mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Kewajipan Memilih Sistem Perbankan Islam”.

Petikan Khutbah Jumaat 03 Ogos 2018M / 21 Zulkaedah 1439H: JAIS

“Kewajipan Memilih Sistem Perbankan Islam”.

Mengurus harta adalah suatu amanah yang cukup penting dalam kehidupan kita. Kegagalan mengurus harta menurut panduan syariah akan membawa akibat yang buruk sama ada di dunia mahupun di akhirat.
jais.jpgKita wajib memastikan harta yang kita perolehi adalah dari sumber yang halal dan digunakan untuk perkara-perkara yang halal sahaja.

Hadis daripada Muaz Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda:“Tidak akan berganjak kedua kaki seorang hamba di hari kiamat melainkan sesudah ditanya tentang empat perkara; tentang umurnya di mana ia telah habiskan, tentang masa mudanya kemana digunakannya, tentang hartanya daripada mana ia perolehi dan ke mana ia telah belanjakan, tentang ilmunya bagaimana ia mengamalkannya.” (Riwayat Al-Tirmizi)

Sesungguhnya sistem perbankan Islam adalah sistem yang bebas riba dan ia tiada unsur-unsur gharar (ketidakjelasan) dan tiada penindasan serta sangat berbeza dengan sistem perbankan konvensional yang berasaskan riba.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275:“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Abbas Radhiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Apabila riba dan zina menjadi-jadi di sesebuah kampung, maka sesungguhnya mereka telah membenarkan mereka diazab oleh Allah SWT.” (Riwayat Al-Hakim).

Kedua-dua dalil di atas menunjukkan bahawa riba adalah diharamkan oleh Allah SWT, maka sesiapa yang terlibat dengan riba dalam apa jua bentuk transaksi bakal mengundang kemurkaan Allah SWT

Sistem perbankan Islam adalah wajib diikuti dan dipilih oleh semua umat Islam kerana ia mempunyai syarat-syarat yang perlu dipatuhi iaitu:

1. Sistem perbankan Islam diwujudkan berdasarkan sistem muamalat yang berteraskan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT berbeza dengan sistem perbankan yang lain yang berdasarkan kepada keuntungan semata-mata tanpa mengikut syariat Islam;

2. Sistem perbankan Islam menitikberatkan konsep pahala dan dosa dalam setiap urusan yang berbeza dengan sistem perbankan konvensional;

3. Institusi perbankan Islam menggunakan prinsip akad yang jelas seperti jual beli atau pelaburan untuk mendapatkan keuntungan, manakala perbankan yang lain hanya menggunakan konsep pinjaman yang mengenakan riba kepada pelanggan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Abdullah bin Mas’ud Radiallahu Anhu memberitahu bahawa:“Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi riba, saksinya dan penulisnya.” (Riwayat Abu Daud).

4. Keuntungan daripada institusi perbankan Islam adalah wajib dizakatkan dan akan dinikmati oleh asnaf-asnaf yang layak, sebaliknya hasil keuntungan konvensional tidak dizakatkan kerana tidak mematuhi syariah.

Bagi memastikan institusi perbankan Islam sentiasa mematuhi kehendak Syarak dalam urusniaga mereka, Bank Negara Malaysia telah menetapkan setiap bank mempunyai skop kerja yang merangkumi 4 fungsi utama iaitu Penyelidikan Syariah, Semakan Syariah, Pengurusan Risiko Syariah dan Audit Syariah.

Institusi perbankan Islam juga mesti mempunyai sekurang-kurangnya 5 orang Ahli Jawatankuasa Syariah yang berstatus bebas yang mempunyai kelulusan dan kepakaran dalam bidang Syariah dan Kewangan Islam untuk menasihati dan memastikan sistem yang dilaksanakan mematuhi prinsip syariah.

Mengakhiri khutbah kita pada hari ini, umat Islam hendaklah mengambil panduan seperti berikut:

1. Umat Islam hendaklah wajib meyakini bahawa perintah Allah supaya menjauhi riba adalah wajib dipatuhi;

2. Umat Islam hendaklah menggunakan sistem perbankan Islam sebagai suatu kewajipan dalam urusan muamalat dan bukannya sebagai pilihan; dan

3. Umat Islam hendaklah memastikan segala pendapatan dan perbelanjaan hendaklah mematuhi prinsip syariah Islam.

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.” (ali-Imran : 130)
Tags: bank, kewangan, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “kewangan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments