mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Banteras Ajaran Sesat”

Petikan Khutbah Jumaat 27 Okt 2017M / 06 Safar 1439H: JAIS

“Banteras Ajaran Sesat”

Ajaran sesat adalah merosakkan kehidupan beragama umat Islam tanpa mengira tempat dan masa. Di negeri Selangor terdapat 34 ajaran yang telah difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan diwartakan sejak tahun 1991 sehingga 2016.
jais.jpg
Dalam 34 ajaran sesat ini terdapat 302 ciri-ciri kesesatan dan penyelewengan yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenarnya.

Dari 302 ciri-ciri kesesatan ini pecahannya adalah seperti berikut iaitu 182 unsur kesesatan yang berkaitan akidah seperti mengaku Nabi selepas Nabi Muhammad SAW, mendakwa ajaran mereka adalah wahyu dari Allah dan mengkafirkan orang lain yang tidak mengikuti ajaran mereka.

Selain itu, 77 ciri kesesatan yang berkaitan syariah, antara kesesatannya ialah tidak wajib menunaikan solat Jumaat dan mengamalkan nikah batin dengan 6 orang perempuan serta mendakwa solat yang dilakukan lima kali sehari hanyalah rekaan para ulama sahaja.
Manakala yang berkaitan akhlak pula, terdapat 43 ciri kesesatannya iaitu antaranya mencerca dan memfitnah ulama’ dan mencabar kewibawaan Pihak Berkuasa Agama serta membolehkan ahli kumpulan mencuri dan berbohong untuk kepentingan ajaran mereka.

Ajaran sesat ini sebenarnya telah wujud pada zaman Nabi Muhammmad SAW sehinggalah sekarang. Nabi Muhammad SAW ada menyebut terdapat 72 ajaran sesat sebagaimana Hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Amru R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda: “Telah berpecah kaum Bani Israel kepada 72 pegangan manakala umat aku pula berpecah 73 pegangan, semuanya masuk ke dalam neraka (iaitu 72) kecuali satu sahaja…”. (Riwayat at-Tirmizi)

Dalam kitab Bughyatul Mustarsyidin karangan Mufti Sheikh Syed Abdul Rahman bin Muhammad Ba’lawi menyebut bahawa 72 kumpulan ini adalah berpunca daripada 7 kumpulan ajaran sesat yang besar iaitu Syiah, al-Khawarij, Muktazilah, Murji’ah, Najariah, Jabariah dan Musyabbihah yang wujud sekitar tahun 30 hingga 350 hijrah.

Syiah yang mengkafirkan Abu Bakar As-Siddiq dan menyatakan bahawa Saiyidina Ali dengan Allah adalah samataraf telah berpecah kepada 22 kumpulan.

Al-Khawarij pula telah berpecah kepada 20 kumpulan sesat. Al-Khawarij berpegang kepada prinsip hukum quran sahaja, sistem khalifah tiada dalam Islam, mengkafirkan Saiyidina Ali dan orang yang melakukan dosa besar dihukumkan kafir.

Manakala kumpulan Muktazilah telah berpecah kepada 20 kumpulan ajaran sesat yang berpegang kepada prinsip bahawa akal adalah lebih utama dari al-Quran dan pekerjaan manusia adalah perbuatan manusia sendiri tiada kaitan dengan kekuasaan dan kehendak Allah.

Murji’ah pula berpegang kepada prinsip manusia boleh melakukan maksiat dan tidak akan berlaku apa-apa mudharat jika maksiat dilakukan kerana masih ada keimanan kepada Allah. Murji’ah ini telah berpecah kepada 5 kumpulan ajaran sesat.

Manakala kumpulan Najariah yang wujud pada tahun 198 Hijrah pula telah berpecah kepada 3 kumpulan ajaran sesat yang menyatakan bahawa orang beriman yang melakukan dosa pasti masuk neraka.

Akhir sekali kumpulan Jabariah dan Musyabbihah masing-masing ada satu kumpulan ajaran sesat.

Kumpulan Jabariah berpegang kepada prinsip bahawa Allah menentukan segala usaha dan nasib manusia. Jika manusia itu miskin adalah ketentuan Allah. Manusia redha dan terima sahaja tanpa perlu berusaha dan mengubah nasibnya.

Manakala kumpulan Musyabbihah pula menyatakan bahawa ada keserupaan Allah dengan manusia umpamanya Allah bertangan, Allah berkaki, Allah duduk atas kerusi dan Allah naik tangga dan turun tangga seperti manusia

Ajaran sesat ini menyerang dengan senyap lagi bahaya. Antara sebab umat Islam mudah terjebak ialah:

1. Jahil dan tidak berilmu.

“Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan ilmu secara tiba-tiba, akan tetapi ia berlaku dengan kematian para ulama. Sehinggakan apabila tiada lagi ulama, maka masyarakat melantik orang jahil sebagai pemimpin atau ilmuwan mereka. Apabila mereka ditanya, mereka memberikan jawapan tanpa ilmu, maka mereka itu sesat lagi menyesatkan”. (Riwayat al-Bukhari).

2. Kesilapan memilih guru.

Abu Dzar al-Ghifari meriwayatkan bahawa suatu hari ia berjalan bersama Nabi menuju ke rumah Baginda SAW. Beliau mendengar Nabi bersabda: “Ada yang aku lebih takut ke atas umatku daripada dajjal.” Apabila beliau khuatir Baginda masuk ke rumahnya, maka aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang engkau lebih takut ke atas umatmu selain dajjal?” Kemudian Baginda menjawab: “Ketua-ketua yang menyesatkan”. (Riwayat Ahmad).

3. Mengambil jalan mudah. Kebanyakan pengikut ajaran sesat hari ini mengambil jalan mudah dalam memahami agama. Mereka dengan mudah mengikut pandangan guru mereka sebagai asas pegangan dan amalan mereka.

4. Jahil dalam Bahasa Arab dan tidak mengetahui ilmu-ilmu hadis. Tidak mengetahui dan memahami Bahasa Arab yang sebenarnya menyebabkan tersalah tafsir perkataan tertentu sehingga terpesong jauh daripada makna yang sebenarnya.

Mengakhiri khutbah …

1. Umat Islam hendaklah berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagaimana pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

2. Umat Islam hendaklah melengkapkan diri dengan kefahaman Islam kerana pengaruh ajaran sesat dapat ditangkis dengan kefahaman Islam yang sebenar melalui proses pembelajaran secara sempurna melalui guru yang diiktiraf.

3. Umat Islam hendaklah melaporkan kepada Pihak Berkuasa Agama dengan kadar segera apabila menemui atau mengetahui mana mana orang Islam yang mengamal atau menyebarkan ajaran-ajaran yang meragukan.

4. Umat Islam hendaklah membantu penguatkuasa agama dalam melaksanakan program pemulihan akidah secara menyeluruh melibatkan setiap golongan yang terjebak dengan ajaran sesat.

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain” (Surah Yusuf : 108).
Tags: khutbah, sesat
Subscribe

Posts from This Journal “sesat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments