mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Muhasabah Dan Azam”.

Petikan Khutbah Jumaat 29 Dis 2017M / 10 Rabiulakhir 1439H:JAIS

“Muhasabah Dan Azam”.

Sesungguhnya muhasabah boleh diertikan sebagai menilai semula segala amalan yang telah dilaksanakan pada masa yang lalu, sama ada untung atau rugi, bahagia atau sengsara dalam kehidupan yang dinisbahkan kepada iman atau kufur, taat atau maksiat, baik atau jais.jpgburuk serta pahala atau dosa.

Muhasabah juga menuntut kita untuk memikirkan perjalanan hidup kita sama ada kita semakin dekat dengan Allah atau semakin jauh dari Allah.

Ingatlah bahawa Allah SWT menyuruh kita mempersiapkan bekalan yang kita akan bawa pergi selepas kematian nanti.

Firman Allah SWT dalam surah al Hasyr ayat 18: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah dilakukannya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan”.

Orang yang dikira beruntung adalah orang yang beriman dan mereka yang bijak merebut peluang dalam kehidupan mereka di dunia dalam meningkatkan amal-amal soleh untuk memastikan kebahagiaan hidup di akhirat.

Masa dan peluang yang ada tidak dipersia-siakan sebagaimana hadis daripada Amru bin Maimun Radiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda: “Manfaatkanlah lima perkara sebelum datang lima perkara: masa mudamu sebelum datang masa tuamu, dan masa sehatmu sebelum sakitmu, dan masa kayamu sebelum masa fakirmu, dan masa lapangmu sebelum sibukmu, dan hidupmu sebelum matimu”. (Riwayat al-Baihaqi).

Sehubungan itu secara umumnya ada tiga perkara yang perlu diberi perhatian dalam menjalani kehidupan di dunia ini.

1. Melakukan penilaian terhadap amalan yang kita kerjakan. Adakah ia menepati peraturan-peraturan syarak dari segi syarat rukunnya. Selain itu adakah ia dilakukan dengan ikhlas, semata-mata kerana Allah SWT, bersungguh-sungguh dan istiqamah. Penilaian ini penting untuk menentukan amalan kita sah dan diterima oleh Allah SWT yang dapat meraih pahala sebagai bekalan di akhirat.

2. Muhasabah diri sejauh mana kita meninggalkan segala larangan Allah SWT.

3. Menilai segala nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita, seperti nikmat masa, kesihatan, kekayaan dan lain-lain lagi. Adakah ia dimanfaatkan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagai tanda syukur, atau menyalah gunakannya dengan melakukan maksiat yang menyebabkan ia semakin jauh daripada Allah SWT hingga mengundang kemurkaan-Nya.

Dengan bermuhasabah, kita akan dapat mengesan kekuatan dan kelemahan, ketaatan atau keingkaran dimasa yang lepas.

Diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: ِ“Orang yang cerdas adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian. Orang yang bodoh adalah orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ikutan dirinya dan beranganangan mendapat keredhaan Allah”. (Riwayat at-Tirmizi).

Sesungguhnya untuk mendapatkan kemanisan dalam beramal hasil daripada muhasabah, seseorang itu perlu mempunyai azam dan mujahadah yang kuat.

Tanpa azam dan tekad yang kuat seseorang tidak akan dapat merubah kebiasaan, lebih-lebih lagi apabila keadaan itu sudah membelenggu kehidupannya sehingga merasa selesa dengan kedudukan dan tingkah lakunya yang salah.

Allah SWT telah memerintahkan agar bersegera mencari keampunan dan syurga Allah yang terbentang luas. Firman Allah SWT dalam surah ali Imran ayat 133: “Dan bersegeralah kamu kepada mendapat keampunan daripada Tuhan-mu dan syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertaqwa”.

Mengakhiri khutbah ini, marilah kita sama-sama mengambil pengajaran daripada khutbah ini:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa hari akhirat pasti akan berlaku.

2. Umat Islam mestilah membuat persiapan dengan memperbanyakkan amal-amal soleh untuk kehidupan hari akhirat disamping tidak meninggalkan kepentingan kebahagiaan hidup di dunia ini.

3. Umat Islam hendaklah mempunyai azam dan mujahadah yang kuat untuk merubah diri kepada yang lebih baik.

“Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka Dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya”. (al-Anbia’ : 1).
Tags: azam, khutbah, muhasabah
Subscribe

Posts from This Journal “azam” Tag

  • Khutbah Jumaat Azam Diperbaharui, Kejayaan Dikecapi

    Petikan Khutbah Jumaat 17 Jamadilawal 1442H/1 Januari 2021M JAWI Azam Diperbaharui, Kejayaan Dikecapi Hari ini kita melangkah ke tahun baharu…

  • Khutbah Jumaat: Kejituan Azam

    Sedutan Teks Khutbah Jumaat 1 Januari 2016M/ 21 Rabiulawwal 1437H JAWI Kejituan Azam Setiap kali tibanya tahun baru, maka manusia di seluruh…

  • Memasang azam baharu

    TAHUN demi tahun berlalu, kian laju dan meninggalkan kita sama ada kita mahu atau kita tidak setuju. Dalam Islam, kiraan tahun bermula kala Nabi…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments