mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Mensyukuri Nikmat Keamanan Melalui Tarbiyyah Ramadhan”

Petikan Khutbah Jumaat: 11 Mei 2018M / 25 Sya’ban 1439H JAKIM

“Mensyukuri Nikmat Keamanan Melalui Tarbiyyah Ramadhan”

Alhamdulillah, negara baru sahaja selesai melalui proses pemilihan barisan kepimpinan yang baharu. Tahniah kepada yang berjaya dan ingat bahawa ini adalah satu amanah besar ke arah mensejahterakan ummah dan negara.

jakim.jpgNamun paling penting kita sebagai rakyat perlu menerima keputusan dengan hati terbuka dan bersama-sama menumpahkan taat setia. Sesungguhnya memilih pemimpin menjadi suatu kewajipan yang dituntut oleh agama Islam.

Oleh itu, kita perlu bijak dan teliti kerana pemimpin menjadi penentu dasar negara dan pembina corak budaya bangsa ke arah kehidupan yang sejahtera. Bahkan pemimpin adil menjadi sumber keberkatan.

Utamakanlah pemimpin yang memiliki ciri-ciri keunggulan. Akhirat menjadi wawasan, berilmu penuh wibawa, integriti menjulang agama, cakna rakyat jelata, bertaqwa menjauhi dosa, Al-Quran dan al-sunnah jadi dasarnya, jawatannya adalah amanah dan keredhaan Allah jadi matlamat.

Gemar mencurah kebaikan dan khidmat memastikan rakyat selamat, negara berkat dan mendapat rahmat. Sebagaimana jawapan Rasulullah SAW kepada Saidina Abu Zarr r.a “Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi punca kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan haknya dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya”.

Beberapa hari lagi kita akan memasuki ambang Ramadhan yang diwajibkan padanya kita berpuasa. Ramadhan saban tahun menjelang tiba dan berlalu pergi.

Apa yang Ramadhan tawarkan kepada kita umat manusia. Apakah maqasid (objektif) yang ingin dicapai melalui Ramadhan, apakah hikmah pensyariatan puasa di bulan Ramadhan. Inilah sebenarnya tujuan dan matlamat puasa sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat:183;“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Imam Ibn Kathir menyebut bahawa firman Allah ini ditujukan kepada orangorang yang beriman dari kalangan umat manusia dan ini merupakan perintah untuk melaksanakan ibadah puasa.

Imam At-Tobari pula menafsirkan ayat ini : “Wahai orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, yang membenarkan kedua-duanya dan berikrar kepada keduanya”.

Allah SWT hanya memerintahkan puasa ini kepada mereka yang beriman dan Allah SWT juga hanya menerima ibadah puasa dari jiwa-jiwa mereka yang beriman sahaja.

Tujuan pensyariatan ibadah puasa di bulan Ramadhan, iaitu bertaqwa kepada Allah. Imam As-Syahid Said Qutb menyimpulkan dalam tafsirnya bahawa taqwa inilah yang membangkitkan kesedaran dalam hati sehingga mahu menunaikan kewajipan ini.

Taqwa inilah yang menjaga hati sehingga tidak rosak puasanya dengan maksiat.

Taqwa merupakan puncak ketinggian rohani orang-orang yang beriman, dan puasa ini merupakan salah satu alatnya dan jalan untuk mencapai taqwa.

Justeru, bagi kita mencapai manifestasi taqwa melalui ibadah puasa,sewajarnya kita melaksanakan prasyarat berikut:-

Pertama, seorang yang berpuasa haruslah meninggalkan apa yang diharamkan (perkara yang membatalkan puasa) serta segala bentuk larangan Allah SWT (perkara-perkara maksiat yang lain). Dia meninggalkan semua perkara ini demi mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengharapkan redha-Nya.

Kedua, seorang yang berpuasa bermaksud individu muslim tersebut sedang melatih jiwanya untuk sentiasa muraqabatullah (merasakan diri sentiasa diawasi oleh Allah SWT). Dia meninggalkan segala kehendak hawa nafsunya (makan, minum dan segala perkara yang membatalkan puasa) padahal dia mampu untuk melakukannya tanpa diketahui oleh orang lain.

Ketiga, ibadah puasa sebenarnya telah menyempitkan pergerakan syaitan dalam tubuh badan manusia melalui saluran darah. Seperti yang diriwayatkan dalam hadis sahih, “Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah. Aku khawatir sekiranya syaitan itu menyusupkan kejelekan dalam hati kalian berdua.” (Sahih al-Bukhari)

Keempat, ibadah puasa dapat menambahkan ketaatan kepada Allah SWT. Amal ibadah ditingkatkan, masjid-masjid dipenuhi masyarakat, dihidupkan masjid dengan qiamullail jamai’e

Antara ciri ketaqwaan yg diharapkan sempena kedatangan Ramadhan apalagi selepas pasca Pilihan Raya Umum 14 untuk kita hidup bersatu padu, saling bermaafan, hormat menghormati dan melupakan perselisihan sepanjang kempen Pilihan Raya serta menghormati mandat yang telah diberi oleh rakyat bagi memilih kerajaan.

Marilah kita rapatkan ukhuwah dan persaudaraan antara kita sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat: 103,“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”.

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin menekankan beberapa intipati penting yang boleh diambil;

Pertama: Islam yang berkonsepkan taqwa berjaya menghapuskan amalan negatif dalam kehidupan manusia, khususnya kezaliman, penipuan, rasuah, salah laku dan lain-lain.

Kedua: Bulan Ramadhan merupakan bulan untuk melatih diri menjadi hamba Allah SWT yang bertaqwa.

Ketiga: Islam telah berjaya menghapuskan perkara negatif bukan sahaja dengan undang-undang yang dikuatkuasakan, tetapi lebih daripadanya ialah jati diri seseorang dengan sifat taqwa.

 “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah; dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan untuk hari esok. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah alHasyr ayat 18)
Tags: aman, khutbah, nikmat, ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “nikmat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments