mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Eidul Fitri : “Mensyukuri Eidul Fitri”

Petikan Khutbah Eidul Fitri 1 Syawal 1439H:JAIS

“Mensyukuri Eidul Fitri”

Pada hari ini, kita bergembira menyambut hari Raya Eidul Fitri setelah sebulan berpuasa. Semoga Allah SWT menerima segala ketaatan dan amal soleh yang telah kita lakukan. Ssama-samalah kita sebarkan dan luaskan ucapan yang mulia apabila bertemu rakan-rakan: َ  Semoga . م Allah menerima segala amal soleh daripada kita semua.
jais.jpg
Inilah ucapan yang disebut oleh nabi SAW. Diriwayatkan daripada Wathilah bin al-Asqo’  Radhiallahu Anhu dia berkata: “Aku telah bertemu Rasulullah SAW pada hari raya, lalu aku berkata: Semoga Allah terima amalan daripada kami dan kamu”. Nabi SAW menjawab: “Ya, semoga Allah menerima amalan daripada kami dan juga kamu.” (Riwayat al-Baihaqi).

Seluruh umat Islam pastinya bergembira pada hari yang mulia ini, saling mengucapkan tahniah dan berziarah sesama kita. Sejak semalam dengan terbenamnya matahari akhir Ramadhan, kita disunatkan bertakbir hari raya dan berakhir sebelum solat sunat Eidul Fitri tadi.

Seterusnya kita telah menjamah juadah sebelum ke masjid dan surau sebagai suatu amalan sunnah. Kemudian kita berangkat ke masjid dan surau dengan mengenakan pakaian yang paling elok dan cantik untuk menunaikan solat sunat Eidul Fitri serta mendengar khutbah ini.

Dan apabila pulang nanti sunat untuk kita melalui jalan yang lain daripada yang kita lalui sewaktu datang ke masjid dan surau di awal pagi tadi.

Sebuah hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, apabila berhari raya dia bergembira, dan apabila bertemu dengan Tuhan-Nya dia bergembira dengan puasanya”.

Tiada kegembiraan yang lebih besar daripada mendapat keredhaan Allah Azza wa Jalla. Tiada kejayaan yang lebih utama daripada kejayaan mentaati Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebab itulah kita bertakbir membesarkan Allah SWT ketika menyambut kejayaan dan hari kemenangan ini.

Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 185:“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

Selain kemenangan dan kejayaan mentaati perintah Allah SWT, kesyukuran dan kegembiran kita juga adalah kerana pengampunan Allah SWT terhadap dosa-dosa kita.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Lima solat fardhu, Jumaat hingga Jumaat berikutnya dan Ramadhan sehingga Ramadhan berikutnya adalah penghapus dosa di antara keduaduanya apabila meninggalkan dosa-dosa besar.” (Riwayat Muslim).

Dalam kegirangan dan kegembiraan Eidul Fitri, hiasilah hari kemenangan ini dengan ketaatan kepada Allah, sebagai tanda kesyukuran yang sebenar. Ketaqwaan dan keampunan Allah Azza wa Jalla yang telah diperolehi hendaklah dipertahankan dan dijaga dengan penuh rapi.

Kita mesti menjauhi segala maksiat dan dosa yang boleh merosakkan serta menghancurkan segala amal soleh yang telah dilakukan sepanjang sebulan Ramadhan.

Renungilah perumpamaan yang Allah SWT telah berikan menerusi Firman-Nya dalam surah al-Nahl ayat 92:“Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh.”

Oleh itu, elakkan daripada sebarang pembaziran ketika menghias rumah dan menghidang juadah yang pelbagai. Buang segala persengketaan, dendam dan khilaf ketika bertemu dan berinteraksi sesama muslim.

Jangan dedahkan aurat serta membiarkan pergaulan bebas tanpa batasan ketika berkunjung dan bertegur sapa sesama sanak saudara.

Dan jauhilah perbuatan yang menyakiti hati orang lain sama ada di jalan raya atau dalam komuniti kejiranan. Semua ini boleh merobek dan merosakkan binaan taqwa dan keampunan Allah SWT sepanjang bulan Ramadhan lalu.

Bulan Syawal juga adalah bulan silaturrahim. Ayuh kita syukuri Eidul Fitri dengan menghidupkan amalan ziarah-menziarahi sesama kita khususnya sanak saudara, rakan taulan dan sahabat handai. Hubungan yang telah terputus kerana kerjaya dan terpisah kerana jarak, perlu sambung semula di bulan yang mulia ini.

Termasuk dalam amalan ini ialah menziarahi kenalan dan rakan-rakan ibu dan ayah kita. Menziarahi mereka dikira sebagai berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita yang telah meninggal dunia.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhu bahawa nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya termasuk berbuat baik yang paling bagus adalah seorang anak yang menghubungkan silaturrahim dengan kenalan orang tuanya.” (Riwayat Muslim).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin mengingatkan hadirin sekalian dengan perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah mensyukuri Eidul Fitri sebagai nikmat daripada Allah SWT kepada hambanya yang beriman yang telah selesai melaksanakan kewajipan ibadah puasa.

2. Umat Islam hendaklah terus istiqamah melakukan ketaatan dan pada hari kemenangan dan kegembiraan di bulan Syawal, tanpa merosakkannya dengan maksiat dan dosa.

3. Umat Islam hendaklah saling ziarah-menziarahi, memaafkan dan melupakan segala persengketaan, untuk mempertahankan perpaduan ummah.

4. Umat Islam jangan lupa untuk menunaikan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal yang fadhilatnya amat besar disisi Allah SWT.

“Katakanlah (Wahai Muhammad) “kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)". (Surah Yunus : 58)
Tags: aidilfitri, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “aidilfitri” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments