mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perkuat akal melalui ilmu, Akal pengaruh cara berfikir, bertindak

Akal pengaruh cara berfikir, bertindak

Saidatina Aisyah bertanyakan kepada Rasulullah SAW, "Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di dunia. Baginda SAW menjawab: Dengan akalnya. Saidatina Aisyah bertanya lagi: Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di akhirat. Baginda menjawab: Dengan akalnya. Lantas Aisyah bertanya: Bukankah seseorang itu mendapat keutamaan dengan amalnya? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Seseorang itu beramal mengikut kadar akalnya." (Riwayat Tirmidzi)

Menerusi rancangan Islam itu Indah di radio IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata, cara seseorang berfikir mempengaruhi hatinya. Begitu juga dalaman diri menentukan luaran kerana seorang yang hatinya tidak tenang tidak akan mampu tersenyum ikhlas atau bertindak dengan baik.


Orang berjaya menggunakan masa dengan rutin yang produktif seperti mengisi waktu dengan ilmu, kuat bekerja, banyak amal ibadat kepada Allah SWT. - Foto hiasan

Pada waktu tertentu, hati mencorakkan cara kita berfikir, tetapi dalam banyak waktu akal menentukan corak dan bentuk fikiran seterusnya hati. Sebab itu golongan bijak pandai menyebut, akal itu pelita bagi hati.

Bijak guna masa

Ada juga menyatakan akal itu telinga hati. Jika apa didengar dan dilihat itu perkara yang baik, nescaya seorang itu akan dapat menuai sebanyak mungkin kebaikan. Begitu juga jika ruang fikiran dipenuhi kejernihan ilmu, cara berfikir yang baik akan menghasilkan pemikiran positif.

Pakar psikologi menyebut, manusia sering membazirkan masa kepada perkara yang sama. Banyak orang fokus kepada hasil bukan proses. Bagaimanapun, setiap orang yang mendapat hasil bagus adalah kerana prosesnya yang sempurna.

Contohnya, seorang yang jahat kemudian berubah menjadi orang alim yang baik. Ia berlaku kerana proses yang dilalui seperti mendekatkan diri dengan orang alim, banyak menuntut ilmu, bermujahadah dan istiqamah sehingga menjadi seorang insan yang baik serta berilmu.

Justeru, apa yang kita lakukan setiap hari akan menentukan hasil yang diperoleh. Jika waktu yang dimiliki dibazirkan dengan perkara sia-sia, ia tidak akan mendatangkan kejayaan melainkan kegagalan.

Pakar menyebut, kegagalan seorang itu kerana tidak menggunakan waktu dengan bijak. Orang berjaya menggunakan masa dengan rutin yang produktif seperti mengisi waktu dengan ilmu, kuat bekerja, banyak amal ibadat kepada Allah SWT.

Diterjemah dalam perbuatan

Antara perbuatan menentukan kita memperoleh kejayaan ialah cara berfikir. Corak fikiran positif akan mempengaruhi hati yang stabil seterusnya mempengaruhi setiap tindak tanduk. Oleh itu, kita perlu mengawal corak fikiran kerana ia mempengaruhi emosi dan tindakan yang bakal diambil.

Cerdik pandai menyebut, fikiran bukan apa yang kita fikirkan mengenai diri. Ramai orang berfikir dan mendakwa dirinya positif serta baik, tetapi ia tidak diterjemahkan dalam corak pemikirannya.

Ertinya, apa yang kita fikir, ucap, digerakkan melalui rasa, emosi dan ditunjukkan melalui perbuatan. Itulah yang disebut corak fikiran kita bukan perasaan atau penilaian terhadap diri sendiri.

Hakikatnya, kita sendiri boleh membuat penilaian terhadap diri. Sepanjang hari berapa banyak kita bersangka baik terhadap orang lain, sejauh mana kita positif dengan persekitaran kita dan bagaimana kita berdepan dengan situasi dilalui.

Jadi seperti gula

Gula dan semut dalam situasi berhubung rezeki, ada yang berfikir mahu seperti semut gigih mencari rezeki. Namun ada pula berfikir seperti gula. Cara berfikir seperti gula, bagaimana 'memaniskan' diri dengan bertindak baik untuk menarik lebih banyak rezeki.

Oleh itu, kita akan selalu bertindak, berfikiran baik akan dan kata-kata seperti gula manis yang boleh mendatangkan kegembiraan kepada orang lain dan seterusnya mendatangkan rezeki buat kita juga.

Begitulah dalam hidup ini, apa juga peranan kita sebagai anak, suami, isteri atau sesiapa sahaja. Mengejar bahagia dalam rumah tangga umpamanya, jangan mencari bahagia itu dalam perkahwinan sebaliknya jadikan perkahwinan jalan ibadat untuk mencapai kebahagiaan.

Begitulah corak berfikir, jadilah seperti gula yang sentiasa memberi rasa manis sehingga menarik perhatian sesiapa sahaja dan akhir natijahnya mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri serta orang lain.

Perkuat akal melalui ilmu


Akal memainkan peranan penting dalam membina kekuatan diri. Islam menggalakkan penggunaan akal, namun bukan akal secara mutlak dan bersendirian sebaliknya akal yang dipandu dengan panduan agama dan syariat.

Felo Utama dan Pengarah Syarak, Dr Mohd Farid Mohd Syahran menyentuh hal ini dalam bicaranya mengenai 'Membina Kekuatan Jiwa Dalam Pendidikan' yang bersiaran dalam program Guru dan Pendidikan di radio IKIMfm, hari Selasa jam 5.15 petang.

Terdahulu, beliau mengupas perkataan jiwa itu sendiri yang sering dikenali sebagai kalbu, roh, diri dan satu lagi istilah ialah 'akal'. Akal sentiasa dirujuk kepada intelek, aspek logik, aspek rasional dan kalau dirujuk kepada al-Quran, 'akal' amat rapat dan sentiasa merujuk kepada perkara yang tinggi termasuklah aspek ketuhanan.

Mereka yang kuat akalnya itulah orang yang dekat dengan ketuhanan. Orang yang kuat akal akan menjadi orang yang mampu mengawal emosinya. Perkara ini perlu dijelaskan kerana kita tidak boleh menjauhkan 'akal' itu dari aspek ketuhanan kerana ada kecenderungan dalam masyarakat kita yang melihat bahawa penilaian akal itu tidak benar dan hanya bersifat duniawi semata-mata, tersasar daripada iman dan membawa kesesatan.

Kecenderungan ini kurang tepat kerana 'akal' juga memainkan peranan penting dalam Islam dan lantaran itulah kita sering menemui ayat-ayat al-Quran yang menyebut 'afala ta'qilun' atau 'afala tatafakkarun' dan seumpamanya (kenapa kamu tidak berfikir?).

Galak akal berfikir kebesaran Allah

Islam menggalakkan penganutnya menggunakan akal dalam memikirkan tanda kebesaran Allah SWT. Orang yang serius dalam menggunakan akalnya itu akan menghampiri kebenaran. Penggunaan akal tidak boleh dipisahkan daripada agama, tetapi akal perlu bergerak seiring agama.

Akal ini mengikut Imam al-Ghazali seperti yang dinukilkan dalam Kitab Ajaib al-Qalb yang merujuk kepada empat perkara. Pertama, pembawaan tabii dalam diri manusia yang membezakan manusia daripada makhluk lain. Maknanya apabila manusia menggunakan akal yang juga tabii dalam dirinya dengan betul dan memperkukuhkan elemen yang membawa kepada kuatnya akal, ia mampu membezakan manusia dengan haiwan.

Bahkan ia menjadi manusia sebagai makhluk yang sebaik-baik kejadian (ahsanul taqwim). Oleh itu, untuk menjadi manusia yang paling baik ialah dengan cara memperkuatkan akal dan cara memperkuatkan akal itu ialah melalui ilmu.

Lantaran itu, kita sering mendengar pesan orang tua-tua dahulu setiap kali menghantar anak mereka ke sekolah dengan ungkapan "kau pergi sekolah ini agar menjadi manusia". Sebenarnya orang tua dulu faham mengenai falsafah pendidikan itu sendiri dalam konteks yang paling mudah difahami iaitu untuk melahirkan manusia kerana hanya dengan ilmu sahajalah 'manusia' sebenarnya akan dapat dilahirkan.

Tanpa ilmu walaupun manusia itu jasadnya manusia, namun akhlak dan peribadinya mungkin lebih teruk daripada binatang bahkan lebih daripada itu sehingga adanya istilah yang sering digunakan iaitu 'syaitan bertopengkan manusia' sebagai menggambarkan bagaimana sifat manusiawi yang mulia itu sudah tiada pada individu berkenaan.

Maksud kedua mengikut Imam al-Ghazali, akal itu ialah apabila ilmu daruri atau 'ilmu yang pasti' datang pada diri seseorang. Oleh itu, dalam Islam ada istilah 'akil baligh' yang merujuk kepada sampainya umur akalnya dan kemampuan akal untuk menerima tanggungjawab (taklif).

Justeru, mereka ini disebut mukalaf iaitu orang yang dipertanggungjawabkan. Kenapa mereka mula dipertanggungjawabkan? Kemampuan akal mereka untuk memilih baik dan buruk, benar dan jahat. Sekiranya akal mereka masih belum sempurna untuk menilai dan membezakan sesuatu, maka selama itu mereka tidak dibebankan dengan tanggungjawab.

Kepentingan akal dalam agama

Oleh sebab itu kanak-kanak, orang gila atau orang terlalu tua yang sudah nyanyuk atau lemah daya akalnya tidak lagi dibebankan dengan tanggungjawab agama kerana kemampuan akalnya yang sudah tidak sempurna. Ini jelas menunjukkan betapa akal itu amat penting dalam agama.

Ketiga, akal merujuk kepada pengalaman hidupnya. Jika seseorang itu lama hidupnya, lebih banyak pengalamannya dan sepatutnya lebih kuat daya akalnya.

Keempat, akal itu merujuk kepada kekuatan dalam diri membolehkan seseorang itu mengetahui akibat sesuatu itu baik atau buruk. Lagi kuat seseorang itu untuk membuat penilaian terhadap baik buruk sesuatu perkara, maka menjadi dalil betapa kuat akalnya.

Sebab itu antara ciri pemimpin ialah memiliki akal yang 'tadabbur' iaitu mampu merenung jauh dalam setiap tindakan yang diambil. Jika pemimpin tidak mampu membuat analisis dengan lebih baik terhadap sesuatu baik atau buruk, maka beliau bukan seorang pemimpin yang baik.

Bagaimana pula cara untuk memantapkan daya pemikiran dan akalnya? Akal manusia ini mempunyai kemampuan menggambarkan (tasawur) sesuatu. Sebagai contoh konsep kecantikan mampu digambarkan secara automatik oleh akal.

Akhirnya manusia seakan boleh sepakat terhadap sesuatu itu cantik, walaupun ia sesuatu yang bersifat konsep dan abstrak. Begitu juga apabila kita melihat kereta atau pokok. Kita seakan sepakat mengenai konsep kereta atau pokok dalam akal kita.

Begitu juga peranan akal ialah menyusun cara berhujah, menggunakan premis yang logik dalam menyampaikan kepada kesimpulan atau rumusan.

Dalam gagasan pendidikan baharu bagi melahirkan pelajar yang mampu berfikir aras tinggi, kemampuan akal perlu dipertingkatkan sehingga mampu membuat perbandingan, menganalisis (analitikal), dan mengaplikasi teori baharu dalam kehidupan.

Tags: akal, berfikir, bertindak, ilmu
Subscribe

Posts from This Journal “akal” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments