mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Peristiwa Israk Dan Mikraj”.

Petikan Khutbah Jumaat 13 April 2018M / 26 Rejab 1439H: JAIS

“Peristiwa Israk Dan Mikraj”

Sempena bulan Rejab yang mulia ini, marilah kita menghayati satu peristiwa besar dan bersejarah iaitu Israk dan Mikraj. Allah SWT telah memperjalankan hamba-Nya Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Baitul Maqdis di Palestin, kemudian naik ke langit sampai ke jais.jpgSidratul Muntaha seterusnya ke suatu tempat bernama Mustawa untuk menerima satu perintah yang penting iaitu Ibadah Solat.

Peristiwa ini dirakamkan dalam ayat pertama surah al-Isra’ sepertimana dibaca pada permulaan khutbah ini yang bermaksud: “Maha suci Allah yang telah menjalankan hamb-aNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami.

Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. Peristiwa Israk yang menakjubkan ini ialah perjalanan dari Makkah ke Baitul Maqdis yang lazimnya dilakukan selama dua bulan iaitu pergi dan balik. Tetapi berlaku hanya pada satu malam dan menjelang waktu subuh sudah sampai semula ke Makkah.

Peristiwa agung ini telah diingkari oleh masyarakat Quraisy termasuklah orang-orang Islam yang lemah imannya tetapi telah diyakini oleh sahabat Nabi Abu Bakar sehingga beliau digelar “al-Siddiq” yang bererti membenarkan

Peristiwa agung ini mengandungi iktibar dan keinsafan kepada umat Islam untuk meningkatkan iman serta mengambil beberapa pengajaran yang menggambarkan kebesaran Allah SWT.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabrani dan al-Bazzar, Nabi Muhammad SAW telah melalui penempatan beberapa kaum yang hidup mereka penuh dengan kemaksiatan.

Antaranya mereka malas mendirikan solat, enggan membayar zakat, bergelumang dengan wang riba, suka mengumpat, menyebar fitnah, berzina, bersikap sombong dan mengkhianati janji. Ini menggambarkan betapa besarnya azab siksa yang akan menimpa umat Muhammad sekiranya melakukan maksiat dan derhaka kepada Allah.

Nabi SAW juga dibawa melihat ke suatu lembah yang nyaman dan dingin, anginnya membawa bauan wangi harum semerbak bagai kasturi, serta kedengaran suara yang riang gembira.

Apabila Rasulullah SAW bertanya, Jibril lantas menjawab itulah suara syurga yang merayu memohon agar Allah membalas apa-apa yang dijanjikan, walaupun mereka sedang menikmati berbagai-bagai nikmat syurga, namun syurga masih memohon lagi nikmat yang lebih besar sebagai ganjaran kepada yang beriman dan beramal soleh.

Demikian balasan yang amat besar kepada umat Nabi Muhammad SAW yang taat perintah-Nya. Selepas itu Jibril AS membawa Nabi ke suatu tempat, kedengaran suara bising dan udaranya berbau busuk. Jibril AS menyatakan, itu adalah suara neraka Jahannam yang menyeru agar ditambah lagi azab yang dijanjikan walaupun telah bertimbun padanya rantai, belenggu, api menjulang, air panas mendidih, tetapi neraka Jahannam masih memohon lagi azab dan seksa kepada mereka yang mensyirikkan Allah dan melakukan maksiat.

Menurut riwayat Anas Bin Malik, setelah Rasulullah SAW tiba di Baitul Maqdis dengan menaiki seekor haiwan bernama Buraq, baginda masuk ke dalam Masjid al-Aqsa dan salat dua rakaat.

Menurut Ibnu Mas’ud Radiallhu Anhu pula, Jibril AS memimpin baginda ke hadapan untuk menjadi imam solat bersama Para Rasul, Ini merupakan petunjuk bahawa Nabi Muhammad SAW datang membawa syariat dan secara tidak langsung menamatkan syariat rasul-rasul terdahulu.

Dalam perjalanan mikraj Nabi Muhammad SAW membuat kunjungan hormat kepada Nabi Adam AS sebagai bapa kepada seluruh umat manusia, ini memberi pengajaran kepada kita,apabila bermusafir jauh atau membuat sesuatu tugas besar, perlulah lebih dahulu menemui ibubapa atau ahli keluarga yang tua untuk memohon doa daripada mereka agar dapat melaksanakan tugas dengan baik dan selamat. Seterusnya melakukan kunjungan kepada rasul-rasul yang lain sehingga langit ke tujuh.

Menurut Tafsir al-Maraghiy, sesungguhnya pada peristiwa ini terdapat suatu pengertian yang menunjukmenghormati antara satu sama lain.

Perbuatan ini patut diambil aktibar oleh umat Muhammad agar sentiasa menjalin persaudaraan, berkasih sayang, saling menghormati antara satu dengan lain, jauhi daripada perkara yang boleh menimbulkan perpecahan dan perbalahan sesama sendiri.

Peristiwa selanjutnya datang pula malaikat Jibril AS membawa dua jenis minuman, arak dan susu.

Maka Nabi SW memilih susu. Jibril AS menyatakan bahawa Nabi telah memilih fitrahnya. Susu melambangkankan bahawa semua Para Rasul walaupun berlainan keturunan, zaman, bahasa dan budaya, namun mereka hormat kesucian. Ada pun arak adalah pokok segala kejahatan. Allah melaknat peminum arak, penjual, pemberi, pembawa, peniaga atau sebagainya.

Kemuncak daripada peristiwa Israk dan Mikraj, Allah SWT memfardhukan ibadat solat 50 waktu sehari semalam. Tetapi setelah rayuan dibuat akhirnya Allah memperkenankan solat hanya 5 waktu sahaja, namun ganjarannya sama dengan 50 waktu.

Solat adalah ibadat utama yang diibaratkan seperti tiang dalam sesebuah bangunan. Hadis daripada Umar Bin al-Khattab Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya bermakna ia mendirikan agama, sebaliknya mereka yang meninggalkannya seolah-olah meruntuhkan agama”. (Riwayat al-Baihaqi).

Solat merupakan perhubungan kita dengan Allah SWT. Dengan sebab itu sewajarnya solat dilakukan dengan sempurna, menumpukan sepenuh perhatian kepada zat Allah SWT semata-mata.

Menurut Doktor Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya al-Israk wal Mikraj menyatakan pengajaran daripada Israk Mikraj antaranya Nabi Muhammad SAW adalah sebagai penutup rangkaian cahaya yang dikirim Allah ke alam ini supaya umatnya yang beriman diangkat darjat mereka. Nabi Muhammad juga dipilih oleh Allah sebagai manusia yang paling hampir dengan-Nya. Sepertimana dalam surah an-Najm ayat 9:  “Sehingga menjadilah jarak (di antara-Nya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi”.

Mengakhiri khutbah ini, marilah kita renung dan hayati beberapa saranan berikut;

1. Umat Islam hendaklah beriman dan meyakini tentang wujudnya kejadian Israk dan Mikraj kepada Nabi Muhammad SAW..

2. Umat Islam hendaklah memperingati kisah Israk dan Mikraj ini dengan mengkaji, mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa tersebut

3. Umat Islam hendaklah memastikan diri dan keluarga tidak mengabaikan solat lima waktu, walau di mana sahaja kita berada untuk menjamin kejayaan di dunia dan akhirat.

4. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa setiap perbuatan yang baik akan dimasukkan ke dalam syurga dan pelanggaran perintah Allah akan menerima pembalasannya di dalam neraka.

5. Umat Islam diingatkan supaya istiqamah dalam melaksanakan kebajikan dan amal soleh untuk mendapat ganjaran Allah di akhirat kelak.

“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi “Sidratul-Muntaha”, yang di sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (al-Najm ; 13-15).
Tags: israk, khutbah, mikraj
Subscribe

Posts from This Journal “israk” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments