mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat “Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pegangan Kita"

Petikan Khutbah Jumaat 06 April 2018M / 19 Rejab 1439H: JAIS

“Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pegangan Kita”

Islam adalah agama yang benar, Islam adalah agama ilmu dan Islam adalah agama perpaduan. Cabaran utama yang dihadapi umatnya ialah penyelewengan dan kesesatan, kejahilan dan ketaksuban serta perpecahan dan permusuhan dalam kalangan umat jais.jpgIslam.

Hadis daripada Abdullah Bin Amru Radiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Kaum Yahudi telah berpecah kepada 72 golongan, sedang umatku kepada 73 golongan. Semua akan masuk neraka kecuali satu. Mereka pun bertanya, siapa yang satu ya Rasulullah? Baginda menjawab, Sesiapa yang berada pada apa yang aku dan para sahabatku jalani kehidupan”. (Riwayat al-Tirmizi)

Berdasarkan hadis ini, umat Baginda akan berpecah kepada 73 golongan dan hanya satu golongan yang akan selamat, iaitu mereka yang mengikuti jalan kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang dikenali sebagai ahli Sunnah wal Jamaah.

Golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah mereka yang beriktikad seperti Iktikad Rasulullah SAW dan para sahabatnya, seperti yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagaimana menurut du orang tokoh ulama Usuluddin Imam Abu Hasan al Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi yang telah mengumpul dan menyusun prinsip-prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Inilah akidah yang soheh lagi benar serta mendapat jaminan selamat oleh Nabi SAW, sepertimana dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-‘Irbad bin Sariah Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Dan sesungguhnya sesiapa yang masih hidup dalam kalangan kamu selepasku, dia akan melihat perselisihan yang banyak, maka berpegang teguhlah dengan sunnah-Ku dan Sunnah Khulafah ar-rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah dengan gigi geraham (pegang sunnah dengan kuat).”. (Riwayat al-Baihaqi)

Antara prinsip-prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah:

1. Berpegang teguh kepada 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam.

2. Berpegang teguh kepada pengertian Iman yang sebenar iaitu mengikrarkan dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mengamalkan dengan anggota.

3. Tidak menyamakan Allah dengan makhluk seperti beranggota dan bertempat. Ini kerana Allah berlainan dan tidak sama dengan semua makhluk sebagaimana firman Allah SWT dalam surah asy-Syura ayat 11“…tiada sesuatupun yang menyamai-Nya dengan (zat-Nya, sifat-sifatNya, dan pentadbiran-Nya) dan Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”.

4. Tidak mengkafirkan seseorang Muslim selagi ia tidak melakukan atau menuturkan perkara yang menafikan akidah sebagai seorang Muslim.

5. Wajib patuh kepada pemerintah kaum Muslim, selagi mereka tidak menyuruh ke arah melakukan maksiat atau kemungkaran.

6. Tidak sesekali mencerca dan mengkafirkan para sahabat.

Amaran ini dijelaskan melalui sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Said al-Khudri Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Jangan kamu sekali-kali mencela sahabat-sahabatku, jikalau seseorang mendermakan emas sebesar gunung Uhud sekalipun, nescaya ia tidak dapat menyamai dengan segenggam atau separuh genggam (emas yang didermakan oleh para sahabat)”. (Riwayat al-Bukhari).

Bagi mengakhiri khutbah ini, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dan iktibar untuk dijadikan pegangan dan amalan kita. Antaranya adalah:

1. Umat Islam mestilah beriman kepada Allah dan berpegang teguh dengan aqidah ahli Sunnah wal Jamaah.

2. Umat Islam dilarang mengkafirkan sesama Muslim selagi ia tidak mensyirikkan Allah SWT dan perkara-perkara yang membatalkan syahadah.

3. Umat Islam dilarang mencela dan mengkafirkan para isteri Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda Ridwanullahi Alaihim Ajmain

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan (orang-orang yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan (orang-orang yang) berkata: “Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain", serta bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu. Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang menghina”. (al-Nisa’ : 150-151)
Tags: khutbah, sunnah
Subscribe

Posts from This Journal “sunnah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments