mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Guru Di Kasihi Masyarakat Di Berkati

Petikan Kutbah Jumaat 18 Mei 20186 / 2Ramadhan 1439 JAKIM

Guru Di Kasihi Masyarakat Di Berkati

Saban tahun tanggal 16 Mei merupakan tarikh bermakna buat semua insan yang bergelar pendidik kerana dapat menyambut Hari Guru sekaligus mengingati sumbangan dan menghargai pengorbanan mereka. Tidak kira siapa pun kita hari ini, pasti kita terhutang budi jakim.jpgkepada guru. Hayatilah antara bait-bait keramat dari sajak nukilan Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang pada 1979 yang bertajuk ‘Guru Oh Guru’.

Antara lain sajak ini berbunyi: “Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa, jika hari ini seorang Raja menaiki takhta, jika hari ini seorang Presiden sebuah negara , jika hari ini seorang Ulama yang mulia , jika hari ini seorang peguam berbicara, jika hari ini seorang penulis terkemuka, jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa; sejarah dimulakan oleh seorang guru biasa, dengan lembut, sabarnya mengajar tulis baca”.

Setiap satu rangkap sajak ini menceritakan sumbangan, peranan dan kejayaan besar guru dalam mendidik dan membentuk peribadi serta karakter dalam masyarakat. Oleh itu, wajar untuk kita mengiktiraf jasa mereka terhadap agama, bangsa dan negara bertepatan dengan tema yang dipilih pada kali ini GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN.

Dengan erti kata lain guru merupakan ejen perubahan pendidikan sepanjang zaman. Lantaran itu, menjadi kewajipan setiap kita berterima kasih kepada guru dan mensyukuri nikmat ilmu dan pengetahuan yang dikurniakan oleh Allah kepada kita sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 78 ,“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati; supaya kamu bersyukur. ”

Ini bermakna, Setiap guru perlu dihormati atas ketinggian martabatnya seperti yang diterangkan oleh Imam Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin yang memetik nasihat Lukman al-Hakim kepada anaknya iaitu: “Wahai anakku, pergaulilah para guru dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, kerana Allah Taala menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmah, sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan hujan dari langit”.

Sememangnya martabat profesion keguruan bukan sahaja mulia dan baik, tetapi perlu juga menggalas cabaran yang hebat untuk mendidik, membimbing dan menunjuk ajar dalam proses membentuk modal insan yang berwibawa dan berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Mutakhir ini pelbagai isu mewarnai dunia pendidikan negara baik yang positif dan membanggakan mahupun yang kurang enak untuk kita dengar. Namun kedudukan guru di mata masyarakat tidak pernah pudar dan tenggelam. Hakikatnya masyarakat khususnya ibu bapa harus sedar bahawa tugas guru hari ini sangat mencabar berbanding guru zaman dahulu.

Maka dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan menyedarkan anak-anak mereka mengenai jasa dan sumbangan guru. Anak-anak perlu diajar untuk menghormati guru mereka. Pada masa sama ibu bapa juga perlu percaya dan membenarkan guru menjalankan tanggungjawab mereka tanpa sebarang gangguan jika mahu melihat anak mereka menjadi manusia berguna kelak.

Memang benarlah firman Allah SWT menyebut bahawa anak-anak adalah fitnah buat kita khususnya ibubapa sebagaimana firman Allah SWT dam surah Al Anfal Ayat 27 dan 28 “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanahamanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar”

Sempena dengan Hari Guru pada tahun ini dan kegembiraan kita menyambut kehadiran bulan Ramadhan alMubarak ini, bulan yang menuntut kita meningkatkan amal soleh dan melakukan kebaikan atau ma’ruf kepada semua orang lebih-lebih lagi kepada mereka yang berjasa menabur benih ilmu dan iman iaitu guru-guru kita.

Sabda nabi SAW, Daripada Abi Dardak R.A “ Daripada Abu Dardak , aku mendengar Nabi SAW berkata, Tidak ada yang lebih berat pada timbangan ( Mizan di hari Pembalasan ) daripada akhlak yang baik, sesungguhnya orang yang berakhlak baik akan mencapai darjat orang berpuasa dan solat ”.

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:

Pertama: Umat Islam hendaklah menghormati dan menghargai guru kerana jasa mereka mendidik dan menyampaikan ilmu sehingga kita menjadi insan berguna dan bertanggungjawab.

Kedua: Setiap individu perlu sedar bahawa siapa pun dia, dan apa pun kedudukannya pada hari ini semestinya bermula dari bimbingan didikan dan panduan seorang guru.

Ketiga: Ibu bapa hendaklah sentiasa membantu dan menyokong tugas-tugas guru dalam mendidik dan membimbing anak-anak mereka, serta sentiasa menasihati dan mengingatkan anak-anak agar menghormati dan berakhlak mulia dengan guru.

“Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diminta memberi lapang dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah :11)
Tags: berkati, guru, kasihi, khutbah, masyarakat
Subscribe

Posts from This Journal “guru” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments