mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Amar Makruf Nahi Mungkar Tanggungjawab Bersama”

Petikan Khutbah Jumaat 30 Mac 2018M / 12 Rejab 1439H: JAIS

“Amar Makruf Nahi Mungkar Tanggungjawab Bersama”.

Sebagai umat Islam kita wajib tolong menolong dan bersatu dalam melakukan kebaikan, serta sentiasa menghindar segala perbuatan mungkar dan maksiat.

jais.jpgSesungguhnya segala kerosakan dan bencana yang berlaku di dunia ini adalah disebabkan kejahatan yang dilakukan oleh manusia itu sendiri.

Firman Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 41:“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Jelaslah bahawa bala bencana yang tidak putus-putus berlaku di sana sini adalah disebabkan perbuatan-perbuatan maksiat yang dilakukan oleh umat manusia sendiri.

Mereka ditimpakan dengan demikian supaya mereka segera insaf dan menjauhi segala perbuatan yang durjana, jika tidak maka balasannya lebih buruk lagi.

Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab hendaklah mentarbiah ahli keluarga di rumah, kerana mereka adalah pewaris dan pemimpin Negara pada masa akan datang.

Ibu bapa hendaklah menyuruh anakanaknya melaksanakan solat, dan sentiasa memstikan mereka berpakaian dengan menutup aurat.

Ibu bapa yang prihatin juga berhak mencegah segala kemungkaran dan maksiat yang berlaku dalam keluarga seperti pendedahan aurat dalam media dan lain-lain lagi.

Allah SWT telah menjelaskan perkara ini melalui firman-Nya dalam surah al-Tahrim ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka…”

Dalam meningkatkan kualiti hidup bermasyarakat, kerja-kerja amar makruf nahi mungkar perlulah sentiasa dijalankan oleh setiap warga masyarakat secara bersungguh-sungguh seperti sentiasa mengeratkan hubungan persaudaraan dan kejiranan, bekerjasama dalam memakmurkan masjid, melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan disamping menjauhi perbuatan fitnah, bersangka buruk dan unsur-unsur perpecahan.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu satu kumpulan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orangorang yang berjaya”.

Rasulullah SAW juga memberi ingatan kepada sesiapa yang melihat kemungkaran supaya bertindak mencegahnya sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesiapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya (kuasanya), jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya (nasihat), jika tidak mampu maka ubahlah (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemah iman”. (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya mengabaikan kerja amar makruf nahi mungkar akan mengundang laknat Allah SWT. Ini telah berlaku kepada kalangan Kaum Yahudi Bani Israel yang telah dilaknat oleh Allah SWT disebabkan sikap mereka yang membiarkan perbuatan mungkar berleluasa sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 79:Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan”

Sesungguhnya apabila berleluasanya gejala maksiat dan kemungkaran itu dilakukan tanpa ada sesiapa yang melarangnya maka akan datanglah berbagai-bagai kerosakan, kemusnahan dan bencana ditimpakan oleh Allah kepada manusia hinggakan doa yang dipohon juga tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.

Sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah bin al-Yaman berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, lakukanlah seruan kepada yang makruf dan cegahlah dari kemungkaran atau hampir pasti Allah akan menurunkan seksa padamu, kemudian kamu berdoa tetapi doa kamu tidak dapat diterima lagi”. (Riwayat al-Tirmizi).

Marilah sama-sama kita memperkasakan budaya kerja amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat kita. Hadis daripada Abu Dzar Jundub bin junadah Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu untuk bersedekah? Sesungguhnya tiap-tiap tasbih adalah sedekah, tiap-tiap takbir adalah sedekah, tiap-tiap tahmid adalah sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, mencegah kemungkaran adalah sedekah”. (Riwayat Muslim).

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita sama-sama menelusuri beberapa pesanan untuk di ambil tindakan yang sewajarnya:

1. Umat Islam wajiblah meyakini bahawa kerja-kerja amar makruf dan nahi mungkar adalah perintah Allah untuk kebahagiaan hidup kita semua.

2. Umat Islam diwajibkan menjalankan kerja-kerja amar makruf, kerana pengabaiannya boleh mengundang bencana dan laknat Allah SWT.

3. Setiap ibu bapa wajib membimbing anak-anak dan keluarga dengan bimbingan yang sempurna dan lengkap dengan ilmu-ilmu memperkukuhkan akidah, ibadah, dan akhlak.

4. Umat Islam hendaklah berlapang dada apabila menerima teguran demi untuk kebaikan umat Islam.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (al-Taubah : 71).
Tags: amar, khutbah, makruf, mungkar, nahi, tanggungjawab
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments