mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Mempertahankan Negara Tuntutan Agama”

Petikan  Khutbah Jumaat 27 Julai 2018M / 14 Zulkaedah 1439H: JAIS

“Mempertahankan Negara Tuntutan Agama”.

Sesungguhnya keamanan dan keharmonian sesebuah Negara tidak datang secara percuma, tetapi adalah hasil daripada titik peluh dan titisan darah para pejuang silam yang dikenali sebagai pahlawan.

jais.jpgHari Pahlawan yang disambut setiap tahun cukup memberi pengertian kepada kita sebagai individu yang cintakan keamanan. Pahlawan Negara yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan Negara adalah yang amat dihargai dan dikenang jasa mereka.

Tidak ketinggalan juga tokoh-tokoh pejuang bangsa yang meniupkan semangat keperwiraan menentang penjajah di tanah air kita seperti Dato’ Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau, Leftenan Adnan dan lain-lain yang sukar dilupakan.

Pengorbanan seseorang pahlawan amat disanjung tinggi lebih-lebih lagi hayat mereka berakhir dengan mati syahid. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 154: “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”

Dalam memelihara keamanan Negara, kita dikehendaki sentiasa bersiap sedia menghadapi musuh sesuai dengan kemampuan yang dimiliki sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 60: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya.”

Menurut tafsir al-Maraghiy, Allah SWT memerintahkan kepada orangorang yang beriman untuk membuat persiapan perang bagi menghindarkan serangan musuh. Persiapan itu dapat dilakukan dalam dua situasi:

Pertama: Menyediakan segala jenis kekuatan yang diperlukan sesuai dengan zaman dan tempat seperti membuat senjata, pesawat perang, bom, kereta kebal, kapal selam dan sebagainya. Demikian juga mempelajari berbagai bidang kepakaran dan membina alat kelengkapan yang diperlukan.

Kedua: Menempatkan pasukan pertahanan di pelabuhan dan di perbatasan kerana ia merupakan pintu masuk musuh yang paling strategik terhadap Negara. Hikmahnya supaya umat manusia mempunyai pasukan tentera yang sentiasa melindungi mereka apabila datangnya serangan dari pihak musuh secara tiba-tiba.

Sejarah menunjukkan bahawa kegigihan tentera Islam sejak zaman kegemilangannya hinggalah semasa Kerajaan Uthmaniah di Turki amat mengagumkan.

Kehebatan Sultan Muhammad al-Fateh dan tenteranya wajar dicontohi. Hadis daripada Abdullah bin Basyir Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Akan dibuka Kota Konstantinople. Sebaik-baik raja, adalah rajanya. Sebaik-baik tentera, adalah tentera itu”

Sifat-sifat mereka sebagai pahlawan yang kuat imannya, tawaduk, bijaksana dan berani membolehkan mereka memimpin tentera Islam hingga mampu menawan kota Konstantinople daripada Kerajaan Rom.

Kemenangannya itu membuka laluan penyebaran Islam ke Eropah. Antara kata-kata beliau kepada tenteranya pada hari ke-53 kepungan dilakukan, “Wahai tenteraku! Aku bersedia untk mati di jalan Allah, sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku”.

Antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan tentera Islam dalam peperangan tersebut adalah berkait rapat dengan keimanan kepada Allah, sifat jati diri, kesetiaan kepada ketua dan pengorbanan kepada agama, masyarakat dan tanah air secara menyeluruh.

Menurut Dr. yusuf al-Qaradawi dalam bukunya al-Iman Wal-Hayah bahawa tonggak kekuatan orang beriman antaranya bergantung kepada Allah Taala dan yakin bahawa Allah bersama dengannya dimana-mana sahaja. Dia berperang bukan kerana dorongan nafsu, bukan kerana kepentingan peribadi, bukan juga kerana hendak menganiaya dan melanggar hak orang lain. Begitu juga mereka tidak gentar kepada musuh, sebaliknya bertambah kuat ketika melihat ramainya musuh yang bakal dihadapi, sebagaimana berlaku dalam peperangan Ahzab pada tahun kelima hijrah.

Bagi mengakhiri khutbah ini, marilah kita bersama-sama menghayati beberapa saranan berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa mempertahankan kedaulatan Negara adalah tuntutatn agama yang bakal meraih ganjaran pahala yang besar di akhirat kelak.

2. Pahlawan Negara hendaklah mempersiapkan diri dengan iman yang mantap, cintakan Negara berasaskan prinsip-prinsip sebagai pejuang di jalan Allah.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa bersatu padu memperkukuhkan persaudaraan yang sejati untuk meninggikan syiar Islam dan mempertahankan agama, bangsa dan Negara.

4. Umat Islam hendaklah mendoakan pahlawan Negara yang telah menghadap ilahi agar roh mereka mendapat rahmat dan keampunan. Bagi yang masih gagah mengibarkan panji-panji perjuangan kita doakan mereka sentiasa istiqamah mempertahankan setiap inci tanah air kita.

“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.” (al-Ahzab: 9)
Tags: agama, khutbah, negara
Subscribe

Posts from This Journal “negara” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments