mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Tanggungjawab Kepimpinan

Petikan Khutbah Jumaat: (6 Julai 2018 / 22 Syawal 1439) JAKIM

Tanggungjawab Kepimpinan

Kepimpinan merupakan satu tuntutan utama dalam ajaran Islam yang perlu diberikan perhatian oleh setiap umat Islam. Agama Islam secara umumnya memberikan penekanan utama terhadap persoalan kepimpinan kerana tanpa adanya elemen kepimpinan, urusan jakim.jpgpentadbiran individu, masyarakat dan Negara tidak dapat dijalankan dengan baik dan sempurna.

Kepimpinan adalah isu yang besar dan serius, kerana kepimpinan yang baik akan membawa kemakmuran dan keamanan kepada Negara, manakala kepimpinan yang buruk dan zalim akan membawa porak-peranda kepada Negara.

Kepentingan kepimpinan ini juga terbukti apabila Rasulullah SAW mengesyorkan agar dilantik seorang pemimpin ketika bermusafir walaupun dalam kumpulan yang kecil. Rasulullah SAW turut menggambarkan bahawa semua individu Muslim itu dianggap sebagai khalifah atau pemimpin dan dipertanggungjawabkan terhadap mereka yang berada di bawah kepimpinannya.

Sabda Baginda SAW: “Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpin.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan pengertian hadis tersebut kedudukan kepimpinan dalam Islam bermula daripada memimpin diri sendiri dan seterusnya meningkat kepada tanggungjawab terhadap kepimpinan dalam keluarga, masyarakat dan Negara.

Kepimpinan perlu ditunaikan dengan penuh tanggungjawab, adil dan amanah kepada setiap golongan yang dipimpin. Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 58: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat

Bagi merealisasikan tanggungjawab kepimpinan ini maka para ulama telah menetapkan beberapa syarat dalam menentukan kelayakan seseorang pemimpin, antaranya ialah keupayaan jasmani, pengetahuan undang-undang, kelayakan ilmu, adil dan menguasai ilmu siasah, peperangan dan pentadbiran.

Menurut al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam alSultaniyyah bahawa: Seorang pemimpin itu hendaklah mempunyai pemikiran yang tajam untuk menjaga siasah umat, pentadbiran yang menjamin kemaslahatan, berani, berupaya mempertahankan negara dan berjihad menentang musuh.

Islam telah menggariskan ciri-ciri kepimpinan yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah 'al-Qawiyul Amin' seperti mana firman Allah dalam surah al-Qasas, ayat 26:“Sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”

Kuat bermaksud mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk mentadbir dari sudut fizikal dan kesihatannya, kemampuan berfikir dan menyelesaikan permasalahan, mempunyai daya kreativiti yang tinggi, mempunyai kebijaksanaan dan kemampuan melaksanakan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Manakala amanah pula bermaksud seorang yang boleh dipercayai, tidak mengambil kesempatan dengan kedudukan diperoleh untuk kepentingan peribadi serta menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin, jujur dalam kata-kata dan tidak memungkiri janji.

Dalam bahasa yang mudah, kalimah ‘qawiy’ merujuk kepada nilai kompetensi sedangkan amanah difahami sebagai nilai integriti. Selain dari kuat dan amanah, seorang pemimpin yang baik adalah mereka yang memiliki ciri-ciri keislaman dan ketakwaan.

Rasulullah SAW pernah menolak permintaan Abu Dzar al-Ghifari yang menawarkan diri untuk menyandang satu jawatan menerusi sabdanya yang berbunyi:"Wahai Abu Dzar, anda seorang yang lemah, sedangkan tugas ini satu amanah, ia menyusahkan dan menjadi satu penyesalan pada hari kiamat nanti, kecuali bagi orang yang mengambilnya secara hak dan menunaikan tanggungjawab yang terpikul di bahunya". (Riwayat Imam Muslim)

Negara hari ini menyaksikan pembentukan kepimpinan barisan kabinet baharu Kerajaan Persekutuan yang akan menentukan arah tadbir demi keamanan dan pembangunan Negara serta kesejahteraan rakyat.

Justeru sebagai rakyat, kita wajib mentaati pemimpin yang adil sebagaimana disepakati majoriti ulama tafsir dan fuqaha. Perintah taat kepada pemerintah bukan datang dari pemerintah tetapi datangnya dari Allah SWT:

Firman Allah SWT di dalam Surah an-Nisa’ ayat 59,“Wahai orang-orang yang beriman, ta’atlah kamu kepada Allah dan ta’atlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Uli’l-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Berdasarkan ayat ini Imam Nawawi menjelaskan bahawa rakyat wajib taat kepada pemerintah dan negara. Jika mereka cuai dan tidak bertanggungjawab, maka mereka tidak beradab di sisi Allah SWT. Inilah tugas rakyat yang paling asas terhadap pemimpin seperti yang di firmankan Allah SWT melalui ayat tersebut.

Selain itu, hubungan antara umara’ dan ulama sememangnya tidak wajar dipisahkan. Bahkan umara’ perlu menjadikan ulama sebagai rujukan dalam menjalankan sistem pemerintahan atau melantik ulama iaitu para cendekiawan muslim, lebihlebih lagi dalam urusan berkaitan hal ehwal agama Islam. Banyak hal dalam pentadbiran Negara yang memerlukan kepada pandangan dan ijtihad ulama.

Di sinilah pentingnya hubungan akrab antara dua institusi ini. Sebagaimana digambarkan melalui sabda Rasulullah SAW:“Ada dua golongan di antara umat manusia yang apabila keduanya baik maka akan baiklah seluruh manusia (masyarakat), dan apabila kedua golongan itu rosak maka rosaklah seluruh manusia (masyarakat), iaitulah ulama dan umara.” (Riwayat Abu Nu’im dan Ibn Abdul Bar)

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah berkenaan Tanggungjawab Kepimpinan sebagai pedoman dalam kehidupan kita, antaranya:

Pertama: Islam memberikan penekanan utama terhadap persoalan kepimpinan bagi mengurus tadbir individu, masyarakat dan Negara dengan sempurna.

Kedua: Kepimpinan perlu ditunaikan dengan penuh tanggungjawab, adil dan amanah kepada setiap golongan yang dipimpin.

Ketiga: Rakyat wajib patuh dan taat kepada kepimpinan yang adil dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

"Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar; dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu." (Surah Sad: 26)
Tags: kepimpinan, khutbah, pemimpin, tanggungjawab
Subscribe

Posts from This Journal “tanggungjawab” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments