mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Berhasad dengki

HASAD dengki adalah satu sifat mazmumah yang dibenci oleh ALLAH SWT. Sesiapa yang ada sifat ini sebenarnya dia tidak meredai ketentuan ALLAH yang telah dikurniakan sesuatu kelebihan atau nikmat kepada seseorang dalam kalangan hamba-Nya.

Ada orang yang tengok rumah tangga seseorang lain bahagia. Tiba-tiba mereka bercerai. Kita pun kata yes! Padan muka! Itulah namanya hasad.


Gambar Hiasan

Terdapat tiga ciri pada diri seseorang yang mempunyai penyakit hasad dengki iaitu:-

1-Menginginkan nikmat yang diperoleh oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.

2-Tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang demikian seolah-olah membangkang kepada ALLAH atas kurniaan nikmat kepada orang lain.

3-Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.

Dalam kitab Ihya' Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali ada disimpulkan tujuh faktor yang menimbulkan perasaan hasad dengki, antaranya:-

Perasaan permusuhan dan kebencian

Berasa diri mulia

Takabbur

Ujub

Takut terlepas sesuatu tujuan dan habuan

Ghairah menjadi ketua dan mencari populariti

Busuk hati

Penyakit hasad dengki adalah penyakit dalam hati manusia. Apabila disebut manusia, bermakna ia bersifat umum. Bukan menjadi milik sesebuah kaum sahaja, golongan atau peringkat usia. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja.

Hasad dengki ini termasuk dalam penyakit hati yang keji, ia bukan sahaja boleh mendatangkan keburukan kepada orang yang didengki tetapi orang yang memiliki penyakit ini juga boleh terkena akibat yang buruk kesan daripada tindakan hasad dengki yang dibenarkan dengan perbuatan.

Usah berdengki dengan orang lain

NABI Muhammad SAW bersabda: "Orang yang hasad, akan dibalas balik apa yang dihasadkannya."

Hari ini, mungkin dia katakan pada orang lain sebagai padan muka. Esok-esok orang lain pula yang akan kata perkataan seperti itu kepadanya.

Perasaan hasad dengki ini sebenarnya tidak membawa kita ke mana-mana pun. Bahkan lebih banyak kemusnahan yang berlaku tanpa kita sedari. Tidak kisah dalam apa jua bentuk nikmat yang dimiliki orang lain, kita tidak boleh menanam rasa hasad dengki.

Ada dua

Hasad dengki terbahagi kepada dua. Ada yang positif, namun ada pula yang negatif. Ayuh, kita kenali jenis hasad dengki yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan berkenaan.

Ghibtah

Bermaksud kita berhasad dengki dengan seseorang dan kita ingin jadi seperti orang yang didengki itu. Sebagai contoh: Kita dapati perniagaan seseorang maju dan kita pula menanam azam untuk jadi maju seperti mereka. Kita dapati anak-anak orang lain  pandai, dan kita pun suruh anak-anak kita jadi pandai seperti anak orang lain.

Begitu juga apabila kita dapati rumah tangga orang lain aman dan bahagia. Maka kita juga mencari jalan untuk menjadikan rumah tangga kita bahagia. Manakala, usaha ini dilakukan tanpa langsung menjejaskan orang lain.

Dalam aspek amalan pula, apabila kita melihat orang lain melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan amalan mereka di sisi ALLAH, maka kita juga berdengki dengan mereka. Lahirlah keazaman dalam diri untuk sekurang-kurangnya berusaha seperti orang lain.

Sifat seperti ini adalah positif. Bahkan ia sifat terpuji. Hasad dengki seperti ini mendatangkan semangat kepada kita untuk saling berlumba-lumba melakukan kebaikan. Di samping itu, ia juga memberikan galakan kepada kita untuk semakin maju dalam apa jua lapangan tanpa menyakiti orang lain.

Ghirah

Ghirah adalah perasaan cemburu yang bersarang dalam hati. Orang yang memiliki sifat cemburu ini mungkin tidak mengganggu orang lain dan tidak pula mengusik hak orang lain. Namun, perasaan cemburu tetap bersarang dalam hati.

Sebagai contoh: Seseorang melihat kebahagiaan yang dimiliki pasangan suami isteri lain. Lalu timbul di hatinya berkenaan betapa cemburunya dia melihat kebahagiaan itu. Kemudian, terdetik di hatinya kenapa suami atau isterinya tidak berkelakuan seperti itu.

Perasaan ini cukup dengan hanya mengatakan di bibir tanpa mengganggu orang lain. Inilah yang dinamakan sebagai ghirah. Hasad jenis ini tidak berdosa. Ia hanya dirasai dan ditanam dalam diri seseorang individu sahaja dan tidak sesekali diterjemahkan kepada tindakan untuk menjatuhkan orang lain.

Jangan berhasad dengki

Jauhilah diri kita daripada sifat hasad dengki. Andai ia muncul dalam diri, cepat-cepatlah padamkannya menerusi taubat  nasuha dan beristighfar. Ingatlah, tiada guna berhasad dengki sesama sendiri apatah lagi sekiranya ia melibatkan kepentingan orang lain.

Jangan terpedaya dengan tipu daya dunia sehingga kita melihat apa yang dimiliki orang lain wajar menjadi hak kita. Lebih malang, kita bertindak untuk memusnahkan nikmat yang ada pada orang lain sedangkan ia tidak ada pada kita.

Reda dan terima dengan penuh keinsafan apa sahaja nikmat yang ALLAH berikan.  Barangkali apa yang dimiliki orang  lain itu kelihatannya lebih hebat pada pandangan kita. Kita boleh berdengki dengannya dengan syarat kita melakukan usaha yang benar untuk memiliki perkara yang sama. Namun. jangan sesekali berhasad dengki dengan memusnahkan nikmat yang dimiliki oleh orang lain. Itu salah dan tidak dibenarkan.

Sesuai dengan usaha

Ingatlah nikmat yang dimiliki orang lain, barangkali sesuai dengan usaha yang dilakukannya dan memangnya wajar dimilikinya. Sedangkan kita belum tentu layak dan tidak diperlukan pun. Maka, jangan berasa iri hati sehingga kita tergamak melakukan perbuatan tidak baik demi memuaskan hati sendiri.

Paling dikesalkan, masih ada dalam kalangan umat Islam tergamak melakukan perkara yang membawa mereka kepada syirik. Sanggup melakukan pemujaan, menggunakan khidmat bomoh dan menyihir orang yang didengki demi memuaskan hati sendiri.

Berhasad dengkilah dalam melakukan amalan soleh. Apabila kita melihat orang lain begitu giat berusaha mendekatkan diri mereka kepada ALLAH, sewajarnya kita mencemburui kerana menyedari bahawa diri sendiri tidak sebegitu.

Seharusnya, kita melakukan usaha demi usaha seperti mendalami ilmu agama, mendampingi alim ulama dan sebagainya untuk memastikan kita tidak tercicir untuk menjadi hamba ALLAH yang dekat dengan-Nya. Berhasad dengki pada jalan kebaikan, bukannya jalan keburukan yang akhirnya membawa kepada kebinasaan.

Tags: dengki
Subscribe

Posts from This Journal “dengki” Tag

  • Buruknya sifat hasad dengki

    SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang memberi kelebihan atas sebahagian hamba-Nya berbanding yang lain. Sesungguhnya Dialah yang mempunyai limpah kurnia…

  • Hasad dengki bukan sifat penghuni syurga

    Pernahkah kita bayangkan kisah perjalanan kehidupan kita di dunia. Pejamkan mata dan bayangkan kisah hidup di dunia. Pasti bayangan kita hanya…

  • Empat masalah jika terlalu cintakan dunia

    Dunia yang sementara ini tidak boleh diagungkan sehingga melupai negeri akhirat. Mengutamakan dunia semata-mata, seolah kita memberi ruang kepada…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments