mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Kewajipan Menunaikan Zakat Fitrah”

Petikan Khutbah Jumaat 25 Mei 2018M / 09 Ramadhan 1439H:JAIS

“Kewajipan Menunaikan Zakat Fitrah”

Mengeluarkan zakat merupakan salah satu daripada Rukun Islam dan ianya adalah satu kewajipan syarak dan tanggungjawab sosial.
jais.jpg
Zakat yang wajib ditunaikan ada dua jenis iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Kedua-duanya mempunya kesan dalam pembentukan akhlak manusia.

Merujuk kepada zakat fitrah, ia adalah satu kewajipan bagi setiap individu Muslim menunaikannya dengan menyerahkan makanan asasi segantang Baghdad bersamaan 2.7 kilogram atau RM7 seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor juga, umat Islam amat digalakkan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan oleh inidividu dan keluarga.

Galakkan membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri Radhiallahu Anhu: “Sesungguhnya kami di zaman Rasulullah SAW membayar zakat fitrah satu gantang daripada makanan asasi, dan makanan asasi kami adalah barli, anggur kering, keju dan kurma.” (Riwayat al-Bukhari)

Zakat juga mempunyai matlamat yang amat tinggi bagi kehidupan manusia baik sebagai individu mahupun masyarakat kerana dengan berzakat, harta, jiwa dan masyarakat akan menjadi bersih dan suci. Firman Allah SWT da;am surah al-Taubah ayat 103:“Ambilah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka dari dosa dan mensucikan mereka dari akhlak yang buruk...”

Hadis daripada Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah itu sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia dan dari perkataan yang keji dan untuk memberi makan orang miskin. Sesiapa yang mengeluarkannya sebelum solat (Idulfitri), maka ia adalah zakat yang di terima dan sesiapa yang mengeluarkannya sesudah solat (Idulfitri), maka ia dinilai sebagai sati sedekah dari sedekah-sedekah biasa.” (Riwayat Abu Daud)

Hadis ini menjelaskan, jika zakat fitrah dikeluarkan selepas solat hari raya, maka ia bukan lagi zakat fitrah tetapi sedekah biasa. Sementara itu, Imam al-Syafie Radhiallahu Anhu berkata: “Mendahulukan zakat fitrah itu dari awal bulan Ramadhan.”

Berdasarkan laporan agihan zakat fitrah di Negeri Selangor, pada tahun 2018 sebanyak RM35.08 juta telah diagihkan kepada 50,023 penerima dari kalangan fakir dan miskin di Negeri ini sebagai persiapan mereka menyambut Ramadhan dan Hari Raya Idulfitri.

Sesungguhnya seseorang yang mengeluarkan zakat jelas menunjukkan rasa bersyukur kepada nikmat dan rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada mereka.

Melalui amalan berzakat, Islam telah dapat mewujudkan satu sistem kemasyarakatan yang terbaik di mana sifat tolong menolong antara golongan yang berharta dengan golongan miskin dapat diwujudkan

Antara hikmah kewajipan zakat fitrah ialah:

1. Allah SWT menjanjikan keberkatan, pertambahan rezeki dan ganjaran pahala kepada mereka yang menunaikan zakat fitrah.

2. Berzakat dapat mengikis sikap sombong, bakhil dan mementingkan diri sendiri.

Sedangkan sifat bakhil itu amat dibenci oleh Nabi SAW sepertimana hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang bakhil jauh daripada Allah, jauh dari syurga, jauh dari manusia dan hampir dengan neraka.” (Riwayat at-Tirmizi).

3. Zakat fitrah yang ditunaikan dapat memberi kebahagiaan terutamanya kegembiraan untuk menyambut hari raya dan menghilangkan kesusahan kepada golongan fakir dan miskin.

Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Dan siapa yang memudahkan orang yang sedang dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkanmya di dunia dan akhirat.” (Riwayat ibnu Majah)

Sebagai ingatan bersama juga, disamping zakat fitrah, janganlah lupa untuk menunaikan zakat harta apabila telah cukup syarat-syaratnya.

Ambillah peluang yang Allah berikan di bulan yang mulia ini untuk merebut ganjaran pahala yang berganda dengan melaksanakan kewajipan zakat terhadap pendapatan, wang simpanan, emas, perniagaan atau pertanian dan lain-lain.

Semoga dengan amalan tersebut, Allah menambahkan lagi rezeki dan keberkatan dalam kehidupan kita.

Mengakhiri khutbah pada hari yang penuh barakah ini, marilah kita mengambil pengajaran seperti berikut

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa segala perintah Allah wajib dilaksanakan termasuklah menunaikan zakat.

2. Umat Islam digalakkan menunaikan zakat fitrah di awal Ramadhan supaya dapat dimanfaatkan oleh penerimanya semasa berpuasa dan di hari raya..

3. Umat Islam juga hendaklah menunaikan zakat harta apabila telah cukup syarat-syaratnya.

4. Umat Islam hendaklah memperbanyakkan bersedekah dan berzakat pada bulan Ramadhan yang mulia ini kerana ganjaran pahalanya amat besar menanti di akhirat kelak

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);.” (al-Mukminun : 1-4).
Tags: fitrah, khutbah, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “zakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments