mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Islam Agama Perdamaian"

Petikan Khutbah Jumaat 19 Jan 2018M / 02 Jamadilawal 1439H JAIS

: “Islam Agama Perdamaian"

Islam adalah agama kedamaian dan kasih sayang. Keindahan dan kecantikan Islam ini telah terbukti berdasarkan kepada fakta-fakta sejarah ketamadunan Islam dan hakikat Islam itu sendiri.

jais.jpgRasulullah SAW menyampaikan dakwah secara damai dan sejahtera tanpa sebarang kekerasan. Seruan perdamaian yang mengajak manusia untuk tunduk kepada syariat Allah SWT merupakan keutamaan yang dianjurkan dalam Islam.

Peperangan hanyalah berlaku setelah ajakan perdamaian ditolak oleh musuh sepertimana Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal, ayat 61 : “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”.

Dalam mengutamakan kesejahteraan umat manusia ini terbukti apabila Islam tidak membezakan manusia berdasarkan bangsa dan keturunan. Islam adalah agama kasih sayang dan kesaksamaan.

Sesungguhnya kemuliaan manusia hanya diukur berdasarkan nilai taqwa di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13 : “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”

Bukti seterusnya bahawa Islam menitikberatkan penjagaan nyawa bagi setiap manusia. Oleh itu perbuatan membunuh tanpa hak adalah diharamkan oleh Allah SWT.

Hadis daripada Abu Bakrah Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu adalah haram antara kamu”. (Riwayat al-Bukhari).

Islam agama perdamaian terbukti apabila tiada paksaan dalam memeluk agama Islam. Kita diperintahkan untuk berdakwah dengan mempamerkan kebaikan dan keindahan Islam kepada manusia melalui kemuliaan akhlak, kebaikan dan keharmonian Islam.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 256:“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

Ini lebih jelas terbukti dengan perintah Allah SWT yang menyuruh kita berdakwah secara hikmah, bukan secara kekerasan dan keganasan yang boleh memburukkan imej Islam. dakwah adalah proses memujuk, bukan mengutuk, menenang bukan menyerang, mendidik bukan mengherdik.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 125:“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.


Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita merenung dan mengambil pengajaran serta penghayatan dari khutbah yang disampaikan agar memberi manfaat dalam hidup kita iaitu:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa Islam adalah agama perdamaian, ukhuwah, kasih sayang dan rahmat bagi seluruh alam.

2. Umat Islam hendaklah menjaga nyawa, harta dan maruah sesama manusia.

3. Umat Islam hendaklah berdakwah secara hikmah dan kasih sayang supaya masyarakat hidup aman dan damai.

4. Umat Islam hendaklah bersabar dan bersatu dalam menghadapi cabaran masakini disamping membanyakkan doa agar Allah SWT sentiasa memberi petunjuk kepada manusia untuk kembali mentaati perintah-Nya.

5. Umat Islam perlu menguasai ilmu pengetahuan demi mengangkat kembali martabat ummah.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (al-Maidah : 8).
Tags: damai, khutbah, perdamaian
Subscribe

Posts from This Journal “damai” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments