mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Amalan Sedekah Membawa Barakah”.

Petikan Khutbah Jumaat 06 Julai 2018M / 22 Syawal 1439H: JAIS

“Amalan Sedekah Membawa Barakah”.

Amalan bersedekah merupakan satu amalan yang amat digalakkan di dalam Islam. Kerana bersedekah itu adalah lambang kesyukuran kita kepada Allah SWT serta sebagai cara mengukuhkan hubungan antara hamba dengan Allah SWT dan di antara hamba sesama hamba sebagaimana jais.jpgdisebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 254 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Seorang muslim yang bersedekah bererti dia membuktikan kejujurannya dalam beragama. Kerana itulah Rasulullah SAW menyebut sedekah sebagai ‘burhan’ (bukti) sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Malik Al-Harith bin Asim Al-Asyaari (Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bersuci itu sebahagian daripada Iman, (menyebut) Alhamdulillah memenuhi timbangan, Subhanallah dan Alhamdulillah memenuhi ruang antara langit dan bumi, solat itu cahaya, sedekah itu bukti.” (Riwayat Muslim)

Bersedekah tidak dapat dipisahkan daripada amalan kita, baik pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, kerabat keluarga, mahupun untuk kepentingan pada jalan Allah.

Firman Allah SWT dalam surah alBaqarah ayat 215:“Mereka bertanya tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: “Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan”. Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.”

Sesungguhnya amalan bersedekah perlu dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT, bukan untuk mendapatkan nama dan balasan. Tidak boleh mengungkit apatah lagi menunjuk-nunjuk, merungut dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah.

Selain itu juga Islam mengajar umatnya agar memastikan barang yang disedekahkan itu dalam keadaan baik, dan elok untuk digunakan, bersedekah daripada sumber yang halal bahkan yang disukai lagi disayangi.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 92:“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Sesungguhnya sedekah yang diberikan secara sembunyi adalah lebih afdhal, ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Ia juga dapat memadamkan kesalahan dan dosa orang yang bersedekah. Perbuatan ini dapat mendekatkan diri kepada keikhlasan dan menjauhkan daripada sifat riak kerana sifat ini boleh merosakkan amalan sedekah yang telah ia lakukan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 271: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orangorang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”


Sesungguhnya amalan bersedekah juga tidak mengurangkan harta, sebaliknya menambah harta dan menjauhkan kefakiran, kekurangan dan juga kesempitan hidup.

Rasulullah SAW telah memberi jaminan bahawa amalan sedekah tidak akan sama sekali mengurangkan harta. Abu Hurairah Radhiallahu Anhu meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, bahawa baginda SAW bersabda:“Sedekah tidak akan mengurangi harta”. (Riwayat Muslim).

Apa sahaja harta yang dibelanjakan nescaya akan dilipat gandakan dan pasti diganti. Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Tidak berlalu waktu pagi melainkan turun dua malaikat dan berdoa. Malaikat pertama memohon kepada Allah, „Ya Allah, berikanlah gantian bagi orang yang memberi sedekah‟, dan malaikat kedua pula berdoa, „Ya Allah, berikan kehancuran bagi orang yang kedekut.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin mengajak sidang jemaah sekalian agar menghayati perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa bersedekah adalah perintah Allah SWT yang dijanjikan ganjaran yang besar dan sebagai bukti keimanan kepada-Nya.

2. Umat Islam hendaklah memperbanyakkan sedekah dan membelanjakan harta pada jalan Allah dengan penuh keikhlasan.

3. Umat Islam hendaklah menjauhi sikap bakhil dan kedekut serta tidak mengungkit-ungkit sedekah yang dikeluarkan.

4. Umat Islam hendaklah membudayakan amalan bersedekah sebelum tibanya ajal kematian yang datang secara mengejut.


“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepada-Nya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ". (al-Munaafiqun : 10)
Tags: barakah, khutbah, sedekah
Subscribe

Posts from This Journal “sedekah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments