mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Raya: “Kasih Sayang Pelengkap Kesejahteraan”

Petikan Khutbah Raya (1 Syawal 1439) JAKIM

“Kasih Sayang Pelengkap Kesejahteraan”

Bulan Ramadan telah berlalu pergi meninggalkan kita. Bulan yang telah memberi latihan kepada jiwa dan raga kita agar menjadi hamba-Nya yang bertaqwa. Bulan yang berjaya mengubah diri kita untuk lebih dekat dengan masjid, lebih rapat dengan al-Quran, lebih ringan untuk bersedekah, dan lebih menghargai nikmat-Nya.
jakim.jpg
Hakikatnya, kita perlu akui bahawa bulan Ramadan merupakan bulan yang membawa titik perubahan, dalam konteks hubungan baik kepada Allah dan kasih sayang sesama manusia.

Ramadan banyak mengajar kita tentang hidup bermasyarakat seperti membantu dan menyantuni fakir miskin, memberi makan kepada orang yang berpuasa, memenuhi kewajipan membayar zakat dan lain-lain lagi.

Semuanya itu mempunyai hubung kait dalam menjaga hubungan antara sesama manusia yang seterusnya akan melahirkan sifat kasih sayang dan kepedulian antara sesama masyarakat. Inilah antara keindahan Islam yang membawa rahmat kepada semua anggota masyarakat.

Sebagaimana dengan firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’ ayat 107:“Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Sesungguhnya manusia itu lahir ke dunia ini dengan adanya mawaddah dan rahmah iaitu cinta dan kasih sayang. Kita lahir ke dunia ini kerana wujudnya kasih sayang Allah yang bersifat Al-Rahman. Lahirnya kita ke dunia ini juga disambut dengan kasih sayang keluarga dan saudara-mara kita.

Perasaan kasih dan sayang ini merupakan fitrah yang diciptakan dalam diri setiap manusia iaitu manifestasi daripada sifat Allah SWT, al-Rahman, iaitu Yang Maha Pengasih.

Jika bukan atas sifat kasih sayang, seorang ibu tidak mungkin sanggup berkorban melahir dan membesarkan anak-anaknya, seorang bapa tidak mungkin akan berpenat lelah mencari rezeki untuk kelangsungan hidup keluarganya, seorang guru tidak akan bertungkus lumus mendidik pelajarnya dan seorang sahabat tidak akan bersusah payah menggembirakan sahabatnya.

Rasulullah SAW menerangkan perihal kasih sayang orang beriman dengan sabdanya:"Perumpamaan seseorang Mukmin sesama Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu badan. Apabila ada salah satu anggota badan yang menanggung kesakitan, maka seluruh badannya akan turut terjaga (tidak akan tidur) dan terasa panas (merasakan sakitnya)." (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Kasih sayang membentuk kehidupan masyarakat yang sejahtera. Daripada kasih sayang itu akan lahirlah sifat sabar, prihatin, bertolak ansur dan toleransi, lemah lembut, sopan santun, pemaaf dan banyak lagi sifat mahmudah dan nilai-nilai positif yang lain.

Atas sifat kasih dan sayang juga Islam mensyariat ibadah zakat, memuliakan ibu bapa, menyantuni anak-anak yatim dan sebagainya. Ia juga secara tidak langsung akan menghindarkan tercetusnya sifat-sifat mazmumah dalam hubungan sesama manusia dan mengelakkan daripada berlakunya konflik dalam masyarakat seterusnya mengekalkan keharmonian.

Sifat kasih sayanglah yang mendasari kepercayaan, kejujuran, empati, sokongan dalam sesuatu perhubungan sosial. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13:“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

Marilah kita bermaafan, melupakan sebarang persengketaan untuk kita bersatu dan berpadu. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, “Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum, sesungguhnya puasa ialah menahan diri dari perkataan dan perbuatan kotor, maka jika ada seseorang yang menghina atau berbuat jahil kepadamu, katakanlah, sesungguhnya aku sedang berpuasa, sesungguhnya aku sedang berpuasa” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan al-Hakim)

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mempromosi Islam sebagai agama kedamaian dan membenci kezaliman. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 8:“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin menekankan beberapa intipati penting yang perlu menjadi perhatian kepada saudara-saudari sekalian, antaranya:

Pertama: ‘Idul fitri merupakan titik tolak kepada perubahan untuk seluruh umat Islam memperbaiki hubungan antara sesama insan.

Kedua: Kepelbagaian bangsa dan keturunan tidak menghalang sesebuah masyarakat untuk menjalinkan silaturrahim ke arah
kesejahteraan dan keharmonian hidup.

Ketiga: Umat Islam bertanggungjawab mempromosi agama Islam sebagai agama kesejahteraan, perdamaian, toleran dan penuh kasih sayang.

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah ali Imran ayat 103)
Tags: kasih, kesejahteraan, khutbah, sayang
Subscribe

Posts from This Journal “kesejahteraan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments