mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Perpaduan Menjamin Kesejahteraan”

Petikan Khutbah Jumaat 27 April 2018M / 11 Syaaban 1439H: JAIS

“Perpaduan Menjamin Kesejahteraan”.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik yang telah membawa keamanan dan perpaduan. Rasulullah SAW menjadikan keimanan kepada ajaran Islam sebagai asas kepada pembentukan perpaduan yang disemai sejak permulaan dakwah baginda di Makkah al-Mukarramah jais.jpgsehinggalah terbentuknya sebuah negara Islam di Madinah al-Munawwarah.

Seruan pertama ketika baginda sampai ke Madinah sebagai pemimpin penyelamat manusia ialah tentang perpaduan sesama warga Madinah itu sendiri.

Sebuah hadis diriwayatkan daripada Abdullah bin Salam Radiallahu Anhu bahawa seruan pertama yang beliau dengar daripada Rasulullah SAW ketika tibanya baginda di Kota Madinah, sabdanya: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, memberi makan, hubungkanlah silaturrahim, solatlah di malam hari ketika orang sedang tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan sejahtera”. (Riwayat al-Hakim).

Kaedah pembentukan perpaduan adalah berdasarkan empat perkara yang sangat memberi kesan kepada ukhwah perpaduan ummah iaitu ucapan salam, menyediakan makanan, menghubung silaturrahim dan solat malam.

Jagalah adaba semasa berkempen dalam pilihanraya ketika menyampaikan hujah dan bersuara dengan tidak mengandungi fitnah dan tohmahan.

Fitnah bukan sahaja mengelirukan banyak pihak tetapi ia juga akan membangkitkan semangat permusuhan yang boleh menimbulkan dendam kesumat. Sifat inilah akan menyebabkan berlakunya permusuhan yang berpanjangan.

Sebagai persiapan menghadapi Pilihanraya Umum ke-14, Baginda D.Y.M.M. Sultan Selangor telah bertitah dalam perutusannya yang bertarikh 20 April 2018 bahawa D.Y.M.M. Tuanku berharap agar Pilihanraya Umum ke-14 ini dapat dijalankan dengan lancar dan dalam keadaan aman tanpa sebarang kekecohan dan huru-hara di kalangan rakyat”

Khatib ingin mengingatkan bahawa dalam suasana kempen pilihanraya sekarang ini, antara perkara yang mesti dijaga ialah perpaduan dan ukhuwah antara kita. Perpaduan adalah antara nikmat yang mesti kita syukuri. Perpaduan hanya wujud jika kita menghargai sesebuah keamanan.

Semua pihak hendaklah menyampaikan berita yang benar dan bertanggungjawab bagi setiap fakta yang disampaikan. Sesiapa yang mendengarnya hendaklah sentiasa tabayyun atau memastikan kebenarannya sebelum menerima dan menyebarkannya.

Ingatlah firman Allah SWT dalam surah alHujuraat ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

Kelalaian kita yang terlalu asyik berkempen hingga terpesong ke dalam kancah kutuk mengutuk, hina menghina, aib mengaib dan lebih dahsyat lagi fitnah memfitnah.

Sedangkan semua ini dilarang oleh Allah SWT sebagaimana ditegaskan-Nya melalui firman-Nya dalam surah al-Hujuraat ayat 12: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani”.

Mengakhiri khutbah kita pada kali ini maka mimbar menyimpulkan beberapa perkara yang amat penting untuk diambil pengajaran sebagai pedoman kepada kita semua. Antaranya adalah:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa semua tindakannya dan amalan di dunia akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak.

2. Umat Islam wajib menjaga adab-adab dalam setiap perkataan dan tindakan untuk memastikan perpaduan terpelihara.

3. Umat Islam wajib menjauhkan diri daripada fitnah memfitnah, hina menghina dan ucapan yang boleh menjejaskan akidah, syariat dan akhlakakhlak Islam.

4. Pilihanraya yang datang bermusim ini wajar dijadikan wadah dakwah bagi menyebarkan Islam sebagai agama yang damai, aman dan sejahtera.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (al-Maidah : 8)
Tags: kesejahteraan, khutbah, perpaduan
Subscribe

Posts from This Journal “perpaduan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments