mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Apakah hukum bela biawak dalam rumah?

Apakah hukum membela biawak dalam rumah sebagai haiwan peliharaan?

Jawapan: MEMBELA binatang untuk dijadikan haiwan peliharaan dibolehkan dalam Islam selagi tidak berlaku zalim terhadap binatang tersebut dan tiada larangan menghalang memelihara binatang seperti khinzir dan anjing.

Imam Abu Syuja dalam Matan Al-Ghayah wa Al-Taqrib: "Dan bermula nafkah kepada hamba dan bahimah (haiwan ternakan) itu adalah wajib." Imam Al- Khatib Al-Syirbini menukilkan haiwan bahimah ini ialah haiwan yang muhtaram (yang dimuliakan yakni bukan haiwan perosak), tidak terhad kepada haiwan ternakan berkaki empat, seperti mana yang disebut Imam Al-Azraie.

Menjadi kewajiban bagi pemilik haiwan berkenaan untuk menyediakan makanan dan minuman sekadar boleh menghilangkan kelaparan dan kehausan. (Rujuk: Kitab Al- Iqna, 2/482)

Dalam satu hadis Nabi SAW mengatakan berkaitan haiwan disunatkan dibunuh disebabkan tabiat semula jadi haiwan tersebut. Perkara ini berdasarkan hadis berikut: Daripada ‘Aisyah RAH, Nabi SAW bersabda: "Khams fawasiq (haiwan perosak yang lima) yang perlu dibunuh meskipun dalam keadaan berihram; kala jengking, tikus, burung kite (burung pemangsa seakan helang), burung gagak dan anjing ganas." (Riwayat Muslim no 1198)

Al-Imam Malik mengatakan makna bagi hadis di atas adalah kerana tabiat khams fawasiq tersebut mendatangkan gangguan dan berbahaya dibolehkan dibunuh bagi mereka yang berihram. (Rujuk: Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/114)

Dalam perkara ini, kami berpandangan dilarang memelihara biawak bagi umat Islam dalam rumah atas dasar menutup mafsadah yang ada.

Sekalipun haiwan ini tidak disebut dalam hadis Nabi SAW dengan jelas sepertimana lima jenis haiwan yang lain, namun sifat semula jadi biawak sama dengan haiwan dalam hadis menjadikan biawak tergolong dalam haiwan perosak.

Berkaitan isu kebersihan pula, biawak ialah haiwan yang memakan benda kotor turut menjadikan haiwan tersebut tidak sesuai dipelihara dalam rumah umat Islam. Ini kerana, implikasi daripada kesan kotor biawak membawa kepada ketidak sempurna ibadat kepada ALLAH SWT.

Oleh itu, memelihara haiwan seperti ini dilihat membawa keburukan daripada kebaikan kepada pemelihara tersebut. Justeru, kepada mana-mana pemelihara disarankan untuk memelihara haiwan yang lebih mesra sifatnya kepada manusia serta tidak membawa kesan negatif kepada tuannya.

Tags: biawak, hukum
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments