mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Persiapan Menjadi Tetamu Allah”

Petikan Khutbah Jumaat 13 Julai 2018M / 29 Syawal 1439H:JAIS

 “Persiapan Menjadi Tetamu Allah”

Perjalanan haji bukanlah perjalanan biasa. Ia adalah perjalanan memenuhi undangan Allah untuk mengunjungi Baitullah. Kerana itulah, ungkapan yang sentiasa diulang-ulang oleh Jemaah haji adalah: “Aku menyahut panggilan-Mu, Aku menyahut panggilan-Mu, Aku jais.jpgmenyahut panggilan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu. Sesungguhnya segala pujian, kenikmatan dan kerajaan adalah milik-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu”

Bagi menyempurnakan ibadah yang agung ini, kita perlulah menyediakan segala keperluan yang diperlukan, antaranya:

Pertama: Persiapan ilmu. Seorang bakal haji hendaklah sentiasa belajar dan mengulangkaji cara dan kaedah melaksanakan ibadah ini serta hal-hal yang berkaitan dengannya meliputi rukun-rukun haji, wajib haji dan syarat-syaratnya serta larangan-larangan ketika ihram, begitu juga memahami cara melakukan solat jamak dan qasar ketika bermusafir. Jangan pergi dalam keadaan jahil dengan menganggap ia mudah. Jangan berfikir untuk meniru orang lain sahaja dalam melaksanakan ibadah ini kerana ia melibatkan pelbagai kaedah yang berbeza antara kita dengan orang lain. Walaupun tinggal di penempatan yang sama, jamaah haji mungkin mengerjakan haji yang berbeza sama ada haji Ifrad, Tamattu’ atau Qiran

Kedua: Persiapan harta untuk perbelanjaan di tanah haram, tambang perjalanan yang mencukupi untuk pergi dan balik, serta bekalan untuk perbelanjaan harian ahli keluarga dan tanggungannya sepanjang tempoh sepeninggalannya mengerjakan haji di tanah suci.

Ketiga: Penjagaan kesihatan dan persiapan fizikal. Selain dari harta, ibadah haji juga melibatkan aktiviti fizikal yang banyak seperti tawaf, sa’i, melontar jamrah. Oleh itu, Penjagaan kesihatan sangat perlu. Ada baiknya sebelum berangkat, bakal haji melatih dirinya dengan aktiviti berjalan kaki agar tubuhnya tidak terkejut dengan aktiviti fizikal di sana.

Keempat: Persiapan rohani dan jiwa. Inilah persiapan paling utama kerana perjalanan jauh menunaikan haji adalah untuk beribadah kepada Allah dengan mengikhlaskan niat berbekalkan taqwa kepada Allah.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 197: “…dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu adalah takwa dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal.”

Jemaah haji juga hendaklah bertaubat dari segala dosa yang pernah dilakukannya. Ada baiknya bakal haji hendaklah mendapatkan kemaafan daripada rakan dan taulannya sebelum berangkat ke tanah suci Makkah.

Sabda Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu Anhu: “Sesiapa yang mengerjakan haji dalam keadaan dia tidak menggauli isterinya dan tidak melakukan maksiat, maka dia kembali seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya (tiada lagi dosa padanya)”. (Riwayat al-Bukhari).

Para tetamu Allah juga hendaklah membiasakan diri dengan ibadahibadah sunat seperti qiamullail dan memperbanyakkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran selain daripada ibadah wajib yang semestinya dilaksanakan.

Para tetamu Allah juga perlu meningkatkan sifat sabar kerana perjalanan ibadah hajinya nanti akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan, sama ada fizikal mahupun mental.

Bagi yang belum dipanggil dan mendapat giliran mengerjakan haji, eloklah juga membuat persiapan dan persediaan awal. Ini termasuklah mencukupkan simpanan untuk mengerjakan haji.

Hadis daripada Ali Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang mempunyai kemampuan (harta) dan kenderaan yang boleh digunakannya untuk melaksanakan ibadat haji ke Baitullah tapi dia tidak melaksanakannya, maka jangan menyesal kalau dia mati dalam keadaan Yahudi atau Nasrani.” (Riwayat at-Tirmizi).

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sma kita hayati beberapa perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa ibadah haji adalah rukun Islam yang wajib ditunaikan sebagai memenuhi tuntutan akidah Islam yang kita anuti.

2. Umat Islam hendaklah berazam dan berniat untuk menunaikan ibadah fardhu haji supaya kematiannya kelak dalam keadaan telah berazam atau telah menyempurnakan rukun Islam.

3. Umat Islam hendaklah melengkapkan ilmu semua ibadah yang dilakukan supaya ibadah yang dilakukan itu bertepatan dengan syariat Allah SWT.

4. Umat Islam hendaklah menghayati falsafah haji yang merupakan perhimpunan tahunan terbesar umat Islam sebagai lambang dan wadah perpaduan dan penyatuan ummah yang berpaksikan kesatuan akidah dan ibadah kepada Allah Yang Maha Esa.

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (al-Hajj : 27)
Tags: haji, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “haji” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments