mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Pecutan Terakhir Ramadhan”

Petikan Khutbah Jumaat 08 Jun 2018M / 23 Ramadhan 1439H: JAIS

“Pecutan Terakhir Ramadhan”.

Dalam tempoh terakhir ini, terdapat satu malam yang dinamakan Lailatul Qadr. Ganjaran pahala beribadah pada malam itu menyamai pahala seribu bulan.
jais.jpg
Kelebihan malam tersebut telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5:“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran ini pada malam alQadr, dan apa jalannya yang engkau dapat mengetahui, apa dia kebesaran malam al-Qadr itu? malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka. Kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut. Sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar”.

Menurut Imam Malik, Rasulullah SAW melihat umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, Baginda bermohon kepada Allah SWT memberikan peluang supaya umatnya dapat beramal dengan nilai yang sama dengan amalan umat sebelum mereka. Sebab itu Allah SWT menawarkan malam alQadr yang mempunyai nilai pahala seribu bulan.

Apabila berada pada sepuluh malam yang terakhir, Rasulullah SAW mencari kelebihan Lailatul Qadr dengan menghidupkan malam-malam tersebut sebagaimana disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina „Aisyah Radhiallahu Anha:“Adalah Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh malam terakhir Ramadhan, baginda tidak menggauli para isterinya, menghidupkan malam dan membangunkan ahli keluarga”. (Riwayat al-Bukhari).

Marilah kita bersungguh-sungguh merebut peluang ganjaran Lailatul Qadr dengan mempertingkatkan amal-amal soleh seperti mengadakan qiamullail, beriktikaf di masjid-masjid, bertadarus dan mentadabbur al-Quran, memperbanyakkan zikir-zikir, menghadiri majlis ilmu ataupun tazkirah Ramadhan.

Kita juga dituntut memperbanyakkan berdoa iaitu sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina „Aisyah Radhiallahu Anha:“Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW seandainya saya mengetahui Lailatul Qadr dengan tepat, apa yang patut saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut: “Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan atas kesalahan hamba-Mu, oleh itu maafkanlah segala kesalahanku.” (Riwayat at-Tirmizi).

Dalam merebut ganjaran pada akhir Ramadhan ini, janganlah berlengah atau lupa untuk menunaikan zakat yang diwajibkan dan memperbanyakkan sedekah kepada fakir miskin, anak-anak yatim atau sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.

Islam mensyariatkan zakat fitrah, agar setiap orang yang berpuasa dapat menghayati watak sebenar manusia yang mahu kembali kepada fitrah. Apabila berpuasa, maka umat Islam dididik untuk menghayati erti kesusahan, kelaparan dan menginsafi hakikat sebuah kehidupan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini marilah sama-sama kita lakukan pecutan terakhir ramadhan dengan melakukan perkara-perkara seperti berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini segala balasan baik telah dijanjikan oleh Allah kepada hamba Allah yang beriman dan beramal soleh.

2. Umat Islam dinasihatkan agar tidak lalai dengan kesibukan membuat persiapan hari raya hingga lupa untuk mempertingkatkan amal soleh sebagai bekalan bertemu dengan Allah SWT.

3. Umat Islam wajib mengeluarkan zakat fitrah dan meneruskan bersedekah demi mendapat ganjaran yang besar dari Allah SWT.

Mudah-mudahan Ramadhan yang kita tempuhi tahun ini, akan menjadi titik perubahan dalam diri kita, menjadi insan bertaqwa dan diredhai Allah SWT di dunia dan di akhirat.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”. (al-Baqarah : 186)
Tags: khutbah, lailatul qadar, ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “lailatul qadar” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments