mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Ziarah Perkukuhkan Ukhuwah”

Petikan Khutbah Jumaat: (15 Jun 2018 / 1 Syawal 1439H) JAKIM

“Ziarah Perkukuhkan Ukhuwah”

Bulan Syawal merupakan bulan yang sinonim dengan amalan mengeratkan ukhuwah, berkasih sayang dan ziarah menziarahi dalam kalangan sanak saudara mahupun rakan taulan, bagi merapatkan hubungan persaudaraan atau sebagai tanda mengambil berat terhadap keadaan insan lain.
jakim.jpg
Percayalah, agama Islam sangat menggalakkan penganutnya agar sentiasa memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan persaudaraan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 10:“Sebenarnya orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.”

Islam adalah agama yang menuntut kedamaian dan kemuliaan dalam kalangan manusia. Tidak boleh mengeji, menghina dan merendahkan sesama manusia walau apa bangsa dan agama sekalipun. Malah menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam menunjukkan akhlak dan keperibadian mulia kepada masyarakat bukan Islam.

Islam menjelaskan bahawa manusia adalah makhluk yang dimuliakan dan diberi kelebihan berbanding pelbagai ciptaan lain., Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 70:“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan kenderaan di darat dan di laut; dan Kami berikan rezeki kepada mereka dari yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”

Bulan Syawal adalah masa yang paling sesuai untuk kita menghubungkan kembali sillaturahim. Seseorang itu tidak dikira sempurna imannya sekiranya ia tidak menghubungkan silaturrahim sesama mereka. Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang berbunyi: “Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim.” ( Riwayat Imam al-Bukhari)

Imam Ibnul Athir pula berkata: “Silaturahim adalah suatu ungkapan berkaitan dengan menjalinkan perbuatan baik terhadap kaum kerabat yang memiliki hubungan senasab atau perkahwinan, berlemah lembut kepada mereka, menyayangi mereka, memerhatikan keadaan mereka, walaupun mereka jauh dan berbuat jahat. Manakala memutuskan silaturahim adalah suatu perbuatan yang berlawanan dengannya.”

Mutakhir ini terdapat kecenderungan masyarakat mengambil peluang cuti bulan syawal untuk melancong ke luar negara atau menghabiskan masa di dalam rumah berbanding untuk keluar berziarah.

Budaya ini perlu diubah kerana ia tidak menepati etika sambutan hari raya yang merupakan satu syiar Islam. Inilah waktu yang paling sesuai untuk kita merapatkan hubungan kekeluargaan dan tali persaudaraan.

Jika kita tidak gemar menziarahi saudara mara bagaimana kita dapat mengukuhkan ukhuwah kita lebih-lebih lagi dengan kekangan kerja yang membataskan aktiviti kita untuk mendekati saudara mara pada hari-hari yang lain.

Fenomena kecanduan masyarakat terhadap media sosial merencatkan objektif amalan ziarah untuk saling beramah mesra atau berbual bersama-sama keluarga tuan rumah.

Kadangkala ketika berkunjung ke rumah rakan taulan dan jiran tetangga, masyarakat masih lagi leka bersembang dalam media sosial dan mengemaskini status akaun sama ada di facebook, twitter dan instagram. Sedarlah, tindakan ini sedikit sebanyak mengganggu komunikasi di antara tuan rumah dan tetamu.

Dalam kesibukan kita kunjung mengunjung dan melayan tetamu sayugia juga diingatkan agar tidak melupakan tanggungjawab yang lebih utama iaitu menjaga solat.

Kesibukan ini kadangkala menyebabkan kita melengah-lengahkan solat sehingga solat di akhir waktu atau paling malang sekali, solat ketika waktu telah luput.

Pastikan juga seluruh ahli keluarga mengambil berat tentang pelaksanaan ibadah solat selain menyuburkan rasa cinta mengunjungi rumah-rumah Allah SWT. Ibn Mas’ud r.a. meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi:Abdullah ibn Masud r.a pernah bertanya kepada Nabi SAW “Apakah amalan yang paling Allah sukai?” Baginda menjawab, “Solat tepat pada waktunya.” Abdullah ibn Masud bertanya lagi, “Kemudian apa?” Baginda menjawab, “Melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa.” Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa?” Nabi menjawab, “Jihad kerana agama Allah.” (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah kita mengambil kesempatan pada bulan Syawal yang mulia ini untuk saling ziarah menziarahi bagi mengeratkan silaturrahim sesama kita.

Hubungan yang terjalin ini membolehkan kita berkongsi ilmu serta kebaikan, membina kesatuan kekeluargaan yang erat dan menjauhi keburukan seperti fitnah atau buruk sangka sesama manusia.

Terdapat tiga perkara yang dapat dirumuskan untuk menjadi panduan dan pedoman kita bersama-sama iaitu:

Pertama: Amalan ziarah merupakan satu amalan yang dituntut dalam Islam dalam memenuhi hak-hak sesama manusia.

Kedua: Kecanduan masyarakat terhadap media sosial perlu diatasi kerana ia boleh merencatkan objektif amalan ziarah.

Ketiga: Solat merupakan amalan ibadah yang wajib dipelihara dan ditunaikan walau sesibuk mana pun kita.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya(akan keadaan dan amalan kamu).
Tags: khutbah, ukhuwah, ziarah
Subscribe

Posts from This Journal “ukhuwah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments