mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jangan dilupai jasa, pengorbanan ibu

TANGAN yang mengayun buaian itu boleh menggoncang dunia. Itulah pepatah yang menggambarkan peranan seorang ibu sehingga boleh mempengaruhi kehidupan di dunia. Seorang ibu yang mendidik anaknya akan menghasilkan anak yang gah di mata dunia sehingga boleh mencorakkan dunia. Peranan ini adalah amat imperatif dalam membentuk keamanan dan juga keharmonian dunia.

Walaupun ibu mempunyai peranan yang besar namun peranannya sering dipinggirkan.  Malah ibu itu ada kalanya juga langsung tidak dihiraukan oleh anak-anaknya sendiri.  Segala jasa dan pengorbanan begitu mudah dinafikan sehinggakan ada ibu yang berendam air mata mengenangkan anak-anaknya di perantauan.

Benarlah kata orang tua-tua, seorang ibu boleh melahirkan dan membesarkan sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu lagi dapat menjaga seorang ibu.

Ironi ini memang jelas kerana anak-anak atas kesibukan kerja tidak ‘mampu’ menjaga si ibu tua lagi. Pelbagai alasan diberikan bagi mengelak dari tanggungjawab ini. Walau setinggi mana pun jawatan si anak itu, beliau masih tetap anak si ibu. Walaupun anak tersebut telah bergelar seorang peguam, doktor, ustaz, jurutera dan sebagainya tanggungjawabnya sebagai anak tidak pernah luput.

Lazimnya apa yang berlaku ialah kesibukan bekerja menggoyahkan institusi keluarga serta ikatan kasih sayang antara ibu dan anak-anaknya. Mempertahankan institusi keluarga ini amatlah penting kerana ia mempunyai impak besar kepada pembangunan negara itu sendiri. Jika punah institusi keluarga maka akan hancur juga masa depan negara.

Untuk itu Islam telah menggariskan tanggungjawab anak dengan begitu menyeluruh. Sejak dari awal lagi anak ditegah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kedua ibu bapanya. Penggunaan kata-kata yang mulia juga dituntut daripada mulut si anak kepada kedua orang tuanya. Menengking mengherdik apatah lagi mendera kedua orang tua adalah berdosa besar di sisi ALLAH SWT.

Dalam al-Quran ayat 23-24 Surah Al-Isra yang bermaksud; "Dan Tuhan mu telah memerintahkan kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali telah tua maka janganlah kamu berkata kepada mereka 'oh' dan janganlah kamu menengking mengherdik mereka tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia, Dan hendaklah kamu merendah menghinakan diri kepada kedua-nya  kerana belas kasihan dan kasih sayang dan doakanlah, "Wahai Tuhan ku cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik ku semasa kecil.”

Ibu dan bapa sebenarnya mempunyai hak terhadap anak-anak terutamanya apabila ibu atau bapa tersebut tidak berupaya lagi menyara hidup mereka sendiri. Begitu juga ibu atau bapa yang sakit memerlukan perhatian daripada anak-anak mereka.

Sebenarnya waktu inilah peluang diberikan ALLAH kepada anak-anak bagi membalas jasa kedua orang tua dengan memberikan khidmat melayan dan membantu kedua orang tua pada saat-saat getir ini. Malah kehadiran anak-anak di sisi ibu bapa yang sedang sakit sahaja pun telah cukup memberi penawar dan semangat mereka meneruskan kehidupan.

Dalam Surah Luqman ayat 14 yang bermaksud; “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir penyusuan) dan tempoh menceraikan susu ialah selama dua tahun. Bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Budaya sesetengah golongan menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua pula bukanlah norma lazim masyarakat Melayu Islam.

Biar apa pun alasan yang diberikan tempat ibu bapa khususnya yang telah uzur adalah di sisi anak-anak mereka. Tiada apa pun yang dapat menandingi jasa ibu bapa membesar dan mendidik anak-anak. Kejayaan di dunia pula seharusnya dijadikan jambatan kepada kejayaan di akhirat kelak.

Tidak ada ibu bapa yang men-dabik dada mendakwa merekalah ibu bapa terbaik dalam mendidik anak-anak.

Ini adalah disebabkan sikap tawaduk ibu bapa tersebut yang hanya mahukan kejayaan anak-anak sahaja walaupun nama mereka tidak dikaitkan dengan kejayaan tersebut. Tetapi hakikatnya merekalah teras di sebalik setiap kejayaan anak-anak mereka itu.

Ingatlah wahai anak-anak sementara ibu bapa mu masih lagi ada, berilah khidmat mu yang terbaik kepadanya agar suatu hari kelak kamu tidak menyesal tidak dapat lagi membantu kedua orang tua mu itu.

Sebelum terlambat gunakanlah ruang dan peluang yang ada bagi menebus segala kesilapan yang telah dilakukan. Tiada ibu bapa yang tidak memaafkan anak-anak mereka. Kisah legenda Si Tanggang yang disumpah oleh ibunya menjadi batu kerana kederhakaannya ter-hadap ibu sudah cukup menjadi sempadan buat kita semua.

Namun sebenarnya masih lagi terdapat ramai ‘si Tanggang moden’ yang muncul pada masa sekarang ini. Hanya kerana mengejar kekayaan dan harta di kota raya, ibu bapa ditinggalkan di kampung dan langsung tidak dijengukkan walau seketika.

Setiap orang Muslim wajib berbakti kepada kedua orang tuanya. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.” (Riwayat Khatib dan Annas)

Dalam riwayat yang lain Rasulullah bersabda “Ketahuilah olehmu bahawa baik harta, badan-mu, mahupun jiwa ragamu itu adalah hak atau milik orang tuamu”.

Jelaslah Islam begitu menghargai peranan seorang ibu. Sama-samalah kita menyedekahkan al-Fatihah kepada ibu-ibu kita yang telah mendahului kita dan memberi khidmat terbaik bagi mereka yang masih mempunyai ibu.

Tags: ibubapa
Subscribe

Posts from This Journal “ibubapa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments