mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada”.

Petikan Khutbah Jumaat 08 Dis 2017M / 19 Rabiulawal 1439H: JAIS

“Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada”.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nur ayat 55: “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, jais.jpgsebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka”. Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya, antara intisari ayat ini menyatakan bahawa Allah yang menjadikan umat manusia sebagai khalifah di muka bumi, iaitu menjadi pemimpin umat manusia, dan penguasa mereka. Di tangan merekalah negeri-negeri akan menjadi baik, umat manusia patuh kepada mereka.

Rakyat dididik supaya hormat dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada raja. Titah raja di junjung, nasihat raja dipatuhi dan wasiat raja menjadi panduan.

Tradisi  itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Amru Radiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mendengar dan mentaati perintah ketua itu satu kewajipan setiap orang Islam, sama ada perkara yang dia suka atau benci selama mana tidak di suruh berbuat maksiat. Apabila di suruh melakukan maksiat, maka janganlah dengar dan mentaatinya” (Riwayat al-Bukhari)

Islam mula bertapak di gugusan kepulauan Melayu, melalui pendakwah yang datang dari luar termasuk sebagai pedagang.

Sifat rajaraja Muslim yang sangat baik, berdisiplin, hormat menghormati dan berpandangan jauh, ia telah memudahkan lagi kerja-kerja penyampaian dakwah oleh para pendakwah dan pengembangan Islam di rantau ini.

Dalam buku bertajuk Sultansultan Soleh Di Nusantara karangan Hasanuddin Yusof

Peringkat pertama: Berdakwah kepada raja secara langsung, sebagaimana Maulana Aziz berdakwah kepada Parameswara.

Peringkat kedua: Berdakwah kepada putera dan kerabat di raja, sebagaimana pengislaman kepada Pangeran Cakrabuana yang beragama Hindu.

Peringkat Ketiga: Pendakwah itu sendiri mendirikan kerajaan Islam, sebagaimana Sultan Syariful Hashim dari Hadramaut mendirikan kerajaan di Sulu, yang mendapat sokongan padu penduduk di situ.

Sikap pendakwah yang bijaksana dan penuh hikmah ini telah berjaya menyebarkan Islam ke alam Melayu. Ini bertepatan dengan perintah Allah SWT agar berdakwah dengan berhikmah menerusi firman-Nya dalam surah al-Nahl ayat 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbicara dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik…”.

Sifat taat setia rakyat kepada raja, yang menjadi adat budaya dalam masyarakat ketika itu, memudahkan rakyat menganut agama Islam apabila melihat raja mereka menerima agama tersebut.

Ini bermakna raja turut berperanan mengislamkan rakyat selain daripada hidayah Allah SWT. Oleh itu sewajarnya institusi beraja di Negara kita dipelihara dan dipertahankan, supaya syariat Islam terus berkembang hingga ke hari kiamat. Pelantikan seseorang ketua dalam sesebuah masyarakat amat penting.

Menurut Ibnu Khaldun dalam Muqaddimahnya, sesebuah masyarakat tidak dapat dipisahkan daripada wujudnya seorang pemimpin, sama ada pemimpin itu bergelar imam, khalifah, sultan, raja atau sebagainya.

Menjadi kewajipan setiap rakyat mentaati seseorang ketua yang telah di angkat menjadi pemimpin atau raja, sebagaimana Imam alMawardi menyatakan dalam kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah bahawa jumhur ulama ahli sunnah wal jamaah berpendapat, adalah menjadi kewajipan fardu ain ke atas orang Islam, mentaati pemerintah.

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ ayat 59: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”

Lembaran sejarah,seorang raja bernama Raja Haji yang dikenali sebagai Raja Haji Fi Sabilillah, telah ditabalkan sebagai Yang Di Pertuan Muda Riau ke-4, tahun 1777M.

Baginda adalah adik kepada Raja Lumu iaitu Sultan Selangor yang pertama. Baginda amat terkenal sebagai raja yang soleh lagi sufi, dan pahlawan yang perkasa yang berani menentang penjajah. Baginda bersama tenteranya telah melancarkan serangan ke atas tentera Belanda. Walau bagaimanapun, oleh kerana tentera Belanda amat kuat, akhirnya tentera Islam pimpinannya tidak berjaya.

Raja Haji gugur syahid ketika melakukan serangan ke atas pengkalan Maritim Belanda di Teluk Ketapang, Melaka pada tahun 1784M dan disemadikan di Teluk Ketapang, Melaka sebelum dipindahkan ke Pulau Penyengat.

Wasiat peninggalannya yang ditujukan kepada orang Melayu beragama Islam, antaranya:

1. Bahawasanya Melayu tidak sesekali ghaib daripada bumi yang Allah telah takdirkan untuknya. Semuanya akan diwariskan Allah kepada Raja yang adil lagi saksama, dan pembesar yang mukmin dan mukminat untuk memerintah.

2. Peperangan menentang penjajah, adalah untuk mengembalikan tanah, udara, air dan laut yang telah di rampas oleh penjajah.

3. Sesungguhnya orang-orang Islam adalah bersaudara, dan kita tidak akan kalah dalam mana-mana peperangan pun, jika kita bersatu padu ke jalan Allah.

Sesungguhnya, moyang poyangku bukanlah mahu di sanjung-sanjung dan di megah-megah, memadailah ku katakan apa yang kami inginkan ialah bangsa kita, hidup bermaruah dan mempunyai kehormatan diri.

Marilah kita sama-sama mengambil perhatian terhadap saranan berikut:

1. Umat Islam mestilah yakin bahawa Islam adalah agama yang sempurna yang diturunkan Allah untuk menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat.

2. Umat Islam wajib taat setia kepada raja atau ketua pada perkara yang tidak bertentangan dengan syarak.

3. Umat Islam dilarang menderhaka kepada pemimpin yang adil, kerana balasan buruk akan menimpa mereka di akhirat kelak.

4. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa musibah dan kehinaan akan menimpa sekiranya mereka berpecah, berhasad dengki dan buruk sangka sesama sendiri

 “Dan Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (al-Anfal : 46).


 
Tags: khutbah, raja, rakyat
Subscribe

Posts from This Journal “raja” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments