mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Keluarga Kita Di Bulan Ramadhan”

Petikan Khutbah Jumaat 18 Mei 2018M / 02 Ramadhan 1439H: JAIS

“Keluarga Kita Di Bulan Ramadhan”.

Allah menetapkan bilangan bulan sebanyak 12 bulan, lalu Allah memilih bulan Ramadhan sebagai penghulu segala bulan. Kemudian Allah memilih pula Bulan Ramadhan sebagai bulan untuk diturunkan al-Quran dan diletakkan pula malam lailatul qadar berlaku pada jais.jpgbulan Ramadhan. Inilah sedikit gambaran tentang kemuliaan bulan ini.

Alangkah indahnya jika satu keluarga dapat bangun menghidupkan hari-hari Ramadhan dengan amal ibadat kepada Allah. Disebelah siangnya sama-sama berpuasa. Disebelah malamnya pula sama-sama menghidupkan malam dengan qiamullail.

Untuk melaksanakan sesuatu kebaikan adalah sukar. Banyak halangan sama ada dari dalam diri dan persekitaran. Namun jika dilakukan secara berjamaah ianya lebih mudah.

Keluarga kita adalah satu jamaah yang kecil. Jika satu keluarga berpakat untuk melakukan kebaikan maka sesuatu amalan itu menjadi mudah sebab masing-masing saling bantu membantu, kuat dan menguatkan. Allah SWT meyuruh hamba-hamba-Nya untuk bekerjasama dalam melakukan kebaikan.

Firman Allah dalam surah alMaidah ayat 2:“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaNya.”

Marilah sama-sama kita hidupkan jiwa dan rasa kehangatan Ramadhan dalam rumah kita, supaya kita sekeluarga dapat merebut tawaran Allah yang berupa pahala yang berganda di Bulan Ramadan agar kita dapat melalui hari-hari dan malam-malam Ramadhan dengan jaya dan cemerlang.

Ini bersesuaian dengan janji-janji Allah SWT dalam surah al-Tur ayat 21:“Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.”

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh keluarga kita dalam Bulan Ramadhan. Antaranya:

1. Wujudkan suasana keimanan dan ketakwaan dalam keluarga. Saling berpesan dan mengingati sesama ahli keluarga bahawa bulan Ramadhan yang mulia ini adalah satu peluang keemasan yang diberikan oleh Allah untuk kita perbanyakkan amal ibadat.

2. Rancanglah amal ibadat atau apa-apa kebaikan yang boleh dilakukan bersama-sama keluarga sepanjang Bulan Ramadan. Umpamanya berbuka secara berjamaah bersama keluarga, bersama-sama ke masjid untuk solat berjamaah dan solat taraweh pada malamnya.

3. Galakkan anak-anak kecil berpuasa sekadar yang termampu oleh mereka. Biar mereka juga merasai kehadiran Ramadan. Seorang sahabiyyah; Ar-Rubayyi’ binti Mu’awwidz Radhiallahu Anha menceritakan; “Kami membiasakan anak-anak kecil kami untuk berpuasa dengan izin Allah. Kami pergi ke masjid, lalu kami buatkan untuk anak-anak kami mainan dari kapas yang berwarna. Kalau salah seorang daripada mereka menangis (kerana kelaparan) maka kami berikan mainan itu kepadanya sampai waktu berbuka puasa”. (Riwayat Bukhari & Muslim).

4. Hidupkan suasana membaca al-Quran di dalam rumah. Biar ruang rumah dipenuhi dengan suara bacaan al-Quran. Hidupkan amalan bertadarus bersama keluarga. Disamping itu bacalah terjemahan atau tafsir al-Quran untuk sama-sama menghayati dan mentadabur ayat-ayat Allah.

5. Carilah sedikit masa untuk duduk bersama keluarga membaca dan bermuzakarah berkaitan dengan ibadat puasa, seperti syarat sah puasa, perkara yang membatalkan puasa, fadhilat puasa dan lain-lain.

6. Menghiasi rumah sebagaimana kita menghiasinya semasa hari raya, sebagai tanda kegembiraan kita menyambut Ramadhan.

7. Mengeratkan silaturrahim dan kasih sayang sesama ahli keluarga, ibubapa, mertua dan jiran tetangga dengan saling bersedekah atau memberi hadiah.

Amalan-amalan yang baik ini jika dilakukan secara berjamaah dalam satu keluarga, pasti ia akan mendatangkan kekuatan, semangat dan istiqamah dalam usaha memperbanyakkan amal kebaikan yang ada pada bulan Ramadhan.

Oleh itu ajaklah keluarga kita untuk sama-sama merancang aktiviti ibadah yang boleh dilakukan bersama-sama. Umpamanya pergi ke masjid untuk solat berjamaah dan solat tarawih sepanjang ramadhan serta menghidupkan 10 malam terakhir.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita hayati perkaraperkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah menjadikan Ramadan sebagai satu madrasah untuk mendidik diri dan keluarga kita mendekatkan diri kepada Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah bersungguh-sungguh untuk merebut segala ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT di dalam bulan Ramadhan ini.

3. Umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada terjebak ke dalam pembaziran kerana membazir itu saudara syaitan.

4. Umat Islam janganlah mensia-siakan waktu di bulan Ramadhan dengan berehat dan leka membaca dan bermain dengan media sosial, sebaliknya hendaklah dipenuhi dengan berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,” (al-Baqarah : 183).
Tags: keluarga, khutbah, ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “keluarga” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments