mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Nikmat dalam lautan ujian

SETIAP hari adalah ujian untuk hidup. Ujian bukan hanya datang dalam bentuk kesengsaraan dan kepiluan, namun juga hadir dalam bentuk kesenangan dan keselesaan. Bagi mereka yang menerima ujian kesengsaraan merasakan ia adalah berat, malah terasa cukup lama untuk ditanggung.

Sebaliknya, bagi mereka yang menerima kesenangan dan keselesaan, tidak ramai menyedari bahawa itu adalah ujian juga kepada mereka. Walaupun kedua-dua ujian tersebut nampak berbeza, namun setiap ujian mempunyai nikmat tersendiri. Terserah kepada kita bagaimana untuk mencari dan menghargai nikmat tersebut.

x
Sebetulnya, kedua-dua ujian tersebut mempunyai pemberat yang sama. Ujian kesengsaraan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan dalam hidup dan boleh membawa kepada masalah penyakit mental.

Manakala ujian kesenangan pula boleh menyebabkan seseorang itu lalai dengan kehidupan dan boleh menyebabkan mereka menjadi riak dan angkuh dengan kejayaan yang diperolehnya.

Bagi mereka yang sengsara, kebanyakannya suka membuat perbandingan dengan mereka yang senang. Bagi mereka yang senang, kebanyakannya jarang mempedulikan mereka yang sengsara. Begitulah lumrah hidup.

Baru-baru ini saya berkesempatan ke kedai jahit rakan baik berbangsa Cina semenjak 22 tahun lalu. Beliau memaklumkan, tahun depan akan bersara daripada menjahit dan menyerahkan kepada anaknya sebagai penyambung legasi.

Katanya, daripada tiga beradik, hanya seorang sahaja yang berminat untuk berniaga. Apa yang paling terkilan ialah, satu-satunya anak perempuan sehingga kini tidak balik ke Malaysia kerana terikat dengan kumpulan ‘agama’ di Amerika Syarikat.

Beliau telah banyak menghabiskan duit untuk anaknya belajar sehingga peringkat sarjana di England sebelum ini.

Apa yang menyentuh hati saya ialah, apabila beliau mengatakan, “Tidak mengapa saya kehilangan anak perempuan, walaupun sebenarnya cukup perit untuk menerimanya. Sekurang-kurangnya saya diberikan nikmat sihat dan boleh membantu anak-anak yang lain pula. Usia saya sekarang 65 tahun".

Saya cukup kagum dengan beliau kerana tidak sedikit pun menunjukkan perubahan emosi semasa bercakap. Malah dirinya cukup ceria dan bertenaga. Inilah yang dikatakan menghargai nikmat dalam ujian kehidupan.

Sebetulnya bukan senang untuk mencari nikmat dalam lautan ujian. Kebanyakan mereka sering pasrah dan mengasingkan diri daripada orang lain kerana sedih, malu, tidak bersemangat, tiada arah tuju dan cukup lemah dan sengsara. Masa yang diambil untuk bangkit semula cukup lama.

Ujian tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, malah terpalit juga kepada orang yang berada di sekelilingnya. Kita gagal mencari nikmat dalam lautan ujian kerana sering menumpukan kepada tompok-tompok hitam yang terpalit dalam kehidupan. Sedangkan, masih berganda lagi tompok-tompok putih yang ada dalam kehidupan kita.

Ini adalah berkaitan bagaimana kita memproses sesuatu peristiwa yang terjadi kepada kita. Perlu diingatkan bahawa, setiap peristiwa yang terjadi bukanlah penyebab berlakunya perubahan emosi dan tingkah laku, sebaliknya disebabkan oleh bagaimana kita mentafsir peristiwa tersebut.

Secara analoginya, semasa berlaku kesesakan trafik terdapat segelintir pemandu yang cukup beremosi dengan fenomena tersebut. Apabila ditanya, “Kenapa saudara marah-marah?”. Jawapan mereka tentunya kerana kesesakan trafik. Apabila ditanya balik, “Kalau sebab kesesakan trafik, sepatutnya semua pemandu marah-marah. Namun kenapa saudara sahaja yang marah sedangkan orang lain boleh relaks aje?”.

Inilah yang dikatakan gagal mencari nikmat dalam ujian. Orang lain boleh relaks kerana sudah boleh terima bahawa itu adalah hakikat hidup di bandar besar. Ada juga yang boleh relaks kerana mendengar muzik dan sebaran ilmu menerusi radionya. Begitulah juga dengan ujian-ujian yang lain, kita harus cepat transformasikan perkara yang negatif kepada positif. Jika tidak, kita akan terus terperangkap dalam lautan ujian tersebut.

Bagi mereka yang senang dengan kehidupan, ingatlah itu juga adalah ujian. Nikmat dalam ujian kesenangan adalah bukannya semasa memperoleh wang, kenaikan pangkat, kejayaan anak-anak dan juga limpahan harta dan kesihatan yang baik, namun nikmatnya adalah semasa memberi dan bukannya semasa menerima.

Selain itu, nikmat yang paling besar dengan ujian kesenangan ialah dapat menginsafi dan mensyukuri bahawa nikmat tersebut adalah kurniaan ALLAH semata-mata. Kisah Nabi Sulaiman dengan jin Ifrit dalam Surah An-Naml (27: 38,39 dan 40) boleh menjadi pedoman kepada kita semua.

Secara ringkasnya, setelah Nabi Sulaiman berjaya membawa istana Raja perempuan kerajaan Saba’ dengan sekelip mata, maka Nabi Sulaiman bersabda, “ … ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk menguji adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberiannya… (27:40). Belajarlah mencari nikmat dalam lautan ujian.

Tags: nikmat, ujian
Subscribe

Posts from This Journal “ujian” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments