mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Peliharalah Hak Asasi Kanak-Kanak ”

Petikan Khutbah Jumaat: 20 Julai 2018 / 7 Zulkaedah 1439H JAKIM

“Peliharalah Hak Asasi Kanak-Kanak ”

Kanak-kanak merupakan amanah dan anugerah yang diberikan Allah kepada Hamba-Nya. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan hak dan kebajikan mereka sentiasa terjaga. Mereka adalah bakal pewaris kepimpinan yang akan membentuk
jakim.jpgsesebuah negara dan membangunkan syiar Islam pada masa hadapan.

Secara umumnya, di dalam Islam kanak-kanak adalah merujuk kepada seseorang yang belum baligh. Ia ditentukan dengan faktor tabii atau had umur. Namun dalam konteks Malaysia, kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001 dan takrifan ini turut digunakan di peringkat antarabangsa. Walau apa jua takrifan yang digunakan, perlindungan dan perkembangan seseorang kanakkanak adalah bergantung kepada orang dewasa.

Firman Allah dalam surah al-Syu’ara’, ayat 132 hingga 135:“Dan bertaqwalah kepada (Allah ) yang telah menganugerahkan kepada kamu apa yang kamu ketahui. Dia telah menganugerahkan kepada kamu binatang-binatang ternakan, anak-anak, kebun-kebun, dan mata air. Sesungguhnya aku (Nabi Hud) takut kalian akan ditimpa azab hari yang besar”.

Ayat tersebut mengisyaratkan bahawa segala anugerah Allah kepada kita berupa ilmu pengetahuan, haiwan ternakan, ladang pertanian, mata air dan lain-lain termasuklah kanak-kanak adalah merupakan ujian kepada kita.

Abdullah bin ‘Amr meriwayatkan bahawa Nabi pernah bersabda:“Orang-yang tidak bersikap belas kasihan terhadap kana-kanak dan tidak tahu (menunaikan) hak orang-orang tua, maka dia bukan daripada kalangan kami”. (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad)

Semua pihak harus menyedari dan memainkan peranan bagi memastikan kanak-kanak sentiasa terjaga dan terlindung daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, diskriminasi dan eksploitasi yang akan menjejaskan proses tumbesaran mereka.

Kanak-kanak juga mempunya hak yang sama dengan golongan dewasa yang perlu dihormati seperti hak kerahsiaan peribadi, tidak dimalukan di khalayak, dan tidak didera secara fizikal, mental juga emosi. Lebih penting lagi kanak-kanak mempunyai hak untuk disayangi dan dimanja.

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: Bermaksud: “Muliakanlah anak-anak kamu dan perbaikilah (didikan) adab mereka”. (Riwayat Ibnu Majah)

Islam melarang keras seseorang daripada mencederakan orang lain tanpa sebarang alasan terutamanya kanak-kanak. Kanak-kanak diibaratkan seperti sehelai kain putih dan adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga untuk mencorakkannya.

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab utama bagi memberi pendidikan dan memastikan perkembangan seseorang kanak-kanak, Nabi SAW bersabda:“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (Islam). Kemudian kedua ibu bapanyalah yang akan menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani, atau Majusi”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Pendidikan merupakan aspek yang amat penting dalam membentuk personaliti, bakat, kebolehan mental dan fizikal kanak-kanak baik secara formal di sekolah atau institusi pendidikan mahupun secara tidak formal di rumah dan persekitaran setempat.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Kanak-kanak adalah anugerah Allah sebagai zuriat dan penyambung keturunan kita.

Kedua: Kanak-kanak berhak mendapat kasih sayang, penjagaan, pendidikan, keselamatan seperti mana golongan dewasa.

Ketiga: Ibu bapa dan masyarakat turut memainkan peranan yang besar dalam membela dan melindungi kanak-kanak.

“Dan orang-orang yang beriman serta anak cucu mereka yang menuruti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan mereka dengan zuriat mereka, dan kami tidak mengurangkan sedikitpun (pahala) daripada amalan mereka. Setiap individu terikat dengan apa yang dikerjakannya”. (Surah A-Tur, ayat 21)
Tags: kanak-kanak, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “kanak-kanak” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments