mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat “Al-Quran Panduan Hidup”

Petikan Khutbah Jumaat 23 Feb 2018M / 07 Jamadilakhir 1439H:JAIS

“Al-Quran Panduan Hidup”

Kitab suci Al-Quran merupakan sebuah kitab teragung yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril dalam bahasa arab dan mengndungi mukjizat yang tinggi dari segi lafaz dan makna serta memberi pahala bagi pembacanya.

jais.jpgAl-Quran bukan sekadar pusaka peninggalan Rasulullah SAW semata-mata. Ia adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW yang diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun ini, diamanahkan supaya manusia dapat mempelajarinya, menghayati seterusnya mengamalkan segala yang terkandung di dalamnya.

Al-Quran mengandungi lebih 6000 ayat dalam 114 surah merupakan panduan dan petunjuk kepada manusia sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 1-2 :“Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”.

Al-Quran hendaklah dijadikan sebagai panduan hidup agar kita memperoleh petunjuk Allah SWT sekaligus menjadikan kita sebagai hambanya yang bertaqwa.

Al-Quran juga bertindak sebagai kitab hidayah, rahmat dan penyembuh kepada segala macam penyakit bagi orang-orang beriman.

Allah SWT menjelaskan berkenaan hal ini melalui firmannya dalam surah Yunus ayat 57 :“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu AlQuran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”.

Al-Quran diturunkan oleh Allah Ta’ala untuk umat manusia seluruhnya sebagai nasihat pengajaran untuk memperbaiki akhlak dan amal perbuatan dan sebagai ubat penawar bagi penyakit batin seperti penyakit kufur dan syirik, hasad dengki dan khianat serta lain-lain penyakit jiwa.

Al-Quran juga menjadi hidayah petunjuk ke jalan yang diredhai Allah Ta’ala yang akan membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat dan Al-Quran pula secara khusus menjadi pancaran-pancaran rahmat bagi orang-orang yang beriman

Al-Quran juga merupakan kitab Allah yang membawa umat manusia kepada kebenaran sebagaimana penegasan Allah di dalam firmanNya dalam surah Al-Maidah ayat 48: “Dan Kami turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (AlQuran) Dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. maka jalankanlah hukum antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran.”

Kita hendaklah mempelajari Al-Quran dengan berguru bagi mengelakkan daripada melakukan kesalahan dari segi bacaan dan tafsirannya.

Sesungguhnya umat Islam yang terbaik adalah mereka yang mempelajari dan mengajarkan Al-Quran. Hal ini bertepatan dengan hadis daripada Uthman Bin Affan RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Ini adalah sebahagian daripada keutamaan, fadilat dan kelebihan AlQuran sebagai mukjizat yang menjadi hidayah, petunjuk, rahmat, penawar, nasihat pengajaran dan panduan yang menyelesaikan segala persoalan hidup manusia serta menyelamatkan manusia dari kesesatan sebagaimana sabda Rasulullah SAW :“Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara, sekali-kali kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya iaitu Kitabullah (AlQuran) dan sunnah Rasulullah SAW”. (Riwayat Imam Malik)

Marilah kita mengajak anak isteri, ahli keluarga, anak remaja, muda mudi, jiran tetangga dan masyarakat seluruhnya mengambil berat kepentingan belajar, mengajar, memahami, menghayati, mencintai dan mengamalkan Al-Quran. Sesungguhnya beruntunglah umat Islam yang sentiasa belajar dan mengajar serta mengamalkan Al-Quran.

Dengan ledakan teknologi hari ini, Al-Quran amat mudah untuk didapati. Jika dahulu mungkin agak mencabar untuk membawa Al-Quran, tetapi hari ini kita mempunyai telefon bimbit yang boleh menyimpan pelbagai aplikasi Al-Quran.

Justeru, Al-Quran semakin mudah untuk di bawa kemana- mana, maka semakin mudah juga untuk kita membaca AlQuran, sama ada di masjid, di hospital, di pejabat, di dalam penerbangan, mahu pun atas kapal di lautan, maka tiada alasan untuk kita tidak membaca Al-Quran.

Oleh itu, jadikanlah mempelajari dan membaca AlQuran sebahagian daripada gaya hidup kita. Luangkan sedikit masa dengan Al-Quran pada setiap hari.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita mengambil beberapa pengajaran dan penghayatan sebagai panduan untuk kebahagiaan hidup kita. Antaranya :

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa kitab Al-Quran adalah sebuah kitab yang mengandungi pelbagai faedah untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat kelak.

2. Umat Islam mestilah sentiasa berpegang teguh dengan kitab AlQuran dan Sunnah Nabi kita Muhammad SAW sehingga ke akhir hayat.

3. Umat Islam hendaklah membudayakan membaca dan mempelajari Al-Quran dalam keluarga tanpa mengira masa dan di mana-mana sahaja berada.

“(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran. Dia lah yang telah menciptakan manusia. Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan”. (Ar-Rahman : 1 - 4)
Tags: al-kitab, khutbah, panduan, quran
Subscribe

Posts from This Journal “al-kitab” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments