mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Tanggungjawab Mendidik Anak”

Petikan Khutbah Jumaat 12 Jan 2018M / 24 Rabiulakhir 1439H: JAIS

“Tanggungjawab Mendidik Anak”. 

Islam adalah Agama yang sangat sempurna, sering mementingkan pertumbuhan generasi remaja yang baik dan berakhlak.

jais.jpgSesungguhnya, Rasulullah SAW menitikberatkan dalam pemilihan pasangan yang baik agar dapat melahirkan anak-anak yang beriman dan beramal soleh.

Hadis daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah), maka ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi”. (Riwayat Al-Bukhari)

Rasulullah SAW menganjurkan bimbingan anak bermula daripada saat dilahirkan. Perkara penting yang perlu diterapkan kepada anak-anak ialah Cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Ibubapa bertanggungjawab sepenuhnya menyemai, mengasuh dan membimbing anak-anak supaya mencintai Allah dan Rasul-Nya mengatasi cinta kepada makhluk yang lain.

Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu bawah Rasulullah SAW bersabda:“Tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah aku lebih dikasihi berbanding ayahnya dan anaknya dan seluruh umat manusia”. (Riwayat al-Bukhari)

Perkara yang sangat penting dan patut ditekankan oleh setiap ibu bapa dalam mendidik anak-anak ialah solat. Solat merupakan kewajipan yang mesti dilaksanakan setiap umat Islam. Dengan Solat manusia akan terhindar daripada perbuatan keji dan mungkar.

Islam juga menggariskan agar ibu bapa memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan. Ia juga merupakan pendidikan awal yang perlu diterapkan terhadap anak-anak supaya tidak mengundang kepada perbuatan maksiat dan sumbang mahram.

Hadis Rasullulah SAW yang diriwayatkan daripada Datuk kepada Amru bin Syuaib Radiallahu Anhu berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Suruhlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka antara lelaki dan perempuan”. (Riwayat Abu Daud).

Ibu bapa juga amatlah digalakkan mendidik anak-anak dengan melakukan ibadah secara berjemaah, mempelajari dan membaca alQuran, melazimkan doa dan wirid- wirid harian agar dapat melahirkan perasaan kasih sayang, keberkatan dan ketenangan hidup.

Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak berada di dalam rumah pada waktu malam khususnya waktu maghrib dengan diisi aktiviti-aktiviti ibadah agar dapat membendung anak-anak dari terdedah dan terpengaruh dengan gejala-gejala sosial yang boleh merosakkan akhlak dan membelakangkan petunjuk Allah SWT

Daripada Jabir Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan lepaskan haiwan ternakan dan anak-anak kamu apabila matahari terbenam hingga berlalunya awal waktu Isyak, kerana syaitan akan bertebaran apabila matahari terbenam sehingga berlalunya awal waktu Isyak”. (Riwayat Muslim).

Bagi anak-anak yang sedang meningkat dewasa, ibubapa hendaklah memantapkan aqidah mereka dengan pegangan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah agar tidak terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng dan sesat.

Ini dapat dicapai melalui pendidikan agama dengan menghantar mereka ke sekolah-sekolah agama atau kelas-kelas al-Quran dan fardhu ain.

Tanggungjawab mendidik ini bukan sahaja diserahkan kepada pihak sekolah tetapi juga ibu bapa hendaklah bersama-sama bertanggungjawab mendidik anak di rumah.

Mengakhiri khutbah Jumaat pada hari ini, khatib menyeru kepada seluruh umat Islam supaya:

1. Umat Islam hendaklah memastikan diri dan anak-anak mencintai Allah dan Rasulullah dan berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

2. Umat Islam hendaklah memberikan ilmu kepada anak-anak dan didikan agama Islam dengan sempurna sehingga menjadi manusia yang patuh kepada perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

3. Umat Islam hendaklah berusaha untuk menjadikan keluarga sebagai sebuah keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat.

“Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (at-Tahrim : 6).
Tags: anak, didik, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “didik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments