mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Tanggungjawab Memilih Pemimpin”

Petikan Khutbah Jumaat 04 Mei 2018M / 18 Syaaban 1439H: JAIS

"Tanggungjawab Memilih Pemimpin”

Mengapa kita diwajibkan memilih pemimpin?

Pertama: Memilih pemimpin adalah satu tuntutan dalam agama.

Dalam sjais.jpgebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: ْ “Apabila tiga orang berada dalam keadaan musafir, hendaklah mereka melantik salah seorang menjadi ketua.” (Riwayat Abu Daud).

Hadis ini menjelaskan bahawa pentingnya melantik pemimpin, bagi memastikan wujud keselarasan tindakan dalam kehidupan kaum Muslimin.

Pemilihan pemimpin merupakan satu bentuk penyaksian yang perlu dipenuhi dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di hari akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 282:  “...dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi...”

Kita bertanggungjawab untuk memilih pemimpin terbaik yang akan membawa kebaikan kepada agama, masyarakat, Negara dan umat Islam seluruhnya.

Kedua: Kita diwajibkan memilih pemimpin adalah kerana untuk mencari pemimpin yang terbaik.

Antara ciri-ciri pemimpin terbaik adalah orang yang berilmu pengetahuan yang luas, berkemampuan tubuh badan dan fizikalnya serta berintegriti yang tinggi.

Sifat-sifat ini dapat dilihat pada peribadi Nabi Musa AS, Nabi Yusuf AS dan panglima Talut ketika mereka mula diberikan tanggungjawab.

Firman Allah SWT tentang nabi Musa AS dalam surah al-Qasas ayat 26:“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia (Musa) menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”

Firman-Nya lagi tentang pemilihan Talut sebagai pemimpin yang berupaya dan berilmu dalam surah al-Baqarah ayat 247: “Nabi mereka berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan.”

Manakala tentang kepimpinan Nabi Yusuf AS pula, Allah berfirman dalam surah Yusuf ayat 55: “Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.”

Sungguh pun Negara kita memberi kebebasan dalam memilih pemimpin, namun kita diwajibkan memilih bakal pemimpin yang berilmu, berintegriti dan mampu membawa kesejahteraan kepada agama, bangsa dan Negara.

Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesiapa yang melantik seseorang dari satu golongan, sedangkan dalam golongan itu ada calon yang lebih disukai Allah darinya, maka dia telah mengkhianati Allah, rasul-Nya dan semua orang yang beriman.” (Riwayat al-Hakim).

Hadis ini selaras dengan larangan keras Allah SWT supaya orang-orang yang beriman jangan sekali-kali mengkhianati Allah dan Rasul-Nya melalui firman-Nya dalam surah al-Anfal ayat 27:“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanahamanah kamu, sedangkan kamu mengetahui (salahnya).”

Islam amat menekankan soal akhlak walaupun terhadap musuh dalam peperangan. Apatah lagi terhadap persaingan dalam pemilihan secara demokrasi.

Sistem demokrasi itu sendiri diwujudkan supaya manusia bersaing mendapatkan kuasa secara aman, tanpa beradu tenaga dan senjata.

Jangan pula kita menipu atau memfitnah, membuat provokasi, katakata kesat, menyinggung peribadi seseorang dan sebagainya dalam berkempen.

Strategi begini sangat bertentangan dengan sifat utama pemimpin iaitu sifat jujur. Walaupun perkara ini dipandang remeh, namun ia adalah berat dosanya disisi Allah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 15:“Semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.”

Mengakhiri bicara khutbah kali ini, dapatlah kita rumuskan beberapa pengajaran untuk penghayatan kita sebagai umat Islam, antaranya:

1. Umat Islam hendaklah beriman dan yakin bahawa pada hari akhirat kelak Allah SWT akan mempersoalkan semua amalan dan tindakan kita, termasuklah tanggungjawab memilih pemimpin.

2. Umat Islam hendaklah sentiasa menjaga akhlak sebagai seorang Muslim sepanjang berlangsungnya kempen pilihanraya.

3. Umat Islam hendaklah memilih pemimpin yang berintegriti, berilmu dan berkemampuan memikul tanggungjawab yang mampu membawa kesejahteraan kepada Negara supaya selamat dari berbagai kerosakan dan bala bencana dalam kehidupan ini.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (al-Rum : 41)
Tags: khutbah, pemimpin, tanggungjawab
Subscribe

Posts from This Journal “pemimpin” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments