mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Tanggungjawab Pemeliharaan Alam Sekitar”

Petikan Khutbah Jumaat:(3 OGOS 2018 / 21 Zulkaedah 1439) JAKIM

“Tanggungjawab Pemeliharaan Alam Sekitar”

Alam sekitar adalah anugerah Allah yang amat bernilai kepada kesejahteraan hidup manusia. Allah telah mencipta alam ini dengan amat sempurna dan seimbang untuk manfaat dan kemakmuran manusia sebagai khalifah di bumi ini.

jakim.jpgBumi yang luas dijadikan tempat tinggal manusia, gunung-ganang sebagai pasak bumi, tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan dan ubatan kepada kehidupan, hujan sebagai sumber rezeki, demikian juga dengan pelbagai jenis haiwan dan hidupan di lautan yang dijadikan untuk kemudahan hidup manusia.

Hal ini seperti yang dijelaskan Allah melalui firman-Nya dalam Surah Ibrahim, ayat 32 dan 33: “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan sebagai rezeki bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu. Dan Ia yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.”

Islam telah memberikan satu penekanan yang serius mengenai penjagaan alam sekitar dengan seruan mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Allah yang agung.

Keseimbangan alam sekitar dan ekosistem memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dan ianya mestilah selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran yang dikecapi.

Tabiat seperti membuang sampah merata-rata, membuang sisa buangan secara terus ke laut dan sungai, melepaskan asap kilang tanpa tapisan, menceroboh hutan secara berleluasa, menjalankan aktiviti pembangunan secara tidak terkawal, melakukan pembakaran secara terbuka dan pelbagai aktiviti seumpamanya akan memberi kesan jangka masa panjang kepada alam sekitar seperti peningkatan suhu bumi, pencemaran sumber air, pencemaran udara, banjir besar, tanah runtuh, pembakaran hutan, kepupusan flora dan fauna dan perubahan cuaca tidak menentu yang pasti menjejaskan kehidupan manusia.

Pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia adalah di sebabkan oleh kerakusan dan kecuaian manusia itu sendiri.

Sebagaimana yang diperingatkan oleh Allah dalam surah al-Rum ayat 41:“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Antara kepentingan utama menjaga alam sekitar adalah pemeliharaan sumber air. Sekalipun air meliputi 70% daripada bumi, namun 2.5% sahaja daripadanya merupakan air tawar dan hanya 1% adalah air tawar yang berada dalam bentuk yang mudah diperoleh.

Adalah amat membimbangkan apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, 2.1 bilion penduduk di seluruh dunia kurang akses kepada keperluan air selamat, tiada bekalan air di rumah manakala pengurusan sanitasi untuk 4.5 bilion penduduk lagi tidak diurus dengan baik.

Daripada 2.1 bilion orang yang tidak mempunyai akses bekalan air selamat tersebut, terdapat seramai 844 juta orang langsung tidak memperoleh bekalan asas air minuman.

Seiring dengan konsep khalifah yang diberi amanah untuk mengurus dan mentadbir bumi ini dengan sebaik-baiknya dan akan dipersoalkan kelak atas tanggungjawab tersebut.

Sabda Rasulullah "Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan." (Riwayat Muslim).

Pelaksanaan amalan teknologi hijau pada masa ini seperti mengurangkan penggunaan tenaga, menjimatkan elektrik, mengurangkan peggunaan plastik dan sebagainya dilihat sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengekalkan keseimbangan dan keharmonian alam sekitar, seterusnya memastikan manusia dapat menunaikan tanggungjawab secara langsung terhadap ciptaan Allah tersebut.

Bumi ini bukanlah hak milik manusia untuk berbuat sesuka hati tetapi ia adalah hak milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia untuk berkongsi hidup dengan makhluk-makhluk yang lain yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah di atasnya.

Berdasarkan sifat rahmat yang dibawa oleh Rasulullah adalah untuk sekalian alam (للعالمين رحمة (yang meliputi manusia, haiwan dan alam seluruhnya, maka apa sahaja makhluk di alam ini wajib diberi hak kehidupan dan dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekelian untuk menghayati intipati khutbah sebagai pedoman hidup, antaranya:

Pertama: Allah telah mencipta alam ini dengan amat sempurna dan seimbang untuk kemakmuran manusia sebagai khalifah di bumi ini.

Kedua: Manusia bertanggungjawab memakmurkan bumi dan memelihara alam sekitar dengan sebaik-sebaiknya.

Ketiga: Islam melarang sebarang bentuk perlakuan kerosakan di atas muka bumi, sama ada kerosakan jiwa, harta benda mahupun alam sekitar

“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-An’am, ayat : 165)
Tags: alam sekitar, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “alam sekitar” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments