mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Khas : Pahlawan jasamu sentiasa di hatiku

Petikan Khutbah Jumaat Khas Pahlawan:  27 Julai 2018/14 Zulkaedah 1439 JAKIM

Pahlawan jasamu sentiasa di hatiku

Keamanan ini tidak datang sendiri melainkan melalui perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan. Mereka mengorbankan tenaga, jiwa dan raga berjuang serta berjihad mempertahankan kedaulatan negara daripada terus diceroboh, diganggu serta dijajah.

jakim.jpgNamun apa yang penting mereka telah melakukan satu tindakan yang amat selari dengan tuntutan Islam iaitu mempertahankan hak dan kebenaran. Mereka tidak rela negara yang kita sayangi ini dijajah dan kita diperhambakan.

Mereka mahu menjadi bangsa berwawasan, merdeka, berdikari dan bebas untuk melaksanakan tuntutan Ilahi dengan aman.

Kita sangat berterima kasih kepada para pahlawan dan pejuang negara. bagi mereka yang beragama Islam dan telah kembali menemui Allah , kita doakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan para syuhada’ dan orang-orang soleh serta mendapat ganjaran yang baik daripada Allah . kepada mereka yang masih hidup, kita sanjungi, hargai dan teladani keberanian dan kehebatan mereka.

Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah “Maukah Aku ceritakan kepada kamu tentang satu malam yang lebih utama daripada malam al-Qadar? Iaitu malam yang dilalui oleh seseorang yang berkawal di suatu tempat yang menakutkan (kerana menjaga keamanan), yang mungkin (jika berlaku sesuatu tidak baik) dia tidak dapat kembali lagi kepada keluarganya.” (Riwayat Hakim dan Baihaqi)

Untuk itu, pada 30 Julai setiap tahun, masyarakat Malaysia akan samasama mengingati dan mengenang segala jasa pahlawan negara melalui satu majlis rasmi iaitu sambutan Hari Pahlawan.

Hari ini, dalam suasana keamanan dan kemakmuran yang telah dikecapi hasil perjuangan dan pengorbanan para pahlawan negara khasnya, serta hasil tersebar luas ajaran agama Islam amnya, masyarakat Malaysia telah menempuh kehidupan yang harmoni dan tenteram

Perkara yang dimaksudkan ialah serangan penggunaan alatan gajet yang boleh membawa kesan negatif dalam masyarakat antaranya boleh melahirkan suasana dalam masyarakat yang sering mengadu-domba, fitnah memfitnah, menyampaikan maklumat yang tidak tepat, hina menghina, kutuk mengutuk dan seumpamanya

Rasulullah melalui sabda baginda yang berbunyi: "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu. Sahabat bertanya: "apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: "penyakit umat-umat terdahulu ialah terlalu banyak berfoya-foya, terlalu mewah, menghimpun harta sebanyak mungkin, tipu-menipu dalam merebut harta benda dunia, saling memarahi dan hasut-menghasut sehingga menjadi zalim". (Riwayat al-Hakim)

Jika berterusan berlaku dalam masyarakat suasana yang celaru akhlaknya, serong tatasusilanya dan rendah nilai budinya serta menyimpang dari landasan syarak, bagaimana mungkin akan muncul para pahlawan dan pejuang kebenaran yang akan tampil dengan semangat kepahlawanan tulen dan unggul.

Justeru, langkah perlu dilaksanakan untuk melahirkan generasi berciri pahlawan yang mempunyai daya juang, integriti, amanah, sabar, kental dan terus mampu mencurah bakti bagi membanteras segala bentuk kemungkaran dan kerosakan yang berlaku.

Maka sudah tentu sebagai jawapannya, setiap individu dari kita perlu menghayati dan mengamalkan segala nilai berteraskan Islam yang telah terbukti mampu mewujudkan kebahagiaan dan keharmonian sejagat.

Sebagai seorang yang beragama Islam, kita hendaklah menjadikan aqidah sebagai tonggak ke arah melahirkan individu muslim yang mampu menjadi pahlawan dan pejuang kebenaran.

Pengakuan syahadah yang kita ucapkan itu sepatutnya benar-benar memerdekakan kita daripada segala bentuk maksiat dan perlakuan yang bertentangan dengan syariat Islam. hal ini penting ditonjolkan kerana sinar cahaya keberanian dan kepahlawanan para pejuang negara terdahulu sememangnya telah dinyalakan oleh obor Islam. Melaluinya semangat jihad telah berjaya disuntik

Kita perlu meletakkan agama Islam sebagai sumber yang boleh mendorong umat Islam menghayati erti perjuangan dan seterusnya menjadi seorang pahlawan.

Bermula dengan diri sendiri, berjuang melawan hawa nafsu yang sentiasa mendorong ke arah melakukan kemurkaan terhadap Allah . Kemudian berjuang memandu ahli keluarga menghidupkan amal-amal Islami dalam kehidupan seharian.

Lebih dari itu, berjuang dalam mengajak masyarakat agar sentiasa bergerak di atas landasan syariat yang benar dan berpaksikan ketauhidan kepada Allah selaras dengan firman-Nya dalam surah Al ‘Imran ayat 104: “dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”

Contohilah ketegasan Saidina Ja’afar bin Abi Talib dan rombongannya ketika berjumpa dengan Najjasyi apabila beliau mengungkapkan, “kami tidak akan menyembah selain Allah”.

Contoh lain ialah Rabi’ ibn ‘Amir, yang berkata dengan tegas kepada panglima Rustum daripada Parsi, “kami adalah pembawa misi Ilahi untuk membebaskan manusia daripada pengabdian sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada Allah semata mata, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat,”.

Begitu juga Bilal ibn Rabah yang walaupun ditindih dengan batu besar di atas tubuhnya, tetapi dengan keberanian, ketabahan dan kepahlawanan sehingga mampu menyatakan kalimah tauhid, “ahad! ahad! ahad!” iaitu Allah yang Esa.

Sesungguhnya ketiga-tiga pahlawan Islam tersebut telah memerdekakan roh dan jasad mereka daripada segala belenggu kejahilan, kesesatan, penindasan dan belenggu kehidupan jahiliyyah.

Ketiga-tiga mereka sebenarnya mempunyai keimanan yang sangat kuat. ketegasan sikap yang diamalkan oleh pahlawan-pahlawan Islam ini sememangnya menggambarkan sifat-sifat kepahlawanan generasi awal Islam.

Mereka wajar dijadikan sumber inspirasi untuk umat Islam kini dalam melakukan kerja Islami ke arah mengajak masyarakat meyakini dan melaksana kebenaran serta kesyumulan Islam.

Kesimpulannya, akan lahir mereka yang berjiwa pahlawan, memiliki kualiti unggul, bermaruah, berakhlak mulia dan berintegriti. Mereka juga bebas daripada kejahilan dan kebekuan fikiran, sentiasa hebat, mempunyai idea yang bernas dan sentiasa mengutamakan kebenaran, ehsan dan ikhlas.

Di sinilah Islam telah berperanan memberikan sinar pencerahan yang mampu menerangi segala kegelapan minda manusia. Islam telah mendidik jiwa perjuangan, kepahlawanan yang memberanikan mereka berhadapan dengan segala risiko keduniaan selagi ianya mendapat redha Ilahi.

Firman Allah dalam surah Al ‘Imran ayat 169:“Jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup di sisi tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”
Tags: jasa, khutbah, pahlawan
Subscribe

Posts from This Journal “pahlawan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments