakhlak dengan akhlak yang mulia bertunjangkan kepada akidah yang benar.
2. Umat Islam hendaklah menjauhi akhlak yang buruk supaya dapat mengelakkan amalan ditolak oleh Allah SWT lalu dihumbankan kedalam api neraka Allah SWT..
3. Umat Islam hendaklah menjadikan Rasulullah SAW sebagai tauladan yang baik dalam kehidupan seharian

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (al-Ahzab : 21).
Tags: akhlak, ibadah, khutbah, mulia
Subscribe

Posts from This Journal “akhlak” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments