mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Iktibar Daripada Peristiwa Nuzul Al-Quran”

Petikan Khutbah Jumaat: 01 Jun 2018 / 16 Ramadan 1439: JAKIM

“Iktibar Daripada Peristiwa Nuzul Al-Quran”

Allah SWT telah menurunkan Al-Quran sebagai mukjizat terbesar yang membuktikan kerasulan Nabi SAW dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaan.

jakim.jpgAl-Quran adalah sumber hidayah, rahmat, syifa’ (penawar) dan pemberi penjelasan kepada manusia. Al-Quran juga dikenali sebagai an-Nur (cahaya) yang menerangi dan Al-Furqan (yang dapat membezakan) di antara yang hak dan batil.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 185: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al ﴾ڻ- Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keteranganketerangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah)”

Al-Quran bukan sekadar dibaca dan dihafaz sahaja, bahkan lebih penting adalah menginsafi maqasid atau tujuan ia diturunkan.

Di dalamnya penuh dengan pelbagai panduan dan falsafah kehidupan yang tinggi nilainya seperti beramanah, berdisiplin, bersatu padu yang perlu menjadi amalan kita seharian.

Ini bertepatan dengan tujuan penurunan al-Quran itu sendiri iaitu pertama, sebagai keterangan dan panduan kepada manusia.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl, ayat 44: "Dan Kami turunkan kepada mu (Wahai Muhammad) alQuran yang memberi peringatan supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya."

Yang kedua, sebagai hukum yang membawa kebenaran dan keadilan kepada manusia. Firman-Nya dalam surah al-Nisa', ayat 105: "Sesungguhnya Kami menurunkan kepada mu (Wahai Muhammad) kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum dalam kalangan manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepada mu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang yang khianat."

Apa yang jelas, pengajaran isi Al-Quran ini telah mengangkat Islam sebagai sebuah agama yang lengkap bersifat rahmat, selamat, adil, sederhana dan toleransi sebagai panduan untuk kehidupan manusia seluruhnya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 16:  Dengan Al-Quran itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya, dan dengannya (al-Quran), Tuhan keluarkan mereka dari gelap gelita kepada cahaya yang terang-benderang, dengan izin-Nya; dan (dengannya juga – al-Quran) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus".

Menjadi tanggungjawab kita semua untuk membuktikan bahawa Islam bukan agama kekerasan, keganasan, atau kezaliman dalam memperkenalkan ajarannya.

Islam bukan tempat melahirkan golongan yang sempit pemikirannya dan berjuang secara ekstrem tanpa menghormati hakhak kemanusiaan. Sebaliknya kita berpegang berasaskan kefahaman yang jelas berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang disepakati oleh ulamak Ahli Sunnah wal Jamaah.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Malik: Mafhumnya:"Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah SAW.”

Kitab al-Quran yang ada pada kita adalah satu-satunya panduan utama bagi manusia yang kekal terpelihara. Allah SWT telah menjamin bahawa alQuran ini terpelihara hingga ke hari kiamat. Al-Quran adalah panduan harian, yang membimbing kita dalam menghadapi kemelut dan cabaran kehidupan.

Mengakhiri khutbah kali ini, khatib ingin merumuskan hikmah Nuzul al-Quran adalah seperti berikut:

Pertama: Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW dan panduan hidup bagi umat Islam sepanjang zaman.

Kedua : Al-Quran menjadi rujukan dan penawar diri bagi umat Islam yang inginkan kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Ketiga : Kandungan ajaran al-Quran adalah bersifat mukjizat (I'jaz al- 'Ilmi) sehingga merentasi zaman dan tempat sekali pun telah diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu.

"Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, Bahawa mereka beroleh pahala yang besar." (Surah al-Isra': 9)
Tags: al-quran, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “al-quran” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments