mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Mensyukuri Nikmat Usia”

Petikan Khutbah Jumaat 22 Jun 2018M / 08 Syawal 1439H: JAIS

"Mensyukuri Nikmat Usia”.

Setiap manusia akan menempuhi usia tua. Ia merupakan sebahagian yang telah ditentukan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Nahl, ayat 70:“Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian ia menyempurnakan tempoh umur jais.jpgkamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini amatlah singkat berbanding kehidupan yang abadi di akhirat, maka sudah pasti kita perlu menyusun langkah supaya dapat memanfaatkan setiap saat kehidupan kita dengan melakukan sebanyak-banyaknya amal soleh untuk mencapai keredhaan Allah.

Oleh itu, apabila manusia berada di ambang usia emas, seharusnya bukan hanya memikirkan aspek kesihatan, bahkan lebih penting daripada itu adalah memastikan bahawa tujuan kehidupan kita di dunia ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya telah tercapai.

Hal ini bertepatan dengan firman-Nya dalam surah al-Zariyat ayat 51:“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

Berdasarkan kepada kajian Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia pada tahun 2017, jangka hayat penduduk Malaysia didapati semakin meningkat. Usia kaum lelaki meningkat kepada 72.7 tahun, manakala usia kaum wanita meningkat kepada 77.4 tahun. Jika perkara ini berterusan, maka adalah dijangkakan menjelang 2035, kira-kira 15 peratus rakyat Malaysia dijangka terdiri daripada warga tua berusia 60 tahun ke atas.

Walaubagaimanapun, ajal yang datang tidak mengenal usia. Hal ini dirakamkan dalam firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 49: “…maka apabila datang tempohnya, tidaklah dapat mereka melambatkannya sesaatpun, dan tidak pula dapat mereka menyegerakannya.”

Umat Islam perlu sedar bahawa setiap ajal yang datang tidak boleh dipercepatkan atau diperlambatkan walau dengan hanya satu saat. Oleh itu, umat manusia perlu sentiasa bersedia akan bekalan yang bakal dibawa ke alam akhirat yang menjadi destinasi semua umat.

Para remaja harus menyedari bahawa tua bukannya syarat untuk mati, malah kita sering dikejutkan dengan berita-berita kematian yang menimpa golongan belia.

Sedangkan diusia yang muda pun Allah boleh mematikan seseorang manusia, apatah lagi bagi yang sudah bergelar warga emas atau orang tua. Maka sudah semestinya kita perlu mempersiapkan segala kelengkapan agar kita kembali kepada Allah dalam keadaan kita bersedia dan Allah redha keatas kita

Kita sedia maklum bahawasanya tahap kesihatan bagi orang tua akan merosot dan kurangnya kekuatan untuk melakukan sesuatu perkara.

Maka anak-anaklah yang sepatutnya membantu dengan sedaya upaya ibu bapa mereka sebagai membalas budi baik kedua-dua orang tua yang telah berjaya membesarkan mereka sehingga mampu menikmati kehidupan di dunia ini.

Seorang muslim yang baik mestilah mensyukuri segala kurniaan nikmat dan rahmat Allah SWT dengan tidak bersikap sombong dan bongkak.

Malah kita haruslah merebut segala nikmat tersebut dengan melaksanakan segala amalan kebaikan dan sedekah jariyah, selari dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma:“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa muda kamu sebelum datang masa tua. Kedua,masa sihat kamu sebelum sakit. Ketiga, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Keempat, masa lapang sebelum tiba masa sibuk, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim).

Sebagai kesimpulan khutbah jumaat pada kali ini, mimbar ingin mengajak Jemaah sekalian untuk bersama-sama mengambil beberapa pengajaran daripada intipati khutbah yang disampaikan sebentar tadi.

1. Umat Islam haruslah bersyukur atas nikmat umur yang panjang supaya kita boleh meningkatkan amalan soleh seharian kita.

2. Umat Islam perlulah sedar bahawa tanggungjawab yang dipikul harus dilaksanakan dengan baik kerana tanggungjawab itulah yang akan dihisab dihadapan Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah berlumba-lumba dalam melakukan amalan soleh sebelum roh ditarik keluar dari jasad.

“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.” (al-Nisa : 124).
Tags: khutbah, syukur, usia
Subscribe

Posts from This Journal “usia” Tag

  • Khutbah Jumaat Muhasabah Untuk Keberkatan Usia

    Petikan Khutbah Jumaat (27 Disember 2019M / 30 Rabiulakhir 1441 H) JAWI Muhasabah Untuk Keberkatan Usia Adakah kita sedar sebenarnya usia kita ini…

  • Kawal usia muda

    LIMA pertanyaan Allah terhadap hamba-Nya berhubung nikmat yang diberikan iaitu tentang umur dihabiskan, bagaimana masa muda digunakan, dari mana…

  • Memanfaatkan usia persaraan

    SEBAIK sahaja umur mencecah usia persaraan, rutin harian sudah tentu akan turut berubah. Apa yang pasti, ia tidak lagi berkisar tentang pekerjaan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments