mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Fenomena Alam Bukti Kebesaran Allah”.

Petikan Khutbah Jumaat: (10 November 2017M / 21 Safar 1439H) JAKIM

Fenomena Alam Bukti Kebesaran Allah”.

Mutakhir ini, kita sering mendengar berita mengenai pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
jakim.jpg
Mulai dari hujan lebat dan angin kuat, ia kemudiannya menyebabkan berlakunya banjir dan tanah runtuh hingga mengorbankan nyawa dan kerosakan harta benda.

Dalam konteks ilmu sains, bencana alam sebegini adalah suatu fenomena alam yang terjadi akibat ketidakseimbangan ekosistem yang ada di bumi ini sama ada disebabkan oleh perubahan alam secara semulajadi atau pun disebabkan oleh kecuaian manusia sendiri.

Dalam konteks keimanan, bencana tersebut merupakan suatu peringatan daripada Allah SWT.

Musibah ini adalah suatu ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT yang wajib kita imani dan bertawakal kepada-Nya.

Firman Allah dalam surat At-Taubah ayat 51, Maksudnya: “Katakanlah: Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal.”

Bencana alam merupakan fitrah alam yang tidak dapat di halang oleh manusia. Antaranya peristiwa tsunami yang melanda Acheh (2004) dan Jepun (2011) telah menggemparkan seluruh dunia.

Kita juga tidak terlepas daripada ditimpa bencana besar seperti tragedi runtuhan Highland Towers (1993), banjir lumpur Pos Dipang (1996), banjir besar pada 2014; dan gempa bumi gunung Kinabalu (2015).

Menyoroti hikmah di sebalik bencana yang menimpa, terdapat sekurang-kurangnya tiga pengajaran penting yang boleh kita ambil sebagai pedoman.

Yang pertama, bencana yang berlaku adalah salah satu ujian daripada Allah SWT bagi mengetahui kualiti keimanan hamba-Nya. Melalui bencana, kita menyedari kelemahan diri kita dan mengakui kekuasaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Al-‘Ankabut ayat 2-3, Maksudnya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?. Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta.”

Yang kedua, bencana adalah untuk menguji kesabaran manusia.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 155-156, Maksudnya:Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.”

Dan yang ketiga, bencana menjadi medan ujian kasih sayang kita kepada saudara kita yang ditimpa penderitaan.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: Mafhumnya: “Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang meringankan satu kesusahan seorang mukmin, Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang memudahkan urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkan untuknya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa menutupi (aib) saudaranya sesama muslim, Allah menutupi (aib) nya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu suka menolong saudaranya.”


Walaupun situasi bencana memberi kesan buruk kepada mangsa, sisi positifnya ia menyerlahkan kebersamaan semua pihak yang bersolidariti menghulurkan tangan membantu tanpa prejudis.

Inilah masa terbaik untuk kita bersatu hati dibawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan agama, bangsa dan negara.

Sebagai seorang muslim beriman dan percaya pada Qada' dan Qadar, yakinlah bahawa setiap perkara yang terjadi sama ada baik atau buruk, suka atau duka, kesenangan atau kesusahan, semuanya ada hikmah yang tersembunyi, bukti kebesaran Allah.

Pengajaran khutbah kita pada hari ini ialah:
Pertama: Bencana adalah ujian untuk meningkatkan kualiti keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Kedua: Musibah boleh merintis jalan muhasabah dalam menghadapi sebarang kemungkinan terhadap ancaman bencana.
Ketiga: Nilai kasih sayang wajar disuburkan sepanjang masa dan zaman bagi membina masyarakat penyayang dan berakhlak mulia.

Maksudnya: “Tidak ada kesusahan yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Surah al-Hadid: 22)
Tags: alam, alam sekitar, kebesaran, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “khutbah” Tag

  • Khutbah Jumaat Bahtera Kasih Menuju Bahagia

    Petikan Khutbah Jumaat 22 Oktober 2021M/ 15 Rabiulawal 1443H JAWI Bahtera Kasih Menuju Bahagia Islam melihat institusi kekeluargaan adalah sangat…

  • Khutbah Jumaat: Maulidur Rasul SAW

    Petikan Khutbah Jumaat 22 Okt 2021M / 15 Rabi’ul Awwal 1443H: JAIS Maulidur Rasul SAW Alhamdulillah, kita rafakkan pujian dan kesyukuran ke…

  • Khutbah Jumaat Semarak Cinta Rasul

    Petikan Khutbah Jumaat 15 Oktober 2021M/ 8 Rabiulawal 1443H JAWI Semarak Cinta Rasul Bulan Rabiulawal kembali mengingatkan kita akan kelahiran…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments