mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Teruskan Berdakwah”

Petikan Khutbah Jumaat 16 Mac 2018M / 28 Jamadilakhir 1439H: JAIS

“Teruskan Berdakwah”

Dr Yusof Al-Qardawi menyatakan bahawa dakwah adalah satu usaha untuk membawa orang lain kepada agama Islam, melaksanakan semua ketetapan di muka bumi ini, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta berjihad ke jalan-Nya.

jais.jpgDakwah juga merupakan kesinambungan tugas para nabi dan rasul yang diutuskan oleh Allah kepada umatnya. Kemudian diteruskan oleh para sahabat, salafus soleh dan para ulama hingga ke akhir zaman.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Nahl ayat 36:“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan”.

Strategi dakwah disampaikan melalui 3 pendekatan iaitu dakwah dengan percakapan, dakwah dengan perbuatan dan dakwah dengan penulisan. Rasulullah SAW adalah menjadi ikutan yang terbaik dalam berdakwah.

Baginda SAW telah dapat menyempurnakan strategi dakwah melalui ketiga-tiga pendekatan yang disebutkan tadi bersama-sama dengan para sahabat Baginda.

Dakwah juga merupakan usaha berterusan dan bukan bermusim. Ia perlu dilaksanakan bersungguh-sungguh dan ikhlas walau menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan.

Ini adalah kerana tujuan dakwah itu amat jelas iaitu mengajak manusia untuk tunduk dan patuh sepenuhnya kepada Allah SWT.

Sesungguhnya kerja dakwah merupakan tanggungjawab setiap orang yang beriman dengan syarat mestilah mempunyai ilmu asas mengenai ilmu-ilmu yang hendak disampaikan.

Setiap orang yang berdakwah akan mendapat kelebihan dan keutamaan apabila dakwahnya diikut dan diamalkan oleh orang lain.

Hadis daripada Jarir Bin Abdullah Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesiapa mengajak orang kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun.” (Riwayat Muslim).

Setiap muslim tidak boleh mengelak daripada tugas dakwah untuk mengajak masyarakat ke arah kebaikan, terutamanya kepada ahli keluarga atau yang dibawah tanggungjawabnya.

Sesungguhnya dalam menyampaikan risalah dakwah, Islam telah menyediakan prinsip asas yang cukup jelas yang mesti dipatuhi.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Nahl ayat 125 yang bermaksud:“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”.

Setiap pendakwah hendaklah menguasai perkara yang hendak disampaikannya supaya tepat dengan agama Islam. Segala isu yang dibangkitkan hendaklah bertujuan untuk mendidik dan melahirkan umat yang bersikap terbuka, tidak taksub dengan pemikiran jumud atau yang membawa fahaman yang menyimpang jauh dari Islam sehingga merosakkan akidah, syariah dan akhlak Islam yang suci.

Setiap pendakwah sentiasa mendalami ilmu, terutamanya tentang apa yang hendak disampaikan, bersifat jujur dan ikhlas serta memahami selok belok tarbiah Islamiah kerana ia sangat diperlukan untuk mendidik hati-hati yang menjadi sasaran dakwahnya.

Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 108:“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Inilah jalanku, Aku dan orangorang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”.

Pendakwah mestilah bijak memilih cara yang berkesan, peralatan dan masa yang sesuai serta pengucapan awam yang dapat memikat hati.

Jangan terlalu mengejar keuntungan dan populariti semata yang boleh mengakibatkan program yang baik, matlamat yang baik tetapi caranya tidak baik, yang berlebihan maka kesudahannya berakhir sebagai tidak baik.

Pendakwah mestilah mengetahui siapakah yang menjadi sasaran dakwahnya. Pepatah pernah mengatakan, “lain lubuk lain ikannya, lain padang lain belalangnya”.

Rasulullah SAW pernah memperingatkan setiap da’i hendaklah bercakap mengikut kadar akal seseorang.

Adalah dinasihatkan dan diingatkan kepada pendakwah supaya mematuhi dan mengikuti peraturan yang telah ditetapkan pihak-pihak berkuasa Agama seperti memiliki tauliah.

Mengakhiri khutbah hari ini, setiap umat Islam diseru agar mengambil perhatian dan sama-sama bertanggungjawab dalam melaksanakan dakwah.

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa perintah dakwah adalah berasaskan dengan Al-Quran dan Al-Sunnah yang wajib dilaksanakan.

2. Setiap orang beriman hendaklah melaksanakan tanggungjawab dakwah berasaskan ilmu dan menguasai kemahiran berdakwah yang berkesan.

3. Setiap pendakwah mestilah berpegang kepada pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk menjaga keharmonian fahaman agama umat Islam yang benar dan suci.

“Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orangorang yang berjaya”. (Ali Imran : 104).
Tags: dakwah, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “dakwah” Tag

  • Sebar dakwah bukan untuk dipuji

    MENYEBARKAN kebenaran mungkin sesuatu yang mudah, namun untuk terus kekal setia pada kebenaran adalah perkara sangat sukar. Jika matlamat demi…

  • Teknologi maklumat ejen baharu dakwah

    Dakwah adalah mengajak kepada perintah Allah dan Rasul. Dakwah bererti mengajak, memanggil dan mengundang. Dalam al-Quran kalimah dakwah ditemukan…

  • Dakwah itu adalah akhlak yang baik

    DAKWAH adalah mengajak kepada perintah Allah dan Rasul. Dalam al-Quran kalimah dakwah ditemukan sekitar 198 kali yang menunjukkan kewajipan dakwah…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments