mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Apa kelebihan Surah Hud ayat 44 ?

BOLEHKAH Surah Hud ayat 44 dijadikan sebagai doa untuk pulihkan banjir?

Jawapan: AYAT al-Quran itu ialah firman ALLAH SWT: "Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: "Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu." Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (ALLAH) itu.

Dan bahtera Nabi Nuh itu pun berhenti di atas gunung 'Judi' serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): "Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim." (Surah Hud: 44)

Imam Ibn Katsir RHM berkata: "ALLAH memberitahu sesungguhnya dia, apabila telah tenggelam warga bumi melainkan mereka yang berada di atas kapal, mengarahkan bumi supaya menelan airnya yang telah keluar daripadanya dan berhimpun di atasnya, dan langit untuk berhenti daripada terus menurunkan hujan." (Rujuk: Tafsir Al-Quran Al-`Azhim (4/323))

Ayat ini menunjukkan perbuatan ALLAH mengarahkan bumi dan langit untuk surutkan banjir yang berlaku pada zaman Nabi Nuh. Ini menunjukkan kehebatan dan keagungan ALLAH sebagai Pentadbir Hakiki bagi bumi dan langit sedangkan kekufuran manusia itu tidak sedikit pun menggugah kebesaran ALLAH.

Justeru, jika kita melihat kepada teks ayat tersebut menyebut perbuatan ALLAH yang mengarahkan bumi dan langit; dan bukan dalam bentuk doa.

Timbul persoalan; Apakah dibenarkan dalam hukum syarak bertabarruk dan bertawassul dalam doa kepada ALLAH dengan ayat ini yang meminta agar dipulihkan banjir di beberapa tempat dalam negara?

Kami tidak pasti perihal kemujaraban ayat ini dalam isu banjir. Tetapi sifat al-Quran itu sebagai syifa atau penyembuh tidak dapat dinafikan, sama ada yang disembuhkan itu penyakit nurani atau jasmani.

Termaktub dalam kitab ulama, antaranya yang dicatat oleh Imam Ibn Muflih Al-Hanbali RHM dalam Al-Adab Al-Syar'iyyah (2/457), bahawa Syeikh Taqiuddin Ibn Taimiyyah RHM menulis ayat tersebut pada dahi orang yang terkena penyakit hidup berdarah sebagai rukyah dan tabarruk dengan ayat al-Quran dalam rawatan jasmani.

Selain itu, Imam Al-Nawawi RHM ada menulis dalam kitabnya, Al-Adzkar (ms 182), satu bab yang bertajuk Apa yang perlu seseorang itu baca ketika hujan turun dengan terlalu banyak sehingga ditakuti berlakunya mudarat.

Beliau menyebut satu riwayat daripada Anas bin Malik RA bahawa seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW perihal kemarau yang mereka alami sehingga rosaklah harta dan jalan. Lalu Baginda SAW yang ketika itu sedang berkhutbah lantas berdoa dan hujan pun turun dengan lebat.

Apabila hujan turun dengan begitu lebat sehingga seminggu tidak nampak matahari, maka datang kembali lelaki tadi dan meminta doa daripada Rasulullah SAW agar ALLAH menghentikan hujan kerana harta dan jalan.

Maka Rasulullah SAW berdoa: "Ya ALLAH! (Kami bermohon agar hujan hanya) mengelilingi kami dan bukannya menimpa ke atas kami. Ya ALLAH! (alihkan ia) ke tempat-tempat tinggi, gunung ganang dan bukit bukau, perut-perut lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok." (Riwayat Bukhari  no 1014)

Berhentilah hujan dan keluarlah matahari. Sebahagian ulama menulis faedah doa ini bahawa secara adabnya kita berdoa agar ALLAH mengalihkan hujan ini ke tempat lain kerana hujan itu membawa rahmat dan keberkatan.

Sememangnya memperbanyakkan doa ketika musibah itu adalah amalan yang dituntut syarak.

Tidak salah untuk berdoa kepada ALLAH dengan bertawassul dan bertabarruk dengan ayat al-Quran termasuklah ayat yang dinyatakan di atas.

Namun daripada sudut keutamaan, kami menggalakkan agar masyarakat melazimi jua doa-doa yang warid daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang berkat dan mujarab.

Tags: hud, surah
Subscribe

Posts from This Journal “surah” Tag

  • Apa ada dengan surah al-Waqi’ah?

    RAMAI runsing apabila makan tak cukup atau harta berkurang, tapi sedikit yang risau jika bekal tidak cukup untuk ke akhirat. Sekiranya makan tidak…

  • Menerokai surah al-Quran

    SEPANJANG tempoh cuti sekolah ini, ramai kanak-kanak menghabiskan masa lapang mereka dengan menonton rancangan televisyen dan tidak kurang pula…

  • Resdung

    RESDUNG atau sinusitis adalah satu masalah lazim di seluruh dunia. Jika kita membuat ujian untuk penyakit resdung pada 10 orang, ujian tersebut…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments