mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Ramadhan Berlalu, Syawal Tiba, Kita Di Mana?”

Petikan Khutbah Jumaat 15 Jun 2018M / 01 Syawal 1439H: JAIS

“Ramadhan Berlalu, Syawal Tiba, Kita Di Mana?”

Hari ini kita sudah berada pada satu Syawal, bulan Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita, bahang berpuasa masih mempengaruhi seluruh jiwa raga orang yang beriman, itulah kesan bagi mereka yang benar-benar rindukan Ramadhan yang telah pergi.
jais.jpg
Bermula esok, kita disunatkan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal yang ganjaran pahalanya amat besar disisi Allah SWT.

Hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari Radhiallahu Anhu menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa sebulan Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka dia mendapat ganjaran pahala seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)

Hadis tersebut bermaksud, walaupun kita berpuasa hanya sebulan, tetapi jika kita tambah dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dengan kemurahan Allah SWT memberikan kita ganjaran seolah-olah kita berpuasa sepanjang tahun. Ini menunjukkan bahawa kita sentiasa dituntut untuk berada dalam zon ibadah dan amal soleh tanpa terputus.

Ramadhan yang berlalu merupakan madrasah dan pusat latihan bagi memupuk keimanan melalui tarbiah fizikal dan rohani. Secara zahirnya fizikal orang yang berpuasa adalah lebih baik dari keadaan fizikal orang yang perutnya sentiasa kenyang.

Rasulullah SAW sering memilih berpuasa atau mengosongkan perutnya untuk tujuan beribadah kepada Allah SWT. Ini kerana Baginda menyatakan bahawa perut yang kosong akan memudahkan untuk mengawal hawa nafsu.

Sesungguhnya kerosakan dan kebinasaan kepada kehidupan manusia di dunia ini banyak didorong oleh kebejatan hawa nafsu yang tidak terkawal.

Hal ini telah diterangkan oleh Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 53:“Dan tiadalah Aku berani membersihkan diriku; Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Sering berlaku apabila Ramadhan berlalu, maka masjid pun kembali sunyi, solat berjemaah di masjid kembali sepi, kitab al-Quran hanya tinggal tersusun rapi, silaturrahim dikalangan anak-anak kariah kembali renggang, fakir miskin dan anak-anak yatim tidak dipeduli dan disantuni lagi.

Kalau di bulan Ramadhan kita boleh berzikir, berwirid mencintai Allah dengan membaca al-Quran sampai khatam, maka kenapa kita tidak boleh membaca al-Quran dan mentadabburnya 5 minit sahaja dalam sehari?

Kalau di bulan Ramadhan kita boleh bangun bertahajjud sepertiga malam, maka kenapa kita tidak mampu bangun bertahajjud 2 rakaat di luar Ramadhan?

Kalau di bulan Ramadhan kita tidak putus-putus bersedekah, menderma dan memberikan makan kepada fakir miskin, tapi kenapa kita tidak boleh meneruskan amalan bersedekah kepada fakir miskin atau menderma pada bulan-bulan berikutnya?

Kalau di bulan Ramadhan kita penuhi surau dan masjid dengan solat berjemaah, mengapa di luar Ramadhan, kita mengabaikannya?

Sungguh banyak amalan baik yang telah anda lakukan sepanjang Ramadhan yang lalu. Maka teruskanlah mengamalkannya supaya keberadaan kita sepanjang tahun selepas Ramadhan sama seperti beradanya kita di bulan Ramadhan yang baru meninggalkan kita.

Mengakhiri khutbah kali ini, saya mengajak hadirin Jumaat semua untuk sama-sama mengutip beberapa taujihat yang boleh dihayati dan dijadikan amalan bersama:

1. Setiap orang yang beriman hendaklah mempercayai dan meyakini bahawa balasan Allah SWT ke atas perbuatan baik dan buruk seseorang itu adalah suatu yang benar.

2. Setiap orang yang beriman hendaklah merindui Ramadhan dengan meneruskan segala amalan yang baik seperti mengekalkan solat berjemaah, memperbanyakkan solat sunat, qiamullail, sedekah dan sentiasa membaca al-Quran dan mentadabburkannya.

3. Setiap orang yang beriman hendaklah memperbanyakkan ziarah menziarahi dan bermaaf-maafan untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan umat Islam.

4. Umat Islam hendaklah bersabar menghadapi ujian daripada Allah sepertimana sabarnya ketika berpuasa dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga serta tuntutan nafsu syahwat.

“(Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.” (al-Jathiyah : 15).
Tags: khutbah, ramadhan, syawal
Subscribe

Posts from This Journal “syawal” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments