mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Jom Kuliah”

Petikan Khutbah Jumaat 20 April 2018M / 04 Syaaban 1439H: JAIS

“Jom Kuliah”.

Menuntut ilmu agama adalah satu kewajipan kepada setiap umat Islam, ini telah dijelaskan oleh Baginda Nabi kita SAW melalui sabdanya sebagaimana diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik Radiallahu Anhu:“Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslim”. (Riwayat Ibnu Majah).

jais.jpgIbnu Hajar Al-Asqalani mengatakan bahawa ilmu yang dimaksudkan disini adalah ilmu syarak atau ilmu agama. Namun demikian bukanlah bermakna setiap individu muslim wajib mempelajari semua cabang ilmu agama dengan secara mendalam tetapi cukuplah mereka mengetahui asas-asas ilmu yang berkaitan dengan aqidah, ilmu fiqh dan tasauf yang dikategorikan sebagai ilmu fardhu ain.

Ilmu ini sangat diperlukan bagi setiap muslim kerana dengannya ia dapat berpegang kepada aqidah yang benar, melaksanakan ibadah yang sohehah dan dapat memurnikan hubungan sesama manusia dan penciptanya dengan tepat dan seni.

Sesetengah orang beranggapan bahawa mempelajari ilmu fardhu ain hanya untuk kanak-kanak di sekolah sahaja. Lalu anak-anak ini dihantar oleh ibubapa ke Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA).

Harus diingat, seseorang muslim yang dewasa juga tidak boleh berpada atau menganggap memadai dengan ilmu agama yang dipelajari semasa berada dibangku sekolah rendah semata-mata.

Ketahuilah bahawa Nabi SAW pernah mengisyaratkan bahawa orang-orang yang bersendirian tanpa bergaul dengan orang-orang soleh ia akan terdedah kepada risiko digoda dan disesatkan oleh syaitan.

Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda melalui sebuah hadis sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Umar Radiallahu Anhuma: “Kamu hendaklah sentiasa bersama jamaah, dan jauhilah pepecahan kerana syaitan dapat menggoda orang yang bersendirian, dan jika berdua syaitan agak sukar. Sesiapa yang hendak berada di tengah-tengah syurga maka ia hendaklah melazimi jamaah, sesiapa yang berasa gembira dengan kebaikan yang dilakukannya dan sebaliknya berasa janggal terhadap kejahatan yang dilakukannya maka itulah tanda sebagai seorang mukmin”. (Riwayat al-Tirmizi).

Menurut Abu Laits al-Samarqandi (السمسقىدي ثُالل ؤبى) dalam satu karyanya bahawa seseorang yang datang kepada seorang yang alim lalu duduk bersama didalam majlis ilmunya walaupun tidak mampu mengingat atau menghafal pelajaran tersebut, maka baginya tetap mendapat tujuh kemuliaan:

1. Dia akan mendapat kemuliaan sebagai orang yang belajar ilmu agama.

2. Selama dia duduk dalam majlis tersebut, dia akan terhindar daripada berbuat dosa dan kesalahan.

3. Apabila dia keluar daripada rumahnya ke majlis ilmu maka rahmat Allah akan turun ke atasnya.

4. Apabila dia duduk disisi orang alim maka turunlah rahmat keatas penuntut-penuntut ilmu, maka dia juga memperolehi keberkatan ilmu tersebut.

5. Selama dia mendengar ilmu tersebut maka dituliskan baginya kebajikan.

6. Malaikat menaungi keatas penuntut ilmu dengan sayap-sayapnya kerana redha dan gemar kepada majlis tersebut.

7. Setiap kali kakinya melangkah ke majlis ilmu maka dosanya akan diampun dan darjatnya dinaikkan sehingga ke beberapa darjat.

Sesetengah orang amat bersemangat dan mengambil berat dalam mencari ilmu keduniaan sehingga sanggup membayar dengan harga yang mahal untuk meningkatkan pengetahuan atau kemahiran, malah untuk itu mereka sanggup meminjam dan berhutang.

Namun haruslah diingat bahawa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan agama mestilah diutamakan untuk memastikan kejayaan yang abadi diakhirat kelak.

Menuntut ilmu agama adalah satu kewajipan keatas diri setiap muslim tanpa melihat profesion atau pekerjaannya.

Hendaklah difahami bahawa menuntut ilmu fardhu ain bukan persoalan sunat atau harus, Bahkan hukumnya adalah wajib dan berdosa meninggalkannya.

Ibn Ruslan melalui nukilan puisinya mengalunkan: َ“Dan sesiapan sahaja yang melakukan amalan tanpa ilmu, Maka amalannya ditolak, tidak diterima”.

Sebenarnya tiada alasan untuk tidak menuntut ilmu agama. Menuntut ilmu agama akan menjadikan kehidupan seseorang lebih diberkati, kerana dengan ilmu tersebut akan mendekatkan kita kepada Allah, dan bertambah takut kita kepada-Nya. Setiap hari dalam hidup kita perlu berusaha untuk menambah ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah.

Ilmu tidak datang mencari kita. Kita yang mesti mencari ilmu.

Abu Hurairah Radiallahu Anhu meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah bersabda: ُ“Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah memudahkan baginya jalan ke syurga.” (Riwayat al-Tirmizi)

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripadanya:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat perlu kita menghambakan diri kepada Allah berasaskan ilmu yang benar.

2. Untuk mendapatkan ilmu yang benar setiap orang wajib berguru kepada guru yang boleh membimbing kita takut kepada Allah dan ghairah untuk mendapatkan keredhaan dan syurganya.

3. Adalah menjadi tanggungjawab untuk ibu bapa memastikan anak mereka dilengkapkan dengan ilmu fardhu ain supaya menjadi celik agama dan boleh membaca al quran.

4. Adalah menjadi tanggungjawab pihak pemerintah agar terus mengambil berat ke arah menjana ulama yang benar-benar mendalami ilmu dan berkebolehan.

“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)”. (al-Taubah : 122)
Tags: ilmu, khutbah, kuliah
Subscribe

Posts from This Journal “ilmu” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments